English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI KUALITI PERKHIDMATAN AWAM PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2000
Lokasi : NEGERI SABAH
Tarikh : 10-11-2000
 
Pengerusi Majlis

Yang Berhormat Datuk K.Y. Mustapa Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

Y.Bhg. Datuk Alias bin Haji Ahmad Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah Datuk-Datuk,

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Terlebih dahulu saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Peningkatan Kualiti dan Produktiviti Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri Sabah kerana memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan majlis yang amat bermakna ini. Saya berasa amat gembira dapat bersama-sama dengan tuan/tuan/puan-puan bagi menyambut Hari Q Tahun 2000 Peringkat Negeri Sabah, iaitu sebuah negeri yang saya tahu telah banyak membuat perubahan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

2. Majlis Sambutan Hari Q mempunyai pengertian yang besar sekiranya kita benar-benar menghayati falsafah yang terkandung di dalamnya. Pada umumnya ia memperlihatkan komitmen dan sokongan kita kepada Gerakan Budaya Kerja Cemerlang yang dilancarkan oleh Kerajaan sejak 1983. Apa yang lebih penting ialah maksudnya yang tersirat iaitu sebagai satu bukti bahawa seluruh warga Perkhidmatan Awam adalah prihatin kepada usaha yang berterusan ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam organisasi masing-masing. Ia dianjurkan setiap tahun sebagai peringatan kepada kita semua bahawa usaha ke arah kecemerlangan adalah satu usaha yang berterusan, tanpa had waktu atau batasan. Dengan itu, sambutan Hari Kualiti hendaklah dilihat sebagai hari bagi mengulangi iltizam atau komitmen kita untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih sempurna melalui perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti kepada Kerajaan dan rakyat. Hari Kualiti juga harus digunakan untuk kita sama-sama menilai semula prestasi perkhidmatan kita secara individu atau di peringkat organisasi dan seterusnya bertindak memperbaiki dan menambah baik di mana-mana yang didapati lemah atau kurang berkesan.

3. Kecekapan dan mutu perkhidmatan yang tinggi, selain dari memuaskan hati pelanggan, juga akan membantu pertumbuhan ekonomi negara. Kita amat berbangga bahawa ekonomi negara telah pun pulih dari kegawatan dan kini berkembang semula dengan kadar pertumbuhan yang tinggi dan kadar inflasi yang rendah. Perkembangan ekonomi yang menggalakkan ini adalah sebahagian hasil daripada usaha gigih dan sifat bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam di seluruh negara, termasuklah di Sabah sendiri. Terima kasih saya ucapkan kepada semua.

4. Saya gembira melihat usaha-usaha kualiti giat dilaksanakan oleh jabatan-jabatan kerajaan di Sabah melalui beberapa program dan galakan seperti pemberian anugerah-anugerah seperti Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan, Anugerah Kualiti Pengurusan Projek, Anugerah Kualiti Teknologi Maklumat dan Anugerah Kualiti Pengurusan Tenaga Manusia. Kepada penerima anugerah kualiti pula, saya ucapkan tahniah, semoga contoh yang cemerlang ini sebagai ikutan kepada anggota-anggota lain.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

5. Tema sambutan Hari Q di peringkat Negeri Sabah tahun ini, iaitu "Menjana Perkhidmatan Awam Berinfomasi" memang sesuai dan tepat pada masanya. Trend dan arah aliran perkembangan dunia menuntut kita supaya membuat berbagai penyesuaian untuk membolehkan kita melangkah ke era k-ekonom yang berteraskan maklumat dan pengetahuan.

Dalam era K-economy kita akan menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh perkembangan teknologi dan persaingan global yang hebat. Kemahiran dalam penggunaan IT menjadi amat penting kepada setiap pekerja dan kakitangan.

Tanpa kemahiran dalam bidang ini tidak mungkin perkongsian maklumat dan perkhidmatan yang pantas dan cekap yang dapat memenuhi citarasa pelanggan dapat dipenuhi. Oleh itu, Anggota perkhidmatan awam hendaklah menyiapkan diri untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ICT supaya kita turut mencapai kejayaan dalam ekonomi baru ini.

6. Dalam abad Ke-21 ini banyak perkhidmatan Kerajaan akan disampaikan melalui rangkaian elektronik. Ini akan melibatkan perubahan dalam sistem dan cara kerja. Saya percaya penggunaan peralatan elektronik akan membawa ekspektasi baru yang semakin tinggi terhadap perkhidmatan yang diberi oleh agensi-agensi Kerajaan. Anggota-anggota perkhidmatan awam dituntut bukan sahaja supaya menjalankan tugas dengan lebih cekap dan pantas, tetapi juga dengan kaedah yang terkini. Ini merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi oleh kita semua sebagai anggota Perkhidmatan Awam.

7. Sepertimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, tahap kesedaran rakyat mengenai hak mereka pada hari ini adalah jauh lebih tinggi. Ekspektasi mereka terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan Kerajaan juga semakin tinggi . Mereka lebih mudah menggunakan pelbagai saluran untuk melahirkan rasa kurang puas hati terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan-jabatan kerajaan. Penyebaran berita yang negatif, terutamanya di media massa tentang jabatan-jabatan Kerajaan sudah tentu mencabar kredibiliti perkhidmatan awam dan Kerajaan. Jika nama sesebuah jabatan telah tercemar, bukanlah mudah untuk di baik pulih, malah ia boleh membawa persepsi yang kurang baik kepada jabatan-jabatan lain juga. Oleh itu adalah penting bagi anggota-anggota perkhidmatan awam sentiasa menjaga integriti dan kredibiliti perkhidmatan awam.

8. Bercakap tentang imej jabatan, saya ingin menekankan sekali lagi betapa pentingnya jabatan-jabatan kerajaan menggubal Piagam Pelanggan jabatan dan memastikan ianya di tepati. Piagam Pelanggan adalah janji kita kepada rakyat mengenai kualiti perkhidmatan yang hendak diberikan kepada mereka. Janji yang gagal di tunaikan akan menimbulkan rasa tidak puas hati pelanggan terhadap jabatan berkenaan. Malah sekiranya rasa tidak puas hati ini tidak dibendung, ia boleh mempengaruhi tanggapan pelanggan bahawa semua jabatan Kerajaan tidak mampu memenuhi janji yang telah dibuat. Akibatnya imej keseluruhan Perkhidmatan Awam akan terjejas.

Tuan-tuan dan puan-puan,

9. Baru-baru ini Kerajaan telah membuat teguran bahawa banyak lagi prosedur jabatan-jabatan kerajaan yang melambatkan pemberian perkhidmatan kepada rakyat dan sektor perniagaan. Oleh itu, semua jabatan-jabatan kerajaan telah diminta mengkaji semula prosedur-prosedur jabatan, dengan tujuan memansuhkan prosedur yang tidak diperlukan dan mengurangkan kerenah birokrasi atau red- tape. Saya ingin menegaskan di sini supaya Ketua-ketua Jabatan memberi perhatian yang serius kepada perkara ini agar rakyat terus yakin terhadap kualiti perkhidmatan awam.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Jika ditinjau secara keseluruhannya Perkhidmatan Awam kita telah mencapai banyak kemajuan sejak proses pembaharuan dan Gerakan Budaya Cemerlang dimulakan pada tahun 1983. Hari ini kita dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik dan cekap dari masa dulu. Cara kita mentadbir dan melaksanakan projek-projek pembangunan dipelajari dan dicontohi oleh banyak negara-negara asing.

Namun demikian, masih banyak yang perlu kita perbaiki supaya tahap perkhidmatan yang kita beri benar-benar berada di tahap world class. Bagi saya, tidak ada apa yang lebih menggembirakan dari melihat tidak ada lagi kritikan dan kecaman terhadap jabatan dan pegawai-pegawai Kerajaan yang dituduh lembab, tidak bertanggungjawab dan sebagainya. Kita hari ini berada dalam dunia yang berubah dengan pantas dan masyarakat yang semakin celek.

Harapan mereka adalah tinggi. Kita, anggota-anggota Perkhidmatan Awam mesti menyahujt cabaran ini. Malaysia boleh, Perkhidmatan Awam pun boleh.

11. Bagi mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah atas kejayaan mereka, semoga kejayaan ini akan mendorong rakan- rakan dan jabatan-jabatan lain berusaha dengan lebih gigih lagi bagi memenangi anugerah di tahun hadapan.

Bagi penganjur majlis ini, khususnya Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Setiausaha Persekutuan, termasuk semua yang bertungkus lumus bagi menjayakan sambutan Hari Q Negeri Sabah, saya ucapkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih. Usaha tuan- tuan/puan-puan sudah pasti akan membuahkan hasil yang baik bagi Perkhidmatan Awam kita.

12. Saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Kualiti Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sabah Tahun 2000.

Sekian. Wassalam.

Kami menerima 4,512,243 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri