English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS PENGANUGERAHAN SIJIL MS 9002 KEPADA JABATAN PENYIARAN MALAYSIA (RTM)
Lokasi : RTM
Tarikh : 05-09-2000
 
Y.B. Tan Sri Mohd. Khalil Yaakob Menteri Penerangan Malaysia

Y.Bhg. Datuk Zawawi Mahmuddin Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Malaysia

Puan Asmah bte Abdul Hamid Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Malaysia

Encik Alimusa Sulaiman Ketua Pengarah Penyiaran Ketua-ketua Jabatan Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekelian, Saya ingin terlebih dahulu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Jabatan Penyiaran kerana menjemput saya ke majlis Penganugerahan Sijil MS ISO 9000 kepada RTM pada pagi ini.

2. Saya juga merasa amat besar hati dengan kehadiran Y.B. Tan Sri Mohd. Khalil Yaakob, Menteri Penerangan Malaysia yang sudi turut serta dalam upacara pagi ini. Ini secara jelas menunjukkan betapa tinggi komitmen yang diberi oleh Y.B. Menteri terhadap usaha meningkatkan sistem kualiti di Jabatan Penerangan khususnya RTM.

3. Kejayaan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) memperolehi Sijil MS ISO 9002 merupakan satu pencapaian yang amat menggembirakan dalam usaha memajukan lagi Perkhidmatan Awam melalui pemakaian sistem pengurusan kualiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pencapaian ini meletakkan RTM sebagai badan penyiaran yang pertama dalam negara yang diberi pengiktirafan ISO 9000, khususnya bagi proses penerbitan berita radio.

Kepada semua warga kerja RTM tahniah saya ucapkan.

Y.B. Dato', Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

4. Tujuan Kerajaan menghendaki jabatan-jabatan Kerajaan mengguna-pakai sistem kualiti ISO 9000 adalah sebagai strategi untuk menerapkan budaya kerja cemerlang dalam Perkhidmatan Awam. Budaya kerja cemerlang bukan saja dapat menghasilkan perkhidmatan bermutu tinggi, yang memberi kepuasan kepada pelanggan, tetapi juga akan meningkatkan daya saing negara.

5. Kita kini sedang berada dalam arus perkembangan teknologi maklumat. Kemajuan pesat dalam bidang IT bukan sahaja memperlihatkan semakin banyaknya peralatan serba canggih untuk berkomunikasi dan menyebarkan maklumat, malah menjadi cabaran baru kepada peranan media elektronik yang sedia ada. Sebagai media rasmi Kerajaan, sudah pasti RTM berhadapan dengan saingan sengit daripada pelbagai sumber dari dalam dan luar negeri untuk menambat hati rakyat. Dalam hal ini RTM diuji dari masa ke semasa terutama bagi menerang dan menjelaskan isu-isu semasa yang berlaku. Setakat mana maklumat yang disebarkan oleh media rasmi ini mendapat perhatian dan penerimaan rakyat adalah bergantung kepada kualiti maklumat itu sendiri, sama ada ia tepat dari kesahihannya, cepat atau timely dari segi waktu penyebarannya dan menarik serta mudah difahami dari segi persembahannya.

6. Penyebaran maklumat secara berkesan merupakan pra- syarat bagi membolehkan usaha Kerajaan membuat perubahan atau memperkenalkan sesuatu dasar supaya diterima oleh rakyat. Ini penting bagi mengelakkan wujudnya jurang kefahaman di kalangan rakyat. Dengan penerimaan ini juga, akan lebih mudah bagi Kerajaan, melalui semua jabatan dan agensinya, merancang pembangunan dan melaksanakannya tanpa diragui rakyat.

Saudara saudari sekelian,

7. Dalam keadaan rakyat mudah mendapat pelbagai maklumat menerusi kecanggihan teknologi terkini, RTM perlu menilai kembali setakat mana berkesannya peranan yang telah dimainkan selama ini dan apakah pendekatan baru yang perlu dibuat supaya lebih serasi dan relevan dalam era baru ini. RTM sebagai media elektronik Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyebar maklumat yang tepat mengenai pembangunan dalam negara di samping membentuk pemikiran rakyat ke arah aspek- aspek positif seperti menyokong pembangunan, mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara, memupuk perpaduan kaum, memelihara alam sekitar dan sebagainya.

8. Kita tidak mahu maklumat yang diterima secara bebas oleh rakyat melalui pelbagai sumber menjadikan mereka hilang jati diri dan seterusnya hilang keyakinan kepada kemampuan negara sendiri. Kerana itu media elektronik yang mempunyai pengaruh besar mencorak pemikiran rakyat perlu kepada sistem pengurusan yang mempunyai keupayaan `self-censorship' yang sensitif kepada nasib bangsa dan masa depan negara.

9. Sehubungan itu, agenda pembangunan jangka-panjang negara mencapai Wawasan 2020 perlu diberi penekanan. Sebagai contoh, kita kini sedang menggerakkan secara bersungguh-sungguh bagi menjayakan Projek Koridor Raya Multimedia dan melaksanakan pelbagai sistem pengurusan dan perdagangan baru berasaskan teknologi maklumat seperti E-Dagang, E-Government dan sebagainya. Namun kefahaman rakyat masih pada tahap sederhana. Di samping itu Kerajaan telah melaksanakan berbagai lagi program dan projek untuk membangunkan ekonomi negara.

Sebagai contoh, bagi maksud membiayai program pendidikan dan menyediakan prasarana pendidikan berkualiti, Kementerian Pendidikan disediakan sejumlah 14.08 bilion ringgit bagi tahun 2000 bagi belanja mengurus dan pembangunan.

10. Kerajaan amat prihatin tentang kepentingan pelajaran untuk kesinambungan generasi intelek akan datang. Pada tahun 2000, Kerajaan akan melaksanakan persekolahan satu sesi dan bagi tujuan ini, langkah- langkah telah diambil untuk membina sebanyak 833 lagi buah sekolah yang terdiri daripada 371 buah sekolah baru dan 462 blok tambahan kepada sekolah-sekolah sedia ada. Pembinaan sekolah rendah, menengah, makmal komputer dan rumah guru di luar bandar terus diberi keutamaan. Sebanyak 609 buah sekolah rendah, 378 sekolah menengah, dan 16,712 unit rumah guru di 558 lokasi akan dibina. Di samping itu, Kerajaan akan memperhebatkan program celek komputer bagi penuntut- penuntut di sekolah luar bandar selaras dengan era IT.

Kos bagi melaksanakan kesemua projek ini berjumlah 8.8 bilion ringgit. Tetapi sayangnya banyak dari maklumat- maklumat ini kurang diketahui oleh rakyat. Dalam keadaan tersebut, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memperkecilkan peranan dan sumbangan Kerajaan kepada bangsa dan negara. Oleh itu amat penting bagi media menerang dan menjelaskan dasar-dasar dan pencapaian Kerajaan secara berterusan. Penjelasan ini bukan sahaja kepada rakyat umum, malah kepada semua anggota Perkhidmatan Awam, kerana mereka turut terlibat dalam melaksanakan projek-projek tersebut secara langsung atau tidak langsung.

11. Peranan media dalam pembangunan negara sudah terbukti semenjak kita mencapai kemerdekaan. Dasar demi dasar diperkenal dan dilaksanakan. Media berperanan menerangkan, agensi dan Jabatan Kerajaan melaksanakannya dan rakyat menyambut dan menerimanya.

Hasilnya, negara kita dengan barisan pemimpin yang dinamik dan sektor Perkhidmatan Awam yang komited, telah mencapai tahap pembangunan dalam masa yang singkat. Namun demikian, usaha-usaha meningkatkan lagi kecekapan dan kewibawaan Perkhidmatan Awam, termasuklah media Kerajaan, perlulah diteruskan. Persijilan MS ISO 9000 bukanlah matlamat akhir, tetapi permulaan ke arah penambah-baikan yang berterusan.

12. Sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-43 negara kita, maka sewajarnya kita dalam Perkhidmatan Awam hari ini merenung kembali kejayaan yang telah kita capai dan mencontohi semangat bekerja yang telah ditunjukkan oleh anggota-anggota Perkhidmatan Awam sebelumnya. Saya percaya sumbang bakti yang ditabur mereka itulah yang turut kita nikmati pada hari ini. Sekiranya kita menghayati semangat kerja mereka dan diadun dengan kemajuan teknologi pada hari ini, tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh mendahului masa untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju lebih awal dari tempoh masa yang telah disasarkan.

13. Sebagai anggota media rasmi Kerajaan, saudara saudari diamanahkan untuk memberi perkhidmatan dengan penuh bertanggungjawab, sama seperti Anggota Perkhidmatan Awam lainnya. Kita hendaklah mengutamakan kerjaya pada tahap profesionalisme yang tinggi, dengan penuh taat setia kepada Kerajaan yang dipilih rakyat. Soal kesetiaan ini perlu diberi penekanan oleh kerana tanpanya prestasi serta imej Perkhidmatan Awam boleh terjejas. Sebagai jentera Kerajaan, semua anggota Perkhidmatan Awam hendaklah menerima hakikat bahawa kita bekerja dengan Kerajaan yang dipilih majoriti rakyat dan kita tidak boleh mengkhianati amanah rakyat.

Saudara saudari sekelian,

14. Saya berharap semua jabatan atau agensi yang belum mendapat pengiktirafan persijilan MS ISO 9000 agar segera berbuat demikian. Proses untuk mendapatkannya memerlukan komitmen yang tinggi daripada pihak pengurusan dan disokong oleh semua petugas di dalam perkhidmatan yang melaksanakannya. Kepada RTM sekali lagi tahniah diucapkan. Semoga dengan pengiktirafan ini kualiti persembahan dan siaran RTM sebagai badan penyiaran yang tertua di negara ini akan terus ditingkatkan.

Syabas dan terima kasih.

Kami menerima 4,570,149 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri