English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN SEMINAR DAN BENGKEL KECEMERLANGAN PENDIDIKAN DAN PENINGKATAN KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN
Lokasi : SELESA HOMES, GENTING
Tarikh : 11-08-2000
 
Y.Bhg. Puan Sri Teh Zahariah Jahidin

Yang Di Pertua PUSPANITA Kebangsaan

Y.Bhg. Datin Rohati,Yang Berusaha Dr. Salbiah Ismail Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Satu Putrajaya Tuan-tuan, Puan-puan, Pelajar-pelajar dan Ibubapa Yang Saya hormati Sekelian.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kerana menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan seminar dan bengkel 'Kecemerlangan Pendidikan Dan Peningkatan Kemahiran Keibubapaan' pada petang ini. Saya ucapkan syabas kepada PUSPANITA di atas usaha dan persiapan untuk menganjurkan seminar ini, yang sememangnya penting untuk memupuk hubungan erat dan persefahaman di kalangan kesemua peserta.

2. Saya amat mengalu-alukan penglibatan ibu bapa dalam program ini, kerana institusi keluarga pada masa kini menghadapi begitu banyak cabaran yang boleh menjejaskan keutuhan institusi ini. Ibu bapa memerlukan kemahiran dalam mendidik anak-anak dan kedua- dua pihak iaitu ibu dan bapa, perlulah berkongsi peranan dalam mewujudkan keluarga bahagia dan harmoni.

Di samping memerlukan pengetahuan dalam bidang keibubapaan, kemahiran berkomunikasi di antara anggota keluarga, terutama dengan anak-anak, merupakan kemahiran yang amat diperlukan oleh ibu bapa pada masa ini.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

3. Seminar yang dianjurkan ini adalah berteraskan kepada PENDIDIKAN. Pendidikan sebenarnya melibatkan setiap orang dan menyentuh kehidupan semua manusia. Proses pendidikan seseorang bermula sebaik saja ia dilahirkan. Suasana rumah yang aman dan teratur di mana terdapat kasih sayang serta disiplin yang tinggi di kalangan setiap ahli keluarga akan melahirkan anak- anak yang bersikap positif. Anak-anak yang mempamerkan tingkah laku yang baik lazimnya datang dari keluarga di mana mereka berpeluang memerhati dan mencontohi tingkah laku yang baik dari ibu bapa mereka sendiri. Apabila anak-anak ini mencapai umur 7 tahun, mereka akan mengalami pendidikan secara formal di sekolah.

Pendidikan di sekolah ini merupakan kesinambungan dari pendidikan tidak formal dari rumah.

4. Dalam alam persekolahan, guru bukan hanya berperanan untuk mengajar ilmu-ilmu yang tertentu seperti yang terdapat dalam korikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, tetapi juga berperanan untuk mengasuh, mendidik, melatih, dan membentuk anak- anak ini supaya menjadi pelajar yang pandai, bermaruah, berperibadian tinggi, serta memiliki sifat-sifat kesahsiahan yang terpuji. Di alam inilah proses mengasah dan memajukan pertumbuhan serta perkembangan seseorang individu dari aspek jasmani, akal, emosi, sosial, dan moral berlaku. Ibu bapa juga harus sedar bahawa proses pendidikan ini adalah suatu yang berterusan yang tidak hanya berlaku di sekolah sahaja.

Ibu bapa juga adalah pendidik di rumah dan wajib memastikan bahawa di rumah harus ada proses pendidikan seperti yang dilaksanakan di sekolah kerana pendidikan tidak berakhir di ruang sekolah sahaja. Kita mesti ingat bahawa dalam satu hari (24 jam) anak-anak hanya berada di sekolah dan di bawah pengawasan guru selama lebih kurang 8 jam sahaja. Enam belas jam lagi mereka berada di luar sekolah dan di bawah jagaan ibu bapa.

5. Pelajar pula harus sedar bahawa PENDIDIKAN is a life long process iaitu ia bermula dari sejak kita lahir hinggalah ke akhir hayat dan ianya berlaku di mana-mana sahaja, di rumah, di kantin, di padang permainan ataupun di tempat menunggu bas. Saya ingin menekankan bahawa hanya pendidikan yang sempurna sahaja dapat memastikan kesempurnaan dalam hidup.

Kesempurnaan dalam hidup bukan hanya bergantung kepada kelulusan dalam peperiksaan sahaja atau sekeping kertas sijil atau IJAZAH. Kesempurnaan yang dimaksudkan adalah apabila seseorang pelajar itu meninggalkan dunia persekolahan dia bukan hanya telah menjadi manusia yang berpengetahuan tetapi juga dia sepatutnya mampu mempamerkan ciri-ciri positif seperti bertanggungjawab, taat setia, mempunyai disiplin yang tinggi, dan menghayati serta mengamalkan falsafah RUKUN NEGARA yang dilafazkan pada tiap-tiap hari perhimpunan, iaitu: kepercayaan kepada Tuhan; kesetiaan kepada raja dan negara; kedaulatan undang- undang; keluhuran perlembagaan; kesopanan dan kesusilaan. Pegangan ini bukan hanya akan menjamin kesejahteraan dan kemuliaan diri sendiri, malah keluarga dan negara.

Tuan-tuan, Puan-puan dan murid-murid sekelian,

6. Sungguhpun negara kita telah mencapai banyak kemajuan, namun kita masih berada di tahap negara membangun. Hasrat Kerajaan selaras dengan Wawasan 2020 adalah untuk menjadi sebuah negara maju - maju bukan saja dari segi ekonomi dan pendapatan yang tinggi serta penggunaan sains dan teknologi secara meluas, tetapi maju dari segi pembangunan social, amalan hidup yang bermoral tinggi dan saling hormat menghormati agama dan kebudayaan tiap-tiap kaum yang menjadi rakyat Malaysia.

Bagi mencapai hasrat ini, negara kita mestilah melahirkan pemuda-pemudi yang bukan saja berpengetahuan dan berilmu, tetapi juga mempunyai pandangan jauh dan terbuka kepada idea-idea baru tanpa mengenepikan kebudayaan dan adat resam kita. Dalam negara majmuk seperti Malaysia ini di mana terdapat berbagai kaum, agama dan kebudayaan, pemuda-pemudi kita mestilah mempunyai sikap toleransi, dan persefahaman yang tinggi supaya perpaduan dan keharmonian antara semua rakyat berbilang kaum dapat dipelihara.

7. Dalam hal ini peranan ibu bapa dan guru-guru bagi melahirkan generasi muda yang dapat menjamin kemajuan, kemakmuran dan keamanan negara kita secara berterusan amatlah penting sekali. Di samping mendorong anak- anak dan murid-murid mereka supaya kuat belajar dan minat kepada ilmu pengetahuan, ibu bapa dan guru mestilah melatih anak-anak supaya mematuhi undang- undang, mengamalkan gaya hidup yang sihat, dan elakkan pandangan serta fahaman yang sempit dan ekstrim.

Mereka mesti ingat bahawa apa yang mereka ajar dan tutur, samada di sekolah, di rumah atau di mana-mana saja akan mempengaruhi pemikiran anak-anak. Mereka adalah role model atau menjadi contoh kepada anak-anak ini. Tuan-tuan dan puan-puan sendiri pun tahu bahawa anak-anak yang sering ditengking, dan dimaki hamun di rumah, apabila besar nanti dia juga akan menjadi seorang yang suka menengking dan gunakan perkataan kasar kepada orang lain. Sebaliknya anak-anak yang diberi nasihat dan tunjuk ajar dengan baik, tanpa dijerit dan ditengking setiap hari, mereka tidak akan menjerit dan menengking orang lain sewenang-wenangnya.

8. Jika anak-anak dari kecil lagi diajar membenci Kerajaan atau pemimpin-pemimpin tertentu, saya khuatir benci membenci ini akan menjadi budaya mereka apabila besar nanti. Apakah akan jadi kepada negara kita jika budaya ini menular kepada seluruh muda mudi kita? Padah akibatnya. Sengaja saya bangkitkan perkara ini kerana akhir-akhir ini akibat perbezaan politik, ada ibu bapa dan juga pegawai-pegawai yang cuba menyebarkan dakyah serta rasa benci terhadap Kerajaan dan pemimpin- pemimpinnya kepada anak-anak. Ada juga yang menggunakan agama sebagai alat untuk menyebar rasa benci ini. Perbuatan ini amat merbahaya sekali. Perbezaan politik tidak boleh dijadikan alat untuk meracuni pemikiran anak-anak dan menanam budaya benci yang akan merosak bangsa dan negara sendiri. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa berwaspada dan tidak membiarkan perkara ini menular di kalangan masyarakat, khususnya anak-anak sendiri.

9. Kebanyakan dari para peserta seminar ini adalah penduduk rumah Kerajaan di Putrajaya. Tuan-tuan dan puan-puan, termasuk murid-murid Sekolah Bistari Putrajaya adalah termasuk dalam golongan orang cukub bernasib baik kerana mendapat kemudahan tempat tinggal, tempat kerja dan sekolah yang cukup istimewa. Tetapi hidup di tempat ini juga memerlukan perubahan sikap dari setiap penghuni.

Perubahan sikap ini memerlukan pendidikan serta kerjasama dari semua pihak iaitu ibu bapa, guru dan murid-murid, dan oleh itu amat relevan dengan topik seminar ini. Kerajaan telah membangun Putrajaya dengan perbelanjaan yang cukup besar untuk kemudahan pegawai-pegawai Kerajaan sekarang dan masa depan.

Putrajaya direka sebagai sebuah taman yang menggabungkan kecantikan alam semula jadi, keselesaan hidup bermasyarakat serta pembangunan insan. Bagi menentukan bahawa taman ini kekal untuk dinikmati oleh semua anggota masyarakat, maka sudah tentulah penghuni- penghuninya memelihara segala kemudahan yang disediakan - memelihara kebersihan, kecantikan keseragaman dan ketertipan bangunan, serta alam sekeliling. Hidup berkelompok dalam satu masyarakat memerlukan disiplin, persefahaman dan kerjasama yang rapat antara semua penghuni, termasuk ibu bapa, dan anak-anak. Selama ini nampaknya persefahaman dan kerjasama antara penghuni adalah baik sungguhpun ada laporan tentang beberapa penghuni yang menunjukkan sikap berlainan dan enggan bekerjasama.

10. Saya ingin menyeru kepada ibu bapa supaya dalam menjalankan tugas keibubapaan, anak-anak hendaklah dilatih supaya mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi menjaga kebersihan dan kecantikan Putrajaya. Sama-samalah kita tegur meneguri supaya segala keindahan yang dirancang untuk Putrajaya akan berkekalan. Putrajaya adalah tempat yang terbaik untuk memupuk semangat kerjasama, disiplin dan budi pekerti yang tinggi - iaitu ciri-ciri yang perlu ada bagi kejayaan generasi muda akan datang. Putrajaya juga adalah tempat bagi pendidikan cemerlang serta ujian keibubapaan yang cukup istimewa.

11. Akhir kata saya berharap bengkel yang diadakan selama dua hari ini akan memberi manfaat dan mencapai matlamatnya seperti yang diharapkan terutama kepada pelajar khasnya, dan juga ibu bapa mereka serta juga guru-guru amnya. Dengan lafaz Bismillah saya dengan ini merasmikan 'Bengkel Kecemerlangan Pendidikan Dan Peningkatan Kemahiran Keibubapaan' pada petang ini.

Sekian.

Kami menerima 4,569,157 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri