English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA KETIGA
Lokasi : PWTC, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh : 10-01-1992
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta`ala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita berkumpul di Dewan ini sempena perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga.

2. Kongres yang ketiga ini amat penting kerana ia merupakan satu forum untuk melahirkan hasrat, pandangan, syor dan cadangan bagi meningkatkan penglibatan dan prestasi Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan dan mewujud serta membangunkan satu Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) seperti yang disyorkan dalam Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Mewujudkan masyarakat Bumiputera yang lebih aktif dalam perniagaan dan perindustrian menjadi lebih mendesak memandangkan negara kini mempunyai matlamat untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Kita tidak mahu melihat Bumiputera berada di peringkat kaum membangun yang mundur apabila negara meningkat menjadi negara maju.

3. Kesedaran bahawa orang Melayu jauh ketinggalan telah lama dirasai. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, penyertaan dan penglibatan orang Melayu dalam aktiviti ekonomi boleh dikatakan tidak wujud sama sekali. Ketika zaman penjajah, usaha pembangunan penjajah menitikberatkan eksploitasi sumber hasil negara bagi kepentingan mereka tanpa menghiraukan agihan kekayaan ekonomi negara secara adil kepada rakyat berbilang kaum. Penekanannya lebih tertumpu kepada pembangunan infrastruktur untuk memudahkan pengeluaran hasil industri milik penjajah. Bahawa dalam proses ini orang Melayu semakin ketinggalan dalam bidang perniagaan dan perusahaan tidak di anggap sebagai masalah Kerajaan.

4. Apabila orang Melayu membantah penubuhan Malayan Union kerana akan melemahkan lagi kedudukan mereka, pihak penjajah cuba menyejukkan perasaan orang Melayu dengan menawarkan sebuah agensi pembangunan desa, iaitu Rural and Industrial Development Authority atau RIDA. Pihak penjajah menganggap lima juta ringgit untuk RIDA memadai bagi mengatasi masalah ekonomi orang Melayu.

5. Sekarang kita telah merdeka 34 tahun dan kita telah membentuk berbagai-bagai dasar, mengadakan peruntukan ribuan juta ringgit, menubuhkan beberapa bank serta agensi-agensi khusus, dan mengadakan kongres-kongres ekonomi, konvensyen, woksyop dan lain-lain lagi. Namun masalah penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi masih belum selesai.

6. Betapa besarnya masalah ekonomi Bumiputera ini dapat dilihat daripada peristiwa 13 Mei 1969. Walaupun peristiwa ini lebih merupakan peristiwa politik, sebenarnya ia menunjukkan kebimbangan orang Melayu khususnya terhadap kedudukan ekonomi mereka jika mereka kehilangan kuasa politik. Jika orang Melayu yakin kedudukan mereka begitu kukuh daripada segi ekonomi, mereka tidak akan mudah bertindak seperti pada 13 Mei, 1969.

7. Oleh itu sebagai satu cara untuk menstabilkan politik di Malaysia, langkah-langkah telah diambil selepas 1969 untuk mengimbangkan kedudukan ekonomi Bumiputera dengan bukan Bumiputera melalui Dasar Ekonomi Baru atau DEB.

8. Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa DEB berkesan dan berjaya meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi melalui pendekatan serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.Walaupun matlamat 30 peratus Bumiputera dalam bidang ekonomi tidak tercapai, pencapaian 20 peratus adalah satu kejayaan yang besar. Harus diingat bahawa 20 peratus merupakan peningkatan hampir 1000 peratus daripada 2 peratus yang dimiliki oleh Bumiputera sewaktu DEB dimulakan. Pertumbuhan ekonomi negara pada masa yang sama adalah dalam lingkungan 7 peratus setahun atau hampir 300 peratus dalam jangkamasa 20 tahun. Jika dihalusi lagi 20 peratus bahagian Bumiputera adalah daripada ekonomi yang telah tumbuh empat kali ganda, dan bukan 20 peratus daripada ekonomi tahun 1970.

9. Kita boleh berpuas hati dengan pencapaian yang tinggi ini tetapi pencapaian ini dibuat dalam konteks yang luar biasa, keadaan yang sengaja diada-adakan dan bukan dalam konteks ekonomi biasa. Kebanyakan pencapaian ini adalah hasil peranan badan-badan amanah yang ditubuh oleh Kerajaan sebagai kepentingan Bumiputera. Yang bakinya adalah hasil peluang perniagaan dengan Kerajaan yang diberi khusus kepada Bumiputera. Sebagai contoh hampir semua kontrak binaan bagi Bumiputera adalah projek Kerajaan. Hampir tidak ada kontrak yang diperolehi oleh Bumiputera dalam pasaran luar Kerajaan.Hanya dalam bidang profesional sahaja terdapat kejayaan Bumiputera dalam pasaran terbuka.

10. Oleh kerana pencapaian 20 peratus adalah hasil usaha dan iklim yang bukan semulajadi, maka kemampuan Bumiputera bersaing dan mengekalkan hak dan bahagian mereka jika iklim biasa dikembalikan adalah disangsi. Bahkan pada pandangan Kerajaan hampir semua 20 peratus milik Bumiputera ini akan hilang jika perlindungan yang ada sekarang dihapuskan.Besar kemungkinan kita telah mencapai 30 peratus seperti matlamat DEB tetapi 10 peratus daripada yang diperolehi oleh Bumiputera itu telah dijual balik kepada bukan Bumiputera untuk mendapat keuntungan cepat.

11. Penyakit ini perlu diakui jika kita betul-betul ingin mengubatinya. Perlindungan politik seperti yang terdapat sekarang bukanlah perkara yang kekal. Hari ini sudah ada orang Melayu yang sanggup mengenepikan kepentingan orang Melayu kerana ingin tempat tertentu bagi diri sendiri. Dan orang Melayu pun bukan bersatu hati tetapi semakin berpecah dan lebih asyik bersengketa sesama sendiri. Dalam pada itu ada pula jenis orang Melayu yang memandang ringan apa yang ditafsir sebagai kejayaan di dunia dan sanggup melemahkan diri sendiri dan orang Melayu demi kepentingan kononnya perjuangan keIslaman mereka.

12. Memandangkan kepada keadaan dan aliran ini maka Bumiputera perlu mampu bersaing dalam bidang perusahaan dan perniagaan tanpa apa-apa perlindungan dalam pasaran biasa.Langkah pertama untuk meningkatkan kemampuan Bumiputera dalam bidang ekonomi ialah dengan mengenali dan mengakui akan adanya kelemahan atau penyakit-penyakit yang menyerang mereka. Selagi mereka tidak sanggup mengenalpasti dan mengakui penyakit-penyakit ini selama itulah ubat yang tidak tepat akan digunakan atau bukan penyakit sebenar yang diubati tetapi symptomnya sahaja.

13. Apakah dianya penyakit yang perlu diubati? Penyakit utama ialah kurang keyakinan bahawa Bumiputera boleh berjaya tanpa keistimewaan-keistimewaan tertentu. Tuhan tidak menjadikan Bumiputera kurang sempurna daripada manusia lain.Mereka sempurna dan berwibawa. Kelemahan dan kegagalan mereka adalah disebabkan sikap dan pendekatan mereka sendiri. Inilah penyakit yang memerlukan pengakuan oleh mereka.

14. Memang pahit untuk mengakui hakikat ini. Jika mereka cuba menipu diri seperti orang yang mengidap penyakit jantung meyakinkan diri bahawa ia "terkena" atau "dibuat" orang dan dengan itu perlu diubati oleh bomoh dengan jampi, maka keadaannya tidak akan dapat dipulihkan. Sebaliknya dengan menerima bahawa penyakitnya serius dan memerlukan pembedahan yang besar, maka kemungkinan ia dipulih adalah lebih baik. Demikian juga dengan penyakit yang menyerang Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Mereka boleh memulihkan diri jika mereka mengakui bahawa mereka kurang yakin kepada diri sendiri. Jika masalah kurang percaya kepada kebolehan diri ini dapat diatasi, maka sebahagian besar daripada halangan terhadap kejayaan Bumiputera akan dapat dihapuskan.

15. Selepas negara mencapai kemerdekaan dan teraju pemerintahan dipegang sendiri oleh rakyat, dan orang Melayu dan Bumiputera memegang tampok yang besar, keinginan untuk sama-sama menikmati hasil pembangunan negara seperti kaum lain telah meningkat. Berikutan daripada keinginan ini, Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama telah diadakan pada tahun 1965 dan Kongres Ekonomi Bumiputera kedua diadakan pada tahun 1968 bagi membincang dan merenung hakikat sebenar kedudukan Bumiputera daripada segi ekonomi. Hasil daripada Kongres pertama, MARA telah muncul menggantikan RIDA sebagai agensi untuk menggerakkan masyarakat Melayu dan Bumiputera dalam bidang perdagangan dan perindustrian. Di samping itu, penubuhan Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) dan beberapa perbadanan dan syarikat-syarikat lain juga jelas membuktikan betapa Kerajaan sanggup menerima dan melaksanakan keputusan Kongres bagi membela nasib Bumiputera.

16. Kedudukan dan pencapaian ekonomi Bumiputera sekali lagi mendapat perhatian serius selepas peristiwa 13 Mei 1969. Analisis terhadap sebab-sebab tercetusnya rusuhan kaum menunjukkan bahawa salah satu faktor asas yang menggugat keharmonian kaum di negara ini ialah soal ketidakseimbangan ekonomi antara mereka. Hasil perundingan yang mendalam di kalangan Bumiputera sendiri dan juga di kalangan bukan Bumiputera, ialah lahirnya Dasar Ekonomi Baru.

17. DEB digubal bertujuan memperbaiki ketidakseimbangan antara kaum terutamanya daripada segi agihan kekayaan negara dan membasmi kemiskinan. Ia merupakan satu "social engi- neering exercise" yang berani bagi mana-mana masyarakat.

18. Pertumbuhan ekonomi dalam era DEB telah dapat meningkatkan penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi negara keseluruhannya. Agihan kekayaan berasas "kek ekonomi" yang membesar tidak menjejaskan jumlah mutlak kekayaan kaum-kaum lain dan juga penguasaan saham oleh orang asing di negara ini. Dalam erti kata lain, Malaysia telah menghadapi masalah perbezaan ekonomi antara kaum dengan mengubalkan dasar dan program yang radikal tetapi adil.Rampasan harta seperti disesetengah negara tidak dilakukan di bawah DEB.

19. Pelaksanaan DEB telah banyak membawa kemakmuran kepada Bumiputera dan juga kaum-kaum lain di negara ini. Usaha membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum di bawah DEB telah menghasilkan kejayaan yang besar. Kadar kemiskinan negara telah dapat dikurangkan dengan banyaknya dan pada masa ini terdapat hanya kira-kira seratus enam puluh sembilan ribu isirumah yang masih dikategorikan sebagai mis- kin. Daripada jumlah ini pula, hanya kira-kira seratus empat puluh tiga ribu isirumah sahaja yang dianggap benar- benar miskin atau dikategorikan sebagai keluarga termiskin.Malangnya apabila para pengkritik membincangkan DEB, mereka menumpukan hanya kepada agihan saham syarikat besar.Peluang pelajaran, subsidi berbagai-bagai jenis, tabung pinjaman, biasiswa dan galakan kepada industri untuk mengatasi pengangguran, pertambahan berbagai-bagai jenis perniagaan kecil tidak disebut sama sekali.

20. Kita harus sedar bahawa penghapusan kemiskinan amat penting dalam proses pencapaian matlamat penyusunan semula masyarakat, lebih-lebih lagi untuk mewujudkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).Hanya jika masyarakat dapat melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan barulah ia mampu menyusun langkah untuk mengambil peluang-peluang perniagaan dan perindustrian dengan lebih berkesan. Sebaliknya usaha-usaha yang terlalu tertumpu kepada strategi menyusun semula dan menggalakkan pembangunan usahawan mungkin akan menyebabkan jurang perbezaan ekonomi di kalangan masyarakat Bumiputera sendiri menjadi lebih besar. Oleh kerana itulah Kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur terutamanya di kawasan luar bandar di mana terdapat ramai yang miskin. Tidak ada negara lain di dunia yang membuat peratusan peruntukan sebesar Malaysia untuk membasmi kemiskinan.

21. Peranan pertumbuhan ekonomi dalam menjayakan kedua-dua matlamat DEB adalah kritikal. Agihan kekayaan tidak boleh dilakukan jika ekonomi tidak tumbuh. Agihan kekayaan yang sedia ada hanya akan menjadikan semua pihak sama miskin.Dalam keadaan semua pihak miskin, punca kewangan untuk membasmi kemiskinan atau menyusun semula masyarakat tidak akan ada. Segala-galanya bergantung kepada kesihatan dan pertumbuhan ekonomi.

22. Usaha menyusun semula masyarakat telah banyak memberi pengajaran kepada kita. Daripada segi pemilikan kekayaan, khasnya dalam sektor korporat, kita dapati masyarakat Bumiputera mampu mencapai satu peningkatan yang membanggakan, iaitu daripada tahap 2 peratus pada tahun 1970 kepada 20 peratus pada tahun 1990.

23. Pencapaian Bumiputera dalam bidang pembangunan sumber manusia dan gunatenaga adalah baik. Pada tahun 1970, peratusan Bumiputera dalam bidang-bidang profesional yang berkaitan secara langsung dengan bidang perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan seperti arkitek, jurutera, akauntan dan peguam amatlah kecil. Pada tahun 1990, kita telah berjaya meningkatkan peratusan Bumiputera dalam bidang-bidang berkenaan. Di samping itu, jumlah pelajar Bumiputera yang telah memasuki bidang-bidang latihan teknikal dan kemahiran juga telah meningkat. Sungguhpun peningkatan jumlah ini masih jauh lebih rendah berbanding dengan bukan Bumiputera, jumlah ini tidak mungkin tercapai jika tidak kerana DEB. Kebanyakan daripada Bumiputera yang mendapat pelajaran tinggi datang daripada keluarga miskin atau yang tidak mampu. Sekaligus ia menafikan tuduhan kononnya DEB menguntungkan keluarga kaya atau keluarga tertentu sahaja.

24. Namun daripada segi hakmilik dan penyusunan semula gunatenaga, adalah jelas bahawa hasrat DEB untuk membentuk satu masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan Bumiputera belum tercapai. Sungguhpun daripada segi jumlah, bilangan syarikat yang dimiliki oleh Bumiputera di kedua-dua sektor korporat dan bukan korporat telah meningkat, bilangan tersebut sebenarnya kecil daripada segi saiz dan perolehan jika dibandingkan dengan yang dimiliki oleh bukan Bumiputera. Dalam industri-industri perkhidmatan seperti dagangan borong dan runcit, perkhidmatan perkapalan, perhotelan dan penginapan, pengangkutan dan industri kecil, peningkatan kepada 34 peratus pemilikan Bumiputera daripada segi bilangan pada tahun 1988, tidak diimbangi dengan perolehan daripada perniagaan yang hanya berjumlah 21 peratus. Ini mungkin kerana jenis perniagaan dan industri yang dipilih oleh Bumiputera tidak produktif atau lemah.

25. Dalam sektor perdagangan borong dan runcit pula, daripada kira-kira dua ratus sepuluh ribu lesen yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung Malaysia pada penghujung tahun 1990, hanya 28 peratus dimiliki oleh peniaga-peniaga Bumiputera. Daripada jumlah ini, kebanyakannya merupakan perniagaan kecil-kecilan.

26. Saiz perniagaan Bumiputera purata adalah kecil. Kira- kira 77 peratus daripada usahawan Bumiputera yang berdaftar sebagai pembekal dengan Kementerian Kewangan mempunyai purata modal berbayar kurang daripada tiga puluh ribu ringgit. Kebanyakan daripada kontraktor-kontraktor yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor adalah di dalam kelas F. Walaupun ini mungkin disebabkan oleh kurang kemudahan kredit, tetapi prestasi kebanyakan daripada kontraktor Bumiputera yang kurang baik menghalang peningkatan mereka ke kelas yang lebih tinggi. Dengan ini pembekalan dan kontrak oleh Bumiputera dengan Kerajaan berjumlah hanya antara 12 hingga 15 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak Kerajaan yang ditawarkan. Sementara ini menafikan tuduhan bahawa DEB menyekat peluang bukan Bumiputera, hakikatnya ialah kualiti dan daya saing Bumiputera dalam bidang ini masih rendah.

27. Dalam konteks pembangunan yang agak pesat, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak lapan ratus lima perpuluhan enam juta ringgit di bawah Rancangan Malaysia Keenam kepada Kementerian Perusahaan Awam untuk berbagai-bagai program yang bertujuan meningkatkan kemampuan usahawan Bumiputera melalui latihan dalam bidang keusahawanan yang meliputi bidang urusniaga, peningkatan motivasi serta bagi membina sikap yang lebih positif sebagai usahawan serta penyediaan kemudahan-kemudahan seperti ruangniaga, kemudahan bantuan modal serta perwujudan peluang-peluang perniagaan.

28. Di samping itu Kerajaan juga telah mengadakan Tabung Pemulihan Usahawan bagi membantu memulih pengusaha-pengusaha Bumiputera yang terjejas oleh kemelesetan ekonomi pada pertengahan tahun 80an. Bersama-sama Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kerajaan juga telah menubuhkan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dengan modal permulaan sebanyak tiga ratus juta ringgit bagi memajukan lagi skim latihan dan pembangunan usahawan Bumiputera. Daripada segi kemudahan kewangan, terdapat juga kemudahan pinjaman daripada sektor bank yang cukup untuk membantu perkembangan perniagaan Bumiputera. Selain daripada itu, usahawan-usahawan Bumiputera juga telah memohon pinjaman daripada beberapa skim lain seperti Tabung Khas Pelancongan, Tabung Penyusunan Semula Industri dan Tabung Projek Perumahan Terbengkalai yang diwujudkan khas untuk aktiviti-aktiviti perniagaan tertentu.

29. Justeru itu masalah kemudahan kewangan tidak harus disalahkan dalam usaha mewujudkan pengusaha-pengusaha Bumiputera yang dinamis. Peluang-peluang yang disediakan patut direbut oleh kaum Bumiputera dengan rasa penuh tanggungjawab dan usaha yang lebih gigih demi untuk kebaikan negara dan kaum Bumiputera amnya.

30. Dalam bidang penyediaan kemudahan kontrak kepada kaum Bumiputera, Kerajaan telah mengkhususkan 30 peratus daripada nilai kerja bagi sesuatu agensi dikhaskan kepada Bumiputera.Kerajaan juga mengagihkan kontrak-kontrak kerja yang tidak melebihi $50 ribu ringgit kepada pihak Bumiputera. Bagi perolehan-perolehan bekalan dan perkhidmatan, kontraktor- kontraktor Bumiputera telah diberi keutamaan harga.Kerajaan juga telah mengkhaskan beberapa bidang tertentu di dalam perolehan Kerajaan untuk disertai oleh Bumiputera sahaja. Dalam kes-kes tertentu, Kerajaan sanggup memberi kontrak-kontrak secara rundingan terus kepada pengilang- pengilang, pengimport atau "franchise holder" Bumiputera.Dan pendahuluan 15 peratus diberi sebelum pun apa-apa kerja dijalankan bagi satu-satu kontrak.

31. Jelas bahawa berbagai-bagai usaha telah diambil untuk meningkatkan lagi penyertaan Bumiputera dalam lapangan perniagaan dan perindustrian agar tidak ketinggalan dengan kaum-kaum yang lain. Tetapi pencapaian Bumiputera, terutamanya di dalam membekal Kerajaan masih belum boleh dibanggakan. Banyak projek terbengkalai, tidak dilaksanakan atau dijual terus kepada bukan Bumiputera.

32. Kita boleh terus menyalahkan Kerajaan atau meminta supaya lebih banyak lagi usaha dibuat untuk menolong Bumiputera. Tetapi dapatkah kita meyakinkan diri bahawa masalah kegagalan Bumiputera boleh diatasi hanya melalui tindakan Kerajaan? Tidakkah ada apa-apa yang boleh dan patut dibuat oleh Bumiputera sendiri? Tidakkah ada apa-apa kelemahan di sisi Bumiputera sendiri yang menyebabkan mereka tidak dapat menggunakan segala yang diperuntukkan kepada mereka?

33. Kerajaan sedia dipersalahkan jika kegagalan Bumiputera adalah kerana tindakannya. Tetapi jika kontrak yang diberi kepada Bumiputera tidak dilaksanakan oleh mereka, atau dijual atau disub-kontrakkan sepenuhnya kepada bukan Bumiputera yang kemudiannya tidak menerima bayaran, apakah dengan menyalahkan Kerajaan prestasi Bumiputera akan diperbaiki? Apakah Kerajaan yang tidak mahu bertindak terhadap Bumiputera jenis ini kerana takut tidak popular, boleh dianggap sebagai sebuah Kerajaan yang baik dan berkemampuan untuk memperbaiki prestasi Bumiputera?

34. Perkara-perkara ini perlu direnung oleh peserta-peserta Kongres ini. Pepatah berkata bahawa tidak ada faedahnya cuba menegakkan benang yang basah. Mereka yang tidak sanggup menghadapi kebenaran tidak akan dapat mengatasi masalah mereka. Selama 70 tahun Kerajaan Komunis Russia menipu diri dengan keengganan mereka mengakui bahawa sistem mereka menghasilkan kesan yang buruk. Tetapi yang buruk tidak juga menjadi baik kerana keburukannya tidak diakui.Akhirnya apabila terpaksa mengakui kegagalan sistem mereka, "nasi sudah menjadi bubur".

35. Perlukah kita menunggu sehingga keadaan tidak lagi dapat dipulihkan sebelum kita mengakui kebenaran? Sepertimana juga penjajahan kita oleh Portugis, Belanda dan Inggeris, bukan semua kerana salah mereka, demikian juga kedudukan ekonomi Bumiputera tidak boleh disalahkan semata- mata kepada penjajah, Kerajaan, kaum lain, sistem, iklim, dan semua pihak selain daripada diri kita sendiri.

36. Sebenarnya jika kita ikhlas dan sanggup memeriksa diri sendiri akan kita dapati bahawa banyak kelemahan yang boleh kita atasi sendiri bagi menjayakan diri kita. Antaranya ialah sikap untuk "cepat kaya" tanpa risiko. Sindrom ini yang masih berleluasa dapat diperhatikan apabila Bumiputera merelakan kaum lain menggunakan nama mereka sama ada dalam pembelian saham-saham yang dikhaskan kepada Bumiputera atau untuk mendapatkan lesen dan permit. Cara ini tidak mempunyai risiko dan pendapatan datang dengan cepat atau "upfront". Malangnya cara ini akan mengekalkan kejahilan Bumiputera dalam pengurusan perniagaan.

37. Modal adalah satu masalah yang dihadapi oleh semua peniaga. Tidak ada peniaga di mana-mana yang mempunyai cukup modal. Modal pinjaman pun tidak pernah cukup.Kurangnya modal bagi Bumiputera berlaku daripada sebelum ada MARA, Bank Bumiputra dan bermacam-macam tabung Kerajaan sehinggalah semua kemudahan ini diadakan. Jika berbagai- bagai tabung diadakan lagipun masalah kurang modal akan terus melanda peniaga Bumiputera. Jika ditunggu sehingga ada modal yang cukup, maka tidak ada perniagaan yang boleh diadakan. Hanya ada satu cara sahaja bagi masalah kurang modal, dan caranya ialah dengan menyesuaikan perniagaan dengan modal dan bukan modal dengan perniagaan. Insya- Allah, jika perniagaan berjaya dan semua hutang dibayar mengikut jadual, mendapat modal yang cukup akan menjadi mudah. Nothing fails like failure, nothing succeeds like success.

38. Namun Kerajaan bersedia untuk menimbang apa juga cadangan untuk mengatasi masalah kekurangan modal di kalangan Bumiputera.

39. Keyakinan akan kemampuan diri perlu disertai dengan penerimaan bahawa jalan yang mudah dan cepat tidak ada.Untuk mengatasi kelemahan Bumiputera dan mencapai kejayaan kesabaran dan ketekunan diperlukan. Mereka yang ingin kaya cepat akan jatuh dengan teruknya. Dan ini telah kita lihat berkali-kali berlaku. Mungkin ada yang percaya bahawa kemalangan yang menimpa orang lain tidak akan menimpa diri sendiri. Kepercayaan ini adalah khayalan semata-mata. Apa yang berlaku kepada orang lain kerana amalan yang tidak baik akan berlaku juga kepada diri sendiri jika amalan yang serupa diamalkan.

40. Kesabaran adalah penting dalam mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Biar lambat asalkan selamat bukan pepatah kosong. Mereka yang mudah tawar hati tidak akan berjaya. Kekayaan yang datang dengan mudah akan pergi dengan mudah. Matlamat kita bukan pencapaian tiga puluh peratus buat beberapa ketika tetapi pemilikan yang berkekalan. Hanya dengan menjual saham atau AP atau kontrak yang diterima daripada Kerajaan boleh memberi pendapatan yang diidami tetapi daripada segi agihan kekayaan kepada Bumiputera, perbuatan itu menghalang matlamat kaum bangsa.Lebih sedih lagi ialah pendapatan yang diperolehi secara mudah ini tidak kekal. Yang kaya cara ini akan menjadi mis- kin dan merana semula.

41. Dalam usaha untuk menambah peluang bagi Bumiputera, Kerajaan memberi banyak keistimewaan kepada mereka. Ini termasuklah lesen, permit import, kontrak, pinjaman, peluang, tempat, tawaran yang rendah dan wang pendahuluan.Jika semua ini diguna dengan baik dan diurus dengan cekap, pencapaian DEB mungkin lebih daripada 30 peratus. Tetapi kita semua tahu apa yang berlaku. Dalam keinginan untuk meraih kekayaan dengan cepat segala lesen, peluang, kontrak dan lain-lain lagi didagangkan. Akibatnya hasil yang terbesar diperolehi oleh pihak lain. Dengan ini bukan sahaja jurang perbezaan Bumiputera/bukan Bumiputera dikekalkan tetapi menjadi lebih jauh lagi.

42. Sebaliknya jika ada kesabaran dan ketekunan dan segala peluang diguna dan diurus dengan baik, bukan sahaja pendapatan yang lebih besar akan didapati, tetapi kecekapan yang diperolehi akan meningkatkan daya saing Bumiputera dalam pasaran terbuka. Dan ini bermakna penyertaan Bumiputera dalam perdagangan akan terus dikekalkan.

43. Perniagaan dan perusahaan memerlukan etika yang baik.Ada yang berpendapat bahawa ramai pengusaha dan peniaga berjaya kerana menipu. Tidak sesiapa dapat menafikan bahawa ada daripada peniaga dan pengusaha yang kaya raya kerana menipu. Antara mereka ialah Robert Maxwell, Charles Keating Junior, Ivan Boesky, Michael Milken dan lain-lain. Mungkin ada yang belum dikesan.

44. Namun lebih ramai yang berjaya kerana usaha yang gigih dan kejujuran. Walaupun mungkin ada orang yang secara semulajadi cekap dalam bidang perniagaan tetapi bagi siapa sahaja pengalaman yang baik dan berpanjangan tetap berkesan mencanaikan kecekapan. Kelulusan Masters in Business Admin- istration atau MBA baik sebagai asas tetapi pengalamanlah yang akan memberi hasil daripada pelajaran pengurusan asas ini. Dan pengalaman memerlukan masa dan pendedahan. Sebab itu kesabaran adalah penting.

45. Ada negara yang bertindak menukar Kerajaan atau Perdana Menteri apabila prestasi negara merosot. Mungkin prestasi yang merosot ini disebabkan oleh Kerajaan atau Perdana Menteri. Tetapi jika kemerosotan prestasi disebabkan oleh sikap rakyat atau kelemahan mereka, penukaran Kerajaan atau Perdana Menteri tidak akan berjaya memulihkan prestasi negara.

46. Demikian juga ada negara yang berpendapat ekonomi negara boleh diperbaiki melalui dasar atau undang-undang atau cukai atau faedah pinjaman. Jika benarlah perkara- perkara ini sahaja yang menyebabkan prestasi merosot, maka perubahan kepada perkara-perkara ini mungkin dapat memulihkan keadaan. Tetapi jikalau kelemahan berada di tempat lain, sebarang perubahan dasar atau undang-undang tidak akan membawa apa-apa kesan.

47. Kita perhatikan bahawa peralihan yang radikal sedang berlaku dalam perdagangan antarabangsa. Negara-negara yang dahulunya mengeksport barang-barang buatan sekarang mengeskport bahan mentah. Sebaliknya negara-negara yang dahulunya mengeksport bahan mentah kini mengeskport barang- barang buatan yang canggih. Dengan ini negara-negara yang dahulunya pengeskport barang-barang buatan cuba menggunakan kuasa politik untuk kononnya membuka pasaran yang tertutup kepada barang-barang mereka. Tetapi sebenarnya barang- barang mereka sudah tidak competitive, baik daripada segi harga atau pun kualiti.

48. Sekali lagi kita lihat contoh bagaimana penyakit yang diubati dengan ubat yang tidak tepat atau tidak kena, tidak dapat memulihkan keadaan. Kelemahan negara-negara industri lama ialah mereka sudah hilang sifat-sifat yang menjadikan mereka pengeluar barang-barang yang bermutu dengan harga yang berpatutan. Sekarang mereka sudah tidak lagi compet- itive dan paksaan politik tidak akan menyelesaikan masalah mereka. Hanya dengan memperbaiki mutu dan harga barang- barang mereka baharulah mereka dapat menembusi semula pasaran yang mereka telah hilang.

49. Demikian juga dengan masalah prestasi Bumiputera dalam bidang ekonomi. Kerajaan boleh membuat berbagai-bagai dasar, undang-undang dan menyediakan bermacam-macam kemudahan. Sedikit sebanyak tindakan Kerajaan ini akan membantu pencapaian yang diharapkan. Tetapi jika kelemahan yang ada pada Bumiputera tidak diatasi sebarang tindakan Kerajaan tidak akan menyelesaikan masalah penyertaan Bumiputera dalam perdagangan dan perindustrian.

50. Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga ini bukan dirancang oleh Kerajaan. Idea ini datang daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu. Kerajaan hanya mengambil bahagian. Oleh kerana Kongres Pertama dan Kedua adalah anjuran Kerajaan, tidak dapat tidak, peranan dan sokongan Kerajaan untuk Kongres kali ini juga diperlukan. Bukanlah menjadi niat Kerajaan untuk menghalang kritikan terhadap Kerajaan kerana pencapaian yang rendah bagi Bumiputera dalam bidang ekonomi. Kerajaan sedia mendengar segala kritikan dan menerima usul-usul dan cadangan-cadangan yang dihasilkan oleh Kongres ini. Sepertimana pihak peniaga dan pengusaha Bumiputera perlu berterus-terang, Kerajaan juga perlu berterus-terang jika semua pihak ingin mendapat manfaat daripada Kongres ini.

51. Atas cadangan Kerajaan, Kongres ini disertai juga oleh bukan Bumiputera. Ini ialah kerana bukan Bumiputera boleh memainkan peranan yang penting bagi menjaya atau menggagalkan segala rancangan untuk mengimbangkan ekonomi Bumiputera dengan bukan Bumiputera. Dengan penyertaan bukan Bumiputera, kita berharap mereka akan lebih memahami hasrat Kongres ini dan dengan itu mereka akan memainkan peranan yang lebih positif.

52. Satu daripada sebab kegagalan DEB ialah pendekatan yang diambil oleh bukan Bumiputera. Mereka lebih suka rakan Bumiputera mereka tidak menerima risiko perdagangan dan tidak aktif dalam pengurusan. Dengan ini, selama-lamanya peniaga Bumiputera akan jahil dan akan terus bergantung kepada mereka.

53. Mungkin dengan ini mereka akan beruntung tetapi dengan ini juga mereka akan dibebankan dengan DEB demi DEB selama- lamanya. Adalah lebih baik bagi mereka menentukan rakan Bumiputera mereka menyertai secara bersungguh-sungguh. Mereka tidak akan rugi kerana risiko akan ditanggung juga oleh rakan Bumiputera mereka.

54. Kerjasama Bumiputera dengan bukan Bumiputera memerlukan toleransi dan kesabaran. Adalah didapati bahawa syarikat Bumiputera sukar membesar. Ini ialah kerana apabila seseorang rakan atau pekerja berpendapat ianya sudah cukup cekap, maka ia akan meninggalkan syarikat untuk menubuhkan syarikatnya sendiri. Jika rakan kongsi atau majikannya bukan Bumiputera, lebih banyak alasan didapati untuk berpisah. Oleh sebab itu jarangkali terdapat perkongsian Bumiputera dengan bukan Bumiputera yang kekal. Dengan itu kesempatan untuk rakan Bumiputera belajar adalah terbatas.

55. Masalah ini perlu diatasi. Syarikat besar diakui lebih mampu berjaya daripada syarikat kecil. Dalam beberapa bidang perusahaan tidak ada tempat sama sekali untuk syarikat kecil. Justeru itu, Bumiputera dengan bukan Bumiputera perlu belajar bekerjasama dan bersikap lebih toleran terhadap masing-masing. Dengan cara ini baharulah dapat diadakan perkongsian yang bermakna di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dan masing-masing dapat mempelajari kecekapan masing-masing.

56. Kerjasama Bumiputera dengan bukan Bumiputera bukan sahaja baik dalam usaha mencapai matlamat DEB dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) tetapi juga baik untuk politik dan negara. Hakikatnya ialah kita tidak boleh mengadakan dua ekonomi yang berasingan dalam negara kita. Ekonomi Bumiputera dan bukan Bumiputera mestilah diintegrasikan untuk mengelak perasaan iri hati bagi mana-mana pihak.

57. Justeru itu penyertaan bukan Bumiputera dalam Kongres ini adalah penting. Mereka mempunyai peranan dalam Kongres ini dan dalam perlaksanaan resolusi-resolusi tertentu Kongres ini.

58. Mungkin ini dianggap terlalu optimistik tetapi dalam apa juga rancangan atau pendekatan kita perlu kepada "opti- mism". Tanpa harapan besar tidak mungkin beberapa rancangan kita mencapai kejayaan. Cita-cita dan harapan besar -- ambi- tion and high expectation yang munasabah -- adalah sebahagian daripada apa juga rancangan.

59. Kongres Ketiga ini diadakan sejurus selepas pelancaran DPN bagi menggantikan DEB. Antara matlamat utama DPN ialah mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Sudah tentu Kerajaan mempunyai peranan yang besar dalam mewujudkan MPPB ini. Sudah tentu juga masyarakat Bumiputera mempunyai pendapat berkenaan dengan peranan dan tindakan yang harus diambil oleh Kerajaan. Dan Kerajaan memberi pengakuan akan menimbang dengan sewajarnya segala cadangan berkenaan apa yang perlu diperbuatkan oleh Kerajaan untuk mewujudkan MPPB dan melaksanakan apa yang mampu dibuat olehnya dengan bersungguh-sungguh.

60. Tetapi yang harus diingat ialah yang akan menjadi anggota MPPB ini ialah individu Bumiputera. Bukan semua Bumiputera akan menganggotainya. Hanya sebilangan kecil Bumiputera sahaja yang akan menjadi anggota golongan ini.Dan mereka ini perlu mempunyai kebolehan-kebolehan tertentu.

61. Masalah yang akan dihadapi ialah bagaimana menentukan siapa yang harus dibantu oleh Kerajaan supaya menjadi anggota MPPB ini. Apakah dapat kita mengenalpasti mereka melalu minat mereka, atau kelulusan mereka, ataupun ukuran- ukuran lain? Walau apapun kriteria yang digunakan akan ada mereka yang kecewa kerana kononnya ada pilih kasih.

62. Sebelum daripada ini tidak ada mana-mana negara atau masyarakat yang secara sengaja cuba mewujudkan satu kumpulan pedagang dan pengusaha daripada kalangan rakyatnya. Jika ada pedagang dan pengusaha, mereka wujud dengan sendirinya, setelah berjaya mengatasi bermacam-macam masalah dan rintangan.

63. Keputusan untuk sengaja mengadakan kumpulan ini bermakna pilihan perlu dibuat melalui kriteria tertentu dan kemudian bantuan perlu diberi. Tidak mungkin semua yang berminat akan dipilih.

64. Permodalan Nasional Berhad sudahpun memulakan usaha ke arah ini. Adalah jelas bahawa bukan sahaja minat yang diperlukan, tetapi juga kemampuan kewangan dan pengalaman pengurusan. Ini bermakna hanya mereka yang sudahpun menunjukkan prestasi yang memuaskan dan sanggup melabur wang sendiri yang akan diberi pertolongan tertentu. Untuk menentukan mereka ini mampu menghadapi realiti dunia perniagaan, bantuan yang diberi ini pun bukanlah percuma.

65. Pendekatan ini adalah jauh berbeza dengan pendekatan semasa DEB dilaksanakan. Di masa DEB, kelayakan mendapat bantuan bergantung sama ada calon itu Bumiputera atau tidak sahaja. Adalah jelas pendekatan ini mudah disalahgunakan dan tidak berjaya mewujudkan MPPB.

66. Kerajaan sebenarnya sudah mengenalpasti banyak lapangan dan jurusan yang berpotensi bagi penyertaan Bumiputera, sama ada yang kecil atau yang besar. Seperti juga dengan bidang kerja, pertemuan minat dengan peluang menjadi masalah.Kebanyakan daripada bidang yang dikenalpasti mungkin tidak diminati oleh individu Bumiputera. Malangnya jika individu Bumiputera mahu membuat apa yang diingininya sahaja, perwujudan MPPB tidak akan berkesan. Justeru itu, Bumiputera hendaklah sanggup menyesuaikan diri dengan peluang dan bukan sebaliknya.

67. Satu Kongres Bumiputera tidak mungkin menyelesaikan atau mengenalpasti semua masalah Bumiputera. Mungkin Kongres ini akan diturut dengan lain-lain Kongres, konvensyen, woksyop dan sebagainya.

68. Bahayanya ialah terlalu banyak perbincangan, usul dan desakan tidak akan memberi masa untuk melaksanakan apa-apa keputusan dengan berkesan. Sementara kita harus kaji pencapaian dari semasa ke semasa, kita juga harus memberi masa yang mencukupi bagi pelaksanaan membuahkan hasil.

69. Satu pendekatan yang dipersoalkan ialah penswastaan dan kesannya terhadap penyertaan Bumiputera. Memandang kepada kelemahan Bumiputera, ada kemungkinan penswastaan akan menambah bahagian bukan Bumiputera dan menjejaskan pencapaian DEB.

70. Sebenarnya cadangan penswastaan hanya dibuat setelah badan-badan kepentingan Bumiputera, umpamanya PNB, sudah mencukupi dan berkemampuan. Sehingga kini bahagian Bumiputera tidak terjejas kerana penswastaan walaupun peningkatannya terjejas sedikit kerana ada individu Bumiputera termasuk pekerja yang mencari keuntungan cepat dengan menjual saham mereka.

71. Tetapi daripada penswastaan banyak peluang dan pengalaman dalam bidang pengurusan dan perniagaan telah diperolehi oleh Bumiputera dan mereka telah membuktikan kebolehan mereka. Dengan perkataan lain, proses penswastaan juga menolong mengenalpasti mereka yang boleh menjadi anggota MPPB. Justeru itu Kerajaan akan meneruskan proses penswastaan yang jelas membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan, lebih-lebih lagi dalam keadaan Kerajaan tidak mampu menanggung beban pembiayaan kemudahan awam yang selalu rugi. Penswastaan sebenarnya telah menolong proses pembangunan yang diperlukan untuk menjayakan DEB, dan diyakini akan menjayakan DPN.

72. Kekhuatiran terhadap penswastaan dalam usaha mencapai matalamat DPN tidak harus ada. Pandangan yang positif hendaklah ditunjuk oleh Bumiputera dan mereka harus mencari peranan dan peluang dalam proses penswastaan untuk menjayakan lagi DPN.

73. Akhir kata saya berharap Kongres ini dapat berjalan dengan baik dan mencapai matlamatnya. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Kongres.

74. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera yang Ketiga ini.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Kami menerima 4,801,313 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2020 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri