English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : JAMUAN MAKAN MALAM SEMPENA MESYUARAT KETUA-KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN,KETUA-KETUA PERKHIDMATAN DAN SETIAUSAHA-SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI
Lokasi : DEWAN BANKUASI, DEWAN UNDANGAN NEGERI
Tarikh : 04-08-1996
 
1. Saya bagi pihak Ahli-ahli Mesyuarat mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah khasnya Yang Amat Berhormat Datuk Yong Teck Lee, Ketua Menteri Sabah oleh kerana sudi menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Perkhidmatan dan Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri di Kota Kinabalu pada 5 Ogos 1996 dan menjadi host Majlis Jamuan Makan Malam pada malam ini.

2. Sebagai ketua dan pemimpin kepada Perkhidmatan Awam Malaysia, saya berbangga di atas pencapaian cemerlang dan kejayaan Perkhidmatan Awam dalam memainkan peranannya kepada pembangunan negara.

Namun demikian kita haruslah berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mengekal dan mempertingkatkan kualiti dan kecemerlangan Perkhidmatan Awam, baik di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat Negeri.

3. Dalam Perkhidmatan Awam kita akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk membentuk budaya kerja yang cemerlang di kalangan anggota Perkhidmatan Awam. Ke arah ini, Perkhidmatan Awam telah melaksanakan berbagai usaha untuk mempertingkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan. Pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan mencakupi bukan sahaja perubahan pada sistem dan prosidur kerja, bahkan terhadap perubahan sikap, minda dan pengamalan nilai-nilai murni. Usaha- usaha ini menjadikan Perkhidmatan Awam bertambah responsif kepada kehendak-kehendak pelanggan atau orang ramai dan juga Kerajaan. Melalui usaha-usaha penerapan nilai-nilai murni dan pengamalan etika kerja yang positif pula, kita berharap kakitangan Kerajaan akan dapat meningkatkan semangat untuk bekerja dengan berkualiti dan berdisiplin.

4. Semua perubahan ini dilakukan secara strategik dan teliti merupakan satu peralihan paradigma dalam Perkhidmatan Awam. Di bawah paradigma ini berbagai program pembaharuan dilaksanakan seperti pengurusan kualiti; pengamalan nilai murni dan etika kerja yang positif; peningkatan produktiviti, prestasi dan hasil kerja; Pensyarikatan Malaysia; pengurusan kewangan; pengendalian pengaduan awam; penggunaan teknologi maklumat dalam proses kerja; pengurusan personel; penambahbaikan kepada sistem dan prosidur kerja untuk mengurangkan kerenah birokrasi.

5. Kini kewibawaan Perkhidmatan Awam Malaysia maju setapak lagi di peringkat antarabangsa. Ini kerana Kerajaan telah bersetuju melaksanakan ISO 9000 dalam Perkhidmatan Awam. Pelaksanaan ISO 9000 akan melengkapkan lagi pengurusan kualiti yang dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan. Dengan pelaksanaan ini, Perkhidmatan Awam Malaysia menjadi Perkhidmatan Awam yang pertama di dalam dunia yang melaksanakan ISO 9000. Saya berharap semua Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri memberi komitmen bagi menjayakan pelaksanaan ISO 9000 di Jabatan dan Agensi masing-masing.

6. Saya merasa bangga oleh kerana dalam Perkhidmatan Awam di Sabah, kita mempunyai dua jawatankuasa yang gigih, komited kepada kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan Jabatan-jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri iaitu Jawatankuasa Pengawasan Kualiti dan Produktiviti yang dipengerusikan oleh Y.B. Datuk (Datu) Khalil bin Datu Haji Jamalul, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, dan Jawatankuasa Peningkatan Kualiti Jabatan-jabatan Persekutuan Sabah yang dipengerusikan oleh Y.Bhg.

Dato' Zainudin bin Dato' Awang Ngah, Setiausaha Persekutuan Sabah. Kedua-dua Jawatankuasa ini, melalui urusetia Unit Pemodenan Tadbiran Malaysia (MAMPU) Cawangan Sabah memainkan peranan yang penting menjalankan usaha-usaha bagi menggalakkan kesedaran dan pengamalan budaya kerja kualiti serta produktiviti di kalangan agensi-agensi Kerajaan di Sabah. Jawatankuasa-jawatankuasa ini menjalankan program dan aktiviti gerakan kualiti berbentuk pendidikan, kesedaran, penilaian dan penyelarasan seperti mengadakan kursus-kursus latihan, kempen- kempen kesedaran, lawatan dan pemeriksaan kualiti di agensi-agensi, memonitor pelaksanaan Pekeliling- pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) dan pembaharuan-pembaharuan pentadbiran, mengadakan program pengiktirafan kepada agensi-agensi Kerajaan yang memberi perkhidmatan berkualiti dan mengadakan majlis-majlis kualiti dan produktiviti.

7. Saya mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa-jawatankuasa ini serta MAMPU Cawangan Sabah di atas segala inisiatif dan usaha yang dijalankan. Saya berharap Agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri melaksanakan tugas mereka dengan lebih cekap, berkesan dan berintegriti untuk memenuhi keperluan dan kehendak rakyat serta Kerajaan supaya hasrat Kerajaan Negeri Sabah untuk memaju dan membangunkan Negeri ini dapat dicapai.

8. Saya juga telah membuat lawatan ke Jabatan- jabatan dan Agensi-agensi Persekutuan dan Negeri di Kota Kinabalu dan juga di daerah-daerah di Negeri Sabah. Dalam lawatan-lawatan ini, saya mendapati kebanyakan agensi Kerajaan di Sabah telah dan sedang mengambil inisiatif serta sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka. Kebanyakan mereka juga telah melaksanakan Pekeliling-pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam dan pembaharuan- pembaharuan pentadbiran seperti yang disarankan.

Saya menyeru semua Ketua Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah termasuk daerah, memberi komitmen dan memperhebatkan lagi pelaksanaan Pekeliling- pekeliling itu, lebih-lebih lagi agensi-agensi di peringkat daerah Negeri Sabah yang merupakan barisan hadapan yang bersemuka memberi perkhidmatan kepada rakyat. Selain Pekeliling-pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam, saya juga menyeru mereka mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan dengan mewujudkan, antara lain Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (QCC), pengurusan strategik dan teknologi maklumat dalam kerja-kerja harian mereka.

9. Salah satu perkara yang amat membanggakan saya ialah jalinan perhubungan dan kerjasama yang mesra dan erat wujud di kalangan Agensi-agensi serta Anggota Perkhidmatan Awam Kerajaan Persekutuan dan Negeri di Sabah. Perhubungan dan kerjasama ini bukan sahaja terdapat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab rasmi mereka, bahkan dalam majlis- majlis sosial dan rekreasi. Begitu juga perhubungan dan kerjasama terjalin dengan erat melalui penyertaan dan sokongan yang diberikan terhadap program-program kualiti dan produktiviti yang diusahakan bersama oleh Pegawai-pegawai Persekutuan dan Negeri.

10. Saya berharap anggota Perkhidmatan Awam, baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri terus berusaha meneroka dan melaksanakan program-program, strategi-strategi serta kaedah-kaedah yang lebih berkesan supaya kita dapat memantapkan lagi program- program pembangunan Kerajaan.

11. Saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Ketua-ketua Jabatan dan seluruh Anggota Perkhidmatan Awam yang telah bersama-sama berusaha membawa pembaharuan dan kemajuan dalam Perkhidmatan Awam di Malaysia amnya dan di Sabah khususnya. Saya berharap Perkhidmatan Awam akan terus menjadi cemerlang supaya sentiasa dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan bagi memenuhi keperluan dan hasrat Kerajaan menjayakan Wawasan 2020.

12. Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khasnya kepada Y.A.B. Datuk Yong Teck Lee, Ketua Menteri Sabah, dan juga Y.B. Datuk (Datu) Khalil bin Datu Haji Jamalul, Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai- pegawai Kerajaan Negeri Sabah dan dan Persekutuan yang telah memberikan kerjasama untuk menjayakan Mesyuarat Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua- ketua Perkhidmatan dan Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri di Negeri Sabah ini.

Kami menerima 4,514,942 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri