English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA MERAIKAN LAWATAN RASMI TYT RECEP TAYYIP ERDOGAN, PERDANA MENTERI TURKI DAN MADAM EMINE ERDOGAN KE MALAYSIA
Lokasi : PUTRAJAYA
Tarikh : 13-06-2003
 
Saya dan isteri ingin mengalu-alukan kehadiran tetamu istimewa negara TYT Rejhep Tayyip Er-Dowan, Perdana Menteri Turki dan Madam Er-Dowan serta semua ahli delegasi Turki di majlis makan malam di Seri Perdana sempena meraikan lawatan rasmi TYT untuk pertama kali ke Malaysia. Sebagaimana kita semua sedia maklum, Kuala Lumpur, dan Ankara adalah bandar berkembar dan lawatan ini akan mengukuhkan lagi jambatan persaudaraan di antara kedua-dua buah negara Islam, Malaysia dan Turki.

2. Izinkan saya mengimbas kembali pengalaman manis saya semasa melawat Turki pada tahun 1983, 1994 dan sekali lagi pada tahun 1997 untuk menghadiri Sidang Kemuncak D-8 yang dianjurkan buat kali pertama di Istanbul. Saya juga telah berpeluang belayar di persisiran pantai Turki iaitu di Laut Aegean dan Mediterranean. Sememangnya Turki bukan sahaja kaya dengan nilai-nilai kebudayaan dan adat resam tetapi juga dianugerahkan lanskap dan pemandangan yang sangat cantik dan menarik. Anatolia sebagai contohnya adalah merupakan satu pusat ketamadunan manusia sejagat.

3. Hubungan dua hala di antara Malaysia dan Turki adalah akrab dan baik. Ini bukan sahaja kerana kita mempunyai latar belakang kebudayaan Islam yang sama tetapi juga kerana kita telah bekerjasama, baik di peringkat dua hala mahu pun di peringkat pelbagai hala. Kita masih ingat kerjasama rapat kedua-dua negara dalam memberi bantuan kepada rakyat Bosnia-Herzegovina semasa detik-detik hitam peperangan dan penghapusan etnik di negara tersebut.

4. Lawatan TYT ke Malaysia adalah tepat pada masanya. Perbincangan yang telah kita adakan hari ini dapat membuka peluang kepada kedua-dua belah pihak meneliti semula dan mengenal pasti arah tuju untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Turki. Jumlah perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara pada tahun 2002 adalah pada AS $270 juta dengan eksport dari Malaysia berjumlah AS $211 juta. Kita telah berusaha meningkatkan pelaburan dan perdagangan dua hala tetapi satu langkah yang lebih konkrit dan berterusan perlu diambil untuk mencapai tahap potensi sebenar perdagangan serta peluang perniagaan yang masih banyak belum diterokai oleh kedua-dua negara.

5. Kedatangan TYT ke Malaysia dengan diiringi oleh wakil-wakil ternama sektor swasta Turki adalah bertepatan. Saya berpendapat bahawa sektor swasta kedua- dua negara perlu menggunakan peluang ini untuk berkenalan dan bekerjasama demi kepentingan dan keuntungan bersama. Sememangnya terdapat peluang perniagaan dan pelaburan yang luas di antara Malaysia dan Turki serta juga dengan negara-negara ketiga. Dalam hal ini, saya mengesyorkan supaya langkah positif di ambil ke arah menghidupkan semula Dewan Perniagaan Malaysia-Turki dan Suruhanjaya Bersama Ekonomi dan Perdagangan yang tidak begitu aktif buat sekian lama.

6. Sebagaimana kita semua sedia maklum, kedudukan strategik Turki yang terletak di antara benua Asia dan benua Eropah adalah unik dan merupakan satu aset kepada Turki. Oleh itu, saya ingin menyeru sektor swasta Malaysia supaya mengambil kesempatan dari lawatan TYT ini untuk menjadikan Turki sebagai `pintu masuk' ke pasaran negara-negara Kesatuan Eropah, Asia Barat dan Asia Tengah. Malaysia sedia maklum akan peluang untuk sektor swasta Malaysia mengambil bahagian di dalam proses penswastaan yang sedang dilaksanakan di Turki.

7. Malaysia sendiri telah melaksanakan dasar penswastaan bermula pada tahun 1980an. Dasar ini digubal sebagai satu strategi negara untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta di dalam proses pembangunan ekonomi dan tahap produktiviti negara. Kita sedia maklum bahawa sektor swasta adalah enjin pembangunan negara dan fungsi mereka telah diberi penekanan semula di dalam pakej strategi baru yang diambil oleh Malaysia dengan matlamat untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Dalam konteks ini, Malaysia bersedia untuk berkongsi pengalaman ini dengan Turki.

8. Malaysia juga ingin menjemput syarikat-syarikat Turki yang berminat untuk memasuki pasaran besar Asia, supaya mengambil peluang dari ASEAN Free Trade Area (AFTA). Pasaran AFTA dengan jumlah keseluruhan penduduknya seramai 400 juta orang dan gabungan Keluaran Domestik Negara Kasar (GDP) pada AS $500 juta mempunyai potensi perdagangan yang besar dan menguntungkan kepada syarikat-syarikat Turki. Dengan berpengkalan di Malaysia, mereka akan dapat berkembang dan merebut peluang bukan saja di pasaran ASEAN tetapi juga di pasaran dunia yang terbesar iaitu China.

9. Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) pada bulan Oktober akan datang. Malaysia percaya semangat kerjasama dan kesatuan di antara negara-negara ahli adalah penting sekiranya kita inginkan suara dan pandangan negara-negara ahli OIC didengar dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Dalam suasana politik dunia yang tidak menentu sekarang, adalah wajar dan penting bagi negara-negara Islam bersatupadu serta berganding bahu dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa. Perkembangan dunia pada hari ini adalah dilihat akan memberi kesan ramifikasi kepada politik dan ekonomi dunia Islam. Kita perlu mengambil iktibar dari krisis Iraq baru-baru ini. Perpecahan di kalangan negara-negara Islam telah melemahkan kita dan akhirnya negara dan rakyat Iraq telah menjadi mangsa. Negara- negara Islam yang mempunyai umat Islam yang berjumlah lebih satu bilion dan mempunyai sumber semula jadi yang penting seperti minyak dan sumber kekayaan yang lain seperti kewangan boleh menjadi satu kuasa yang kuat sekiranya kita bersatu suara. Justeru itu, negara- negara Islam perlu bersatu padu terutamanya selepas peristiwa serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat dan apatah lagi selepas peperangan di Iraq baru-baru ini.

10. Malaysia menentang tindakan serangan pengganas kerana ianya adalah ancaman kepada dunia dan peradaban manusia sejagat. Elemen subversif ini yang tidak memberi manfaat kepada sesiapa pun harus ditangani segera secara menyeluruh dengan mengenalpasti akar umbinya, yang antara lain adalah penindasan, kemiskinan dan ketidakadilan struktur politik, ekonomi dan sosial. Pendekatan terbaru secara unilateral oleh satu negara ke atas satu negara lain yang berdaulat atas alasan menghapuskan kumpulan pengganas tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah. Langkah ini hanya akan menyemarakkan kemarahan serta sikap dan tingkahlaku ekstremisme yang menjurus ke arah serangan pengganas yang ditujukan terhadap kepentingan negara-negara barat.

11. Tindakan unilateral ketenteraan ke atas Iraq pada dasarnya telah mencabar kewibawaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu dan asas perundangan antarabangsa. PBB sebagai satu badan antarabangsa yang diberi mandat oleh masyarakat antarabangsa untuk menjunjung keadilan manusia sejagat dilihat seperti kehilangan taringnya. Perkembangan ini telah mengujudkan satu elemen ketidaktentuan dan ketidakstabilan dalam hubungan antarabangsa lebih-lebih lagi pada masa dunia `unipolar' sekarang di mana yang kuat akan menundukkan yang lemah dengan kekerasan tanpa menghormati undang- undang antarabangsa. Malaysia menentang peperangan ke atas Iraq kerana Malaysia percaya peperangan bukanlah satu pendekatan atau jalan penyelesaian terhadap sebarang konflik antarabangsa. Trend seperti ini adalah amat berbahaya kepada keselamatan dan kestabilan dunia antarabangsa lebih-lebih lagi kepada negara-negara yang kecil dan lemah. Justeru itu, adalah penting bagi Malaysia dan Turki saling berkerjasama dengan matlamat supaya dunia ini menjadi satu tempat yang selamat dan stabil untuk manusia sejagat. Kita perlu mengambil kira nilai-nilai murni berteraskan keadilan dan toleransi serta mengikis tanggapan salah dunia sekarang yang mengaitkan keganasan dengan agama Islam atau satu bangsa atau pun satu negara.

12. Di Iraq yang kini menghadapi kancah huru-hara akibat perang, masyarakat antarabangsa perlu memberi keutamaan segera kepada proses pembangunan semula negara tersebut bagi pembentukan semula kerajaan yang dipilih oleh rakyat Iraq sendiri dan bagi meringankan beban kesengsaraan rakyat Iraq. Memandangkan Turki dan Iraq adalah negara berjiran, Malaysia percaya konsep "Berkongsi Kekayaan Dengan Negara Jiran" (Prosper Thy Neighbour) adalah relevan untuk memastikan kemakmuran dan pembangunan berterusan dilakukan untuk kebaikan bersama buat Iraq dan seluruh rantau Asia Barat. Sehubungan itu, Malaysia sedia bekerjasama dengan Turki membangun semula negara Iraq asalkan program yang dijalankan adalah di bawah naungan dan kelolaan PBB.

13. Mengenai situasi di Asia Barat, tindakan ganas yang berterusan oleh Israel membunuh rakyat Palestin dengan tidak langsung menghiraukan hak asasi manusia dan perundangan antarabangsa harus dikutuk oleh semua. Kejayaan "Road Map" yang terbaru masih belum kelihatan. Pada hakikatnya, keamanan dan kesejahteraan di rantau Asia Barat hanya akan tercapai dengan pengunduran sepenuhnya oleh pihak berkuasa Israel dari kawasan yang dijajahi mereka sejak tahun 1967. Dalam hal ini, Amerika Syarikat haruslah mengambil tindakan serius, adil dan ikhlas bagi menjamin kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat.

14. Malaysia menganggap Turki sebagai rakan dan ahli utama di dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam dan D-8. Kita yakin peranan penting yang dimainkan oleh Turki dalam pertubuhan-pertubuhan ini dan di arena antarabangsa akan dapat membantu ke arah memajukan lagi tahap pembangunan dunia secara amnya. Manakala dalam konteks hubungan dua hala pula, hubungan baik yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Turki akan menjadi pemangkin kepada negara-negara Islam lain supaya bersatu untuk kepentingan ummah sejagat.

15. Sehubungan dengan ini, saya yakin lawatan TYT ke Malaysia akan dapat membuka satu era baru dalam hubungan dua hala di antara Malaysia dan Turki terutamanya dalam bidang kerjasama ekonomi dan perdagangan.

16. Sebagai penutup, sekali lagi saya mengalu-alukan lawatan Tuan Yang Terutama dan Madam Er-Dowan serta ahli delegasi Turki ke Malaysia. Saya percaya lawatan TYT ini akan berjaya mencapai matlamatnya dan berharap lawatan ini akan menjadi kenangan manis.

Sekian, terima kasih.

Kami menerima 4,570,117 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri