English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : YBHG TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PEJABAT "MALAYSIAN NATURE SOCIETY" (MNS)
Lokasi : KUALA LUMPUR
Tarikh : 27-02-1999
 
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia, dan juga kerana sudi menjemput saya ke majlis ini untuk merasmikan ibu pejabatnya yang baru dan seterusnya melancarkan Minggu Terbuka MNS yang bermula dari 1 Mac 1999 sehingga 6 Mac 1999. Saya juga mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Penganjur yang telah bekerja keras untuk majlis pada pagi ini.

2. Sebagai sebuah bangunan kerajaan, bangunan ini pernah diduduki oleh pegawai kerajaan ataupun salah satu jabatan kerajaan. Penghuni terakhir adalah Pusat Sains Negara. Sungguhpun banyak persatuan yang memohon untuk menduduki rumah ini setelah Pusat Sains Negara berpindah ke bangunan baru, Kerajaan telah mengambil keputusan meluluskan permohonan dari MNS kerana MNS dinilai sebagai sebuah persatuan yang banyak berjasa kepada negara, khususnya dalam bidang pemeliharaan alam semula jadi. So in a small way, the approval given to MNS to use this building as its office, is a recognition by the government to the society for the role it has played in instilling the love of nature and in the protection and conservation of nature in this country.

3. Saya berasa amat bangga kerana peranan MNS adalah selaras dengan dasar kerajaan sendiri iaitu memelihara alam sekitar dengan segala biodiversitynya supaya generasi akan datang akan menikmati warisan alam semula jadi negara kita yang kaya ini. Seperti yang tuan- tuan/puan-puan ketahui, pembangunan yang pesat di merata dunia, termasuk di negara kita sendiri, yang melibatkan pembinaan infrastruktur seperti jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang, bandar-bandar baru, kilang dan sebagainya, sudah tentu akan memberi kesan ke atas alam sekitar dalam alam semula jadi amnya. Menyedari hakikat ini Kerajaan telah mengenakan syarat-syarat dan peraturan tertentu supaya tiap-tiap pembangunan mengambil-kira kesan ke atas alam sekitar dengan tujuan tidak berlaku kerosakan ke atas alam sekitar. Konsep pembangunan mampan atau sustainable development kini menjadi dasar utama kerajaan di mana perseimbangan yang sihat - healty balance - antara pembangunan dan pemeliharaan alam semula jadi mesti dipertahankan.

Bagi menentukan dasar serta peraturan-peraturan Kerajaan difahami dan dituruti oleh semua, samada individu syarikat-syarikat atau badan-badan tertentu, kempen kesedaran perlulah diadakan secara berterusan.

Kerajaan sendiri ada mempunyai program kesedaran alam sekitarnya sendiri di kalangan industri dan swasta dan juga di kalangan pelajar-pelajar. MNS juga mempunyai kempen kesedarannya sendiri melalui seminar dan simposium dan percetakan majalah-majalah dan makalah berkaitan alam semula jadi. Oleh itu bidang dan ruang untuk kerjasama antara MNS dan kerajaan adalah luas sekali. Saya berharap kerjasama ini dapat ditingkatkan dari tahun ke tahun supaya sama-sama kita dapat memelihara alam sekitar untuk generasi sekarang dan akan datang.

4. Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang aktif dalam penyelidikan dan perlindungan alam semulajadi, pengalaman dan sumbangan Persatuan Pencinta Alam Malaysia adalah perlu dan amat dialu-alukan.

5. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia, dan turut berasa berbangga di atas kejayaannya di dalam berbagai projek pemuliharaan dan ekspedisi saintifik, contohnya Endau-Rompin pada tahun 80'an dan Belum-Temenggor pada tahun 90' an.

Pencapaian Persatuan Pencinta Alam Malaysia ini telah mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa sehingga berjaya mendapat anugerah Pingat Global 500 oleh United Nations Environment Programme (UNEP) pada tahun 1991.

6. Saya difahamkan ramai ahli Persatuan yang meluangkan masa secara sukarela untuk menjalankan aktiviti-aktiviti Persatuan. Semangat kesukarelawan ini amat membanggakan dan harus dicontohi. Berkat komitmen dan dedikasi ahli-ahli MNS, yang di antara mereka, termasuklah Dato' Dr. Salleh, telah mendapati pengiktirafan dunia luar terhadap peranan dan sumbangan mereka di dalam bidang pemeliharaan hutan dan sebagainya. Saya percaya dengan dedikasi yang ada di kalangan ahli-ahli dan pucuk pimpinannya MNS akan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

7. Sempena menyambut ulangtahun Persatuan ini yang ke 60 pada tahun 2000, saya berharap dengan adanya pejabat baru yang serba lengkap ini, usaha-usaha persediaan ke arah menjayakan perayaan tersebut akan berjalan lancar, di samping memperbaharui tekad untuk terus berjaya dalam aktiviti-aktiviti yang bakal diceburi.

8. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan ibu pejabat Persatuan Pencinta Alam Malaysia, dan seterusnya melancarkan Minggu Terbuka MNS yang akan bermula pada 1 Mac sehingga 6 Mac 1999.

Sekian, terima kasih.

Kami menerima 2,683,627 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri