English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN DWI TAHUNAN MAJLIS BERSAMA KEBANGSAAN BAGI PEKERJA-PEKERJA PENGURUSAN & PROFESIONAL (MBK P&P) DAN MAJLIS BERSAMA KEBANGSAAN BAGI PEKERJA-SAINS & TEKNOLOGI DALAM KUMPULAN SOKONGAN (MBK S&T)
Lokasi : DEWAN BESAR WISMA BELIA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 31-07-2000
 
Yang Berbahagia

Tan Sri Dato' Samsudin bin Osman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia,

Yang Berusaha Encik Siva Subramaniam Presiden CUEPACS

Yang Berusaha Encik Abu Bakar Shawkat Ali Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan Bagi Pekerja- Pekerja, Pengurusan & Profesional (MBK P&P)

Yang Berusaha Encik Abdul Rahim Mahad Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan Bagi Pekerja- Pekerja, Sains & Teknologi Dalam Kumpulan Sokongan (MBK S&T)

Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan,

Ahli-Ahli Majlis Pihak Pekerja MBK P&P Dan MBK S&T, Pemimpin-Pemimpin Kesatuan Gabungan,

Para Perwakilan Dan Pemerhati, Tuan-tuan dan Puan-puan yang Dihormati Sekalian

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Pihak Pekerja MBK P&P Encik Abu Bakar bin Shawkat Ali dan Ahli Majlis MBK P&P, serta Pengerusi Pihak Pekerja MBK S&T Encik Abdul Rahim bin Mahad dan seluruh Ahli Majlis MBK S&T kerana sudi menjemput dan memberi penghormatan kepada saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan Konvensyen Dwi Tahunan Majlis Bersama Kebangsaan Pihak Pekerja bagi tahun 2000 - 2002.

2. Sebagaimana kita sedia maklum, Majlis Bersama Kebangsaan (National Joint Council) adalah merupakan salah satu forum yang diwujudkan dalam jentera perhubungan majikan-pekerja. Pengwujudan MBK ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1992 di mana ia memainkan peranan sebagai forum bagi Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja berunding atau membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan perkhidmatan, termasuk gaji, elaun, kemudahan dan kesejahteraan pekerja-pekerja. MBK juga memainkan peranan mewujudkan kerjasama yang erat di antara kedua-dua belah pihak ke arah meningkatkan kualiti dan prestasi Perkhidmatan Awam. Pada ketika ini saya rasa eloklah kalau kita imbas kembali kata- kata Y.A.B. Perdana Menteri sewaktu melancarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1992 (pada bulan Disember 1992) yang menyebutkan - "Kita tubuhkan MBK untuk kebaikan, kebaikan pekerja kebaikan Kerajaan, kebaikan pentadbiran dan kebaikan negara kita umumnya. Kita buat Majlis ini dengan harapan bahawa kita boleh adakan satu jenis, satu bentuk kerjasama antara Pihak Kerajaan sebagai majikan dan kakitangan Kerajaan kerana kita perlu kerjasama kedua-dua pihak. Hubungan baik dan saling memahami di antara Pihak Majikan dan Pekerja adalah satu elemen penting bagi menjayakan kemajuan negara".

3. Saya berasa amat bangga bahawa apa yang diharapkan oleh Kerajaan menjadi kenyataan. Bukan saja MBK telah ditubuhkan, tetapi juga ia dapar berjalan dengan lancar berlandaskan semangat kerjasama, muhibbah dan kekeluargaan. Melalui MBK Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja dapat berbincang, bertukar fikiran, berkongsi pendapat bagi menyelesaikan sesuatu masalah dalam suasana harmonis, tanpa konfrontasi atau bermusuhan.

Saya berharap sikap kejasama, dialog dan mutual consultation antara pihak pegawai dan pekerja ini akan terus dipupuk dan dipelihara selama-lamanya demi ketenteraman dan keharmonian dalam Perkhidmatan Awam.

Ini tidak bermakna semua yang dibangkitkan dalam MBK dapat diselesaikan serta merta atau memuaskan hati semua pihak, tetapi apa yang penting adalah kerelaan untuk duduk bersama membincang isu-isu berkenaan secara terbuka dan ikhlas dimana pihak pegawai dan pekerja dapat memahami isu-isu itu secara jelas dari semua sudut. Apa jua keputusan yang diambil nescaya akan lebih seimbang/saksama (balanced) dan bersesuaian dengan kepentingan semua pihak, termasuk kepentingan negara.

4. Sepertimana biasa pada setiap Konvensyen MBK, kesemua perwakilan akan melaksanakan satu tugas penting, iaitu memilih Ahli Majlis yang baru bagi menduduki barisan kepimpinannya untuk tempoh 2 tahun akan dating. Saya berharap pucuk pimpinan baru yang akan dipilih ini akan dapat membimbing kesatuan ke arah pencapaian yang lebih tinggi lagi.

5. Barisan pemimpin baru ini mempunyai peranan yang cukup penting bagi merangka strategi yang sesuai, berkesan dan realistic untuk memajukan kepentingan pihak pekerja tanpa membelakangkan kepentingan negara. Peranan ini amat mencabar sekali bukan saja kerana expectation dari pihak pekerja semakin tinggi, tetapi juga kerana perubahyan yang melanda dunia, kesan dari kemajuan dan penggunaan teknologi maklumat secara meluas, dan arus globalisasi memaksa semua pihak termasuklah pegawai pengurusan dan juga sokongan, membuat penyesuaian dari segi tugas, latihan, kemahiran dan cara berfikir yang relevan selaras dengan perubahan yang berlaku. Oleh itu satu strategi yang comprehensive perlulah digubal secara bersama oleh pihak pengurusan dan pekerja bagi menangani cabaran- cabaran yang timbul secara bersepadu.

6. Sebagai satu forum yang menggabungkan pegawai dan pekerja, MBK mempunyai kedudukan yang cukup istimewa dalam usaha pembaharuan ini. MBK haruslah memberi perhatian kepada: (i) cara-cara mengubah sikap pekerja-pekerja supaya menerima tatacara bekerja serta system dan procedure yang baru; (ii) cara-cara kemahiran mengguna IT dapat diserapkan kepada semua pekerja; (iii) peningkatan ilmu di kalangan pekerja selaras dengan perkembangan K-Ekonomi di dalam negara kita sendiri.

7. Sungguhpun soal gaji dan elaun adalah penting, dalam keadaan di mana peningkatan kemahiran dan pengetahuan begitu mendesak, focus MBK haruslah ditumpukan kepada perkara-perkara yang saya sebutkan tadi. Penumpuan kepada ketiga-tiga perkara ini saya yakin akan meningkatkan produktiviti dan dengan sendirinya akan mempengaruhi gaji dan elaun yang diterima oleh pekerja. Kerajaan pernah mengatakan bahawa ia sanggup menimbang kenaikan gaji jika produktiviti meningkat.

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

8. Perkhidmatan Awam Malaysia, sejak Merdeka lagi, telah memainkan peranan yang cukup effektif bagi membangunkan negara dan menjamin kestabilan dan kemakmurannya. Dan sebuah negara membangun yang bergantung semata-mata kepada getah dan bijih timah pada tahun 50an, Malaysia sekarang telah menjadi sebuah negara perindustrian yang mengeluarkan berbagai barang perkilangan. Ancaman komunis dan konfrontasi Indonesia berhasil dipatahkan dan sekarang ini negara kita bebas dari ancaman bersenjata dari dalam maupun luar negeri.

Sumbangan Perkhidmatan Awam diiktiraf oleh Kerajaan dan semua pihak di negara ini. Kita disanjung tinggi dan dihormati oleh masyarakat. Kejayaan Perkhidmatan Awam kita ini banyak bergantung kepada perpaduan antara anggota-anggota dan pegangan teguh mereka kepada prinsip neutrality, iaitu tidak memihak kepada mana- mana parti politik dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Kerajaan yang memerintah. Oleh yang demikian mereka dapat melaksanakan semua dasar Kerajaan secara padu, tanpa sebarang keraguan. Tetapi akhir- akhir ini, terdapat usaha-usaha dari pihak-pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pegawai Kerajaan supaya tidak menyokong Kerajaan dan bertindak menentang Kerajaan. Ini adalah satu perkembangan yang mempunyai implikasi serius kepada perpaduan Perkhidmatan Awam kita. Jika usaha-usaha ini berhasil, maka akan berpecah-belahlah Perkhidmatan Awam negara ini dan dengan itu hilanglah kekuatan dan keberkesanan kita sebagai pentadbir dan pelaksana dasar-dasar Kerajaan, termasuklah pembangunan negara.

9. Di samping itu juga terdapat usaha-usaha untuk memecah belah masyarakat, termasuklah Perkhidmatan Awam, dengan menggunakan agama. Kelas-kelas dan ceramah-ceramah agama telah di salah-gunakan bagi menyebar rasa benci kepada pemimpin dan Kerajaan. Kegiatan-kegiatan ini kalau tidak dibendung akan melemahkan masyarakat serta Perkhidmatan kita. Oleh itu amatlah perlu bagi setiap anggota Perkhidmatan Awam diberi penjelasan dan penerangan mengenai bahayanya usaha-usaha ini supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang disebar. Dalam hal ini saya ras MBK juga mempunyai peranan yang penting untuk memaklumkan kepada semua kakitangan Kerajaan tentang perlunya dipelihara perpaduan dalam Perkhidmatan Awam serta prinsip taat setia oleh setiap anggota kepada Kerajaan yang memerintah. Saya berharap MBK akan merangka strategi yang sesuai bagi mencapai tujuan ini.

Para hadirin sekalian,,

10. Saya ingin menekankan sekali lagi harapan Kerajaan agar MBK dapat memainkan peranannya sebagai forum bagi menyelesaikan apa-apa masalah yang ada, meningkatkan prestasi dan produktiviti pekerja dan menjaga keharmonian dalam Perkhidmatan Awam. Saya berdoa semoga konvensyen ini akan menghasilkan cadangan serta strategi yang bernas bagi kebaikan Perkhidmatan Awam keseluruhannya.

11. Baru-baru ini dalam sebuah seminar mengenai Malaysia-Inc (Persyarikatan Malaysia) beberapa peserta mebangkitkan tentang kelemahan yang masih terdapat di kalangan pegawai, khususnya pegawai sokongan.

Antaranya ialah counter service yang tidak baik di mana rakyat biasa dan pihak swasta tidak mendapat layanan yang sewajarnya. Ada juga aduan tentang piagam pelanggan yang tidak dipraktikkan di banyak pejabat.

Tidak kurang juga aduan tentang rasuah di kalangan pegawai-pegawai sokongan yang berurusan dengan orang ramai. Ini menunjukkan bahawa orang ramai masih belum puas hati sepenuhnya dengan perkhidmatan yang diberi oleh beberapa jabatan dan pegawai-pegawainya. Perkara ini harus juga diberi perhatian oleh MBK. Tugas ini menjadi tanggungjawab bersama pihak pengurusan dan pekerja. Saya percaya jika pemimpin-pemimpin pekerja turut membantu, tugas mengatasi kelemahan-kelemahan yang mencemar nama baik Perkhidmatan Awam akan menjadi lebih effektif. Slogan "Bersih, Cekap, Amanah" mestilah dijadikana amaln yang tulin dan bukan semata- mata untuk sedap didengar sahaja.

12. Kita sekarang berada dalam dunia yang cukup competitive, di mana persaingan dalam bidang ekonomi - samada menarik pelabur maupun mendapat pasaran bagi barangan eksport adalah hebat sekali. Hanya dengan adanya Perkhidmatan Awam yang cekap, bersih dari gejala rasuah dan business friendly, barulah dapat negara kita memperolehi competitive edge dan berjaya bersaing untuk manfaat negara. Peranan MBK dalam hal ini amatlah penting sekali.

13. Akhirkata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Pihak Pekerja dan ahli- ahlinya kerana sudi menjemput saya hadir ke Konvensyen pada hari ini. Saya percaya Konvensyen ini akan dapat berjalan dengan lancar dan berjaya memilih Ahli-ahli Majlis yang baru yang sama berkaliber untuk meneruskan perjuangannya.

14. Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM saya merasmikan Konvensyen Dwi Tahunan MBK P&P dan MBK S&T pada pagi ini.

Kami menerima 2,781,106 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri