English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN PROJEK PELAKSANAAN SISTEM PERAKAUNAN BERKOMPUTER YANG STANDARD DI BADAN-BADAN BERKANUN PERSEKUTUAN
Lokasi : INTAN, BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 26-02-1996
 
1. Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak- banyak terima kasih di atas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk melancarkan projek Pelaksanaan Sistem Perakaunan Berkomputer Yang Standard -Standard Accounting System for Government Agencies" atau ringkasnya SAGA.

2. Keberkesanan pengurusan kewangan Kerajaan, khususnya di badan-badan berkanun akan terus dipertingkatkan. Badan-badan berkanun adalah merupakan komponen penting dalam jentera pentadbiran Kerajaan. Perbelanjaan yang besar telah diperuntukan bagi membiayai pengurusan dan aktiviti- aktiviti mereka. Kerajaan pada masa kebelakangan ini mengambil langkah tegas untuk memperkukuh pengurusan kewangan dan akauntabiliti badan-badan berkanun bagi mempastikan bahawa wang awam digunakan dengan sebaik mungkin dan mendatangkan faedah yang diharapkan oleh rakyat.

3 Diantara langkah penting yang telah dilaksanakan ialah menentukan supaya laporan kewangan dan laporan tahunan disediakan mengikut jadual tertentu supaya ianya dapat diaudit dan dibentang di Parlimen pada tarikh yang ditetapkan. Untuk membantu badan-badan berkanun, dua pekeliling iaitu Pekeliling Perbendaharaan Bil. 15 Tahun 1994 bertajuk "Garis Panduan Untuk Penyediaan dan Pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Badan-badan Berkanun Persekutuan" dan Surat Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 1995 bertajuk "Penyediaan Laporan Ringkasan Kedudukan Kewangan Dan Prestasi Badan-badan Berkanun Persekutuan", telahpun dikeluarkan kepada semua agensi-agensi Kerajaan.

4. Pekeliling Perbendaharaan Bil. 15 Tahun 1994 antara lain menetapkan dokumen-dokumen yang perlu disediakan dan dibentang kepada Kerajaan dan Parlimen dalam masa satu tahun selepas berakhirnya tahun kewangan. Surat Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 1995 pula mensyaratkan bahawa satu Laporan Ringkasan Kedudukan Kewangan dan Prestasi hendaklah disediakan oleh badan-badan berkanun dalam tempoh satu bulan selepas berakhirnya tahun kewangan.

5. Susulan kepada langkah tersebut, dalam bulan September 1994 Kerajaan telah mengarahkan supaya satu pakej perakaunan berkomputer yang standard yang sesuai dibangunkan. Pakej ini boleh diubahsuai daripada pakej perakaunan yang sedia terdapat dipasaran. Pakej ini hendaklah berupaya mempercekapkan pengurusan dan penyimpanan akaun di badan-badan berkanun, supaya akaun dapat dikemaskini setiap hari dan kerja-kerja audit dapat dibuat dengan mudah dan cepat.

6. Keputusan Kerajaan tersebut telah mencetuskan satu perubahan besar dalam menentukan akauntabiliti badan-badan berkanun. Tidak banyak Kerajaan didunia ini yang berani mengorak langkah yang sedemikian.

Jabatan-jabatan Kerajaan telah membuktikan bahawa teknologi maklumat jika digunakan secara strategik akan membolehkan agensi-agensi Kerajaan melangkah batasan sempadan geografi dan ekonomi bagi memastikan penyaluran, bukan sahaja maklumat kewangan tetapi juga maklumat lain, dengan lebih berkesan. Diatas usaha MAMPU dengan kerjasama daripada Jabatan Akauntan Negara, Jabatan Audit Negara dan pakar runding yang dilantik oleh Kerajaan, maka terbentuklah pakej perisian yang dinamakan Standard Accounting system for Government Agencies atau SAGA. SAGA merupakan satu lagi inovasi yang diperkenalkan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan di badan-badan berkanun. Pengenalan SAGA adalah juga bagi memastikan setiap badan berkanun mematuhi prinsip akauntabiliti dan membekalkan maklumat mengenai prestasi kewangannya secara terperinci serta mengikut standard dan tepat pada masa yang ditetapkan.

7. Saya ingin tegaskan disini bahawa SAGA dibangunkan khusus untuk memenuhi tiga kehendak utama pengguna iaitu (i) memastikan kesemua akaun dapat disimpan dan dikemaskini secara menyeluruh; (ii) memastikan akaun dapat ditutup setiap hari; dan (iii) memudahkan penutupan dan penyediaan akaun tahunan supaya dapat dilaksanakan tepat pada masanya bagi maksud pengauditan.

8. Projek ini dimulakan pada bulan Disember 1994 setelah Kerajaan mengenalpasti syarikat swasta yang dapat membantunya. Projek ini dimajukan secara berperingkat-peringkat melalui beberapa projek perintis. Pada peringkat awalnya, dua agensi telah dipilih untuk melaksanakan pakej ini secara perintis dan untuk menguji keupayaannya. Agensi-agensi tersebut ialah Majlis Pembangunan Sumber Manusia (MPSM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Hasil daripada projek perintis ini amat membanggakan. SAGA didapati berupaya mencapai matlamatnya dan sekaligus membuktikan bahawa konsep penutupan akaun secara harian boleh dilaksanakan di sektor awam. Kejayaan ini merupakan satu pencapaian besar dalam usaha pembaharuan dalam Jabatan-jabatan Kerajaan, khususnya dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan kewangan Kerajaan. Kejayaan ini juga dapat memperkukuhkan lagi akauntabiliti dan disiplin dalam pengurusan kewangan. Melalui penyediaan akaun yang tepat dan kemaskini, pengurusan akaun dan kewangan di agensi-agensi Kerajaan akan menjadi lebih 'transparent'. Ini seterusnya dapat mengelak daripada berlakunya penyelewangan.

9. Seterusnya saya telah meminta agar SAGA diuji di sebuah badan berkanun yang lebih besar dan mempunyai anak-anak syarikat. Ini adalah bagi menentukan samada pakej SAGA dapat memenuhi kehendak consolidated accounting yang diperlukan oleh agensi- agensi yang mempunyai cawangan atau anak syarikat.

Agensi yang dipilih bagi maksud ini adalah LADA.

10. Sebelum kemajuan projek ini dilaporkan kepada Jemaah Menteri, saya sendiri telah menguji kecekapan pakej ini mengeluarkan penyata hariannya. Saya telah meminta laporan akaun harian daripada ketiga- tiga agensi perintis ini dikemukakan kepada saya untuk tempoh selama satu minggu. Ini telah dilaksanakan dengan jayanya. Untuk tempoh selama satu minggu saya telah menerima laporan Lembaran Imbangan, Trial Balance dan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan daripada MPSM, FINAS dan LADA. Jemaah Menteri telah meminta supaya SAGA diuji di tiga lagi badan berkanun. Badan berkanun yang dipilih adalah (i) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM); (ii) Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA); dan (iii) Majlis Amanah Rakyat (MARA).

11. Dari tiga badan berkanun tersebut, SAGA telah dilaksanakan dengan jayanya di LKIM. Sementara UDA pula mengubahsuai sistem mereka yang sedia ada untuk memenuhi ciri-ciri SAGA. LKIM dan UDA berupaya untuk menutup akaun mereka pada setiap hari, iaitu akaun diperingkat lembaga dan juga diperingkat kumpulan, pada bulan Ogos 1995. Dengan itu, lima badan berkanun iaitu MPSM, FINAS, LADA, LKIM dan UDA, kini membuat penutupan penyata akaun mereka setiap hari dan pada 3 Januari 1996, kelima- lima agensi perintis ini telah berjaya menyediakan Deraf Akaun bagi tahun berakhir pada 31 Disember 1995 pada 3 Januari 1996. Saya telah menerima deraf akaun-akaun tersebut pada 12 Januari 1996 dan seterusnya mengemukakan kepada YAB Perdana Menteri untuk makluman beliau. Beliau berpuas hati dengan kemajuan yang telah dicapai ini. Ini bukan sahaja dari segi keupayaan SAGA mempertingkatkan pengurusan kewangan tetapi juga kejayaan pegawai-pegawai Kerajaan sendiri membangunkan pakej ini dalam masa lebih kurang satu tahun.

12. Saya yakin bahawa sistem ini telah bersedia dan boleh digunakan disemua badan berkanun.

Memandangkan bahawa terdapat badan berkanun yang telahpun menggunakan sistem perakaunan berkomputer dan juga ada badan-badan berkanun yang masih melaksanakan sistem perakaunan secara manual, maka pelaksanaan SAGA akan dibuat secara berperingkat- peringkat. Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat dalam masa lima tahun. Pemilihan agensi adalah mengikut keutamaan yang akan ditentukan oleh Panel Memajukan Pentadbiran Awam.

13. Bagi memastikan SAGA dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan di badan-badan berkanun, satu garis panduan lengkap telah disediakan dibawah siri Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam bertajuk "Pelaksanaan Sistem Perakaunan Berkomputer Yang Standard Di Badan-badan Berkanun Persekutuan - Standard Accounting System For Government Agencies (SAGA)". Pekeliling Bilangan 1 Tahun 1996 ini adalah seperti yang telah diedarkan kepada tuan-tuan dan puan-puan.

14. Pekeliling ini antara lainnya menerangkan mengenai sistem perakaunan standard yang akan dilaksanakan melalui penggunaan pakej SAGA, cara pelaksanaan, pengesanan dan penggunaannya.

Pekeliling ini juga menjelaskan mengenai struktur carta akaun dan format-format laporan harian dan tahunan yang ingin diseragamkan.

15. Saya ingin menegaskan disini bahawa di dalam pelaksanaan sebarang sistem berkomputer, aspek latihan adalah paling diutamakan. Dalam hal ini, sebagai tambahan kepada latihan-latihan yang akan diberikan oleh pihak pembekal, saya telah meminta INTAN mengendali-kan latihan mengenai SAGA kepada anggota-anggota badan-badan berkanun berkenaan secara berterusan. Latihan yang akan diadakan perlu mendapat kerjasama pihak INTAN, MAMPU, Jabatan Akauntan Negara dan pakar runding yang telah dilantik oleh Kerajaan. Saya adalah difahamkan bahawa pihak pakar runding bersedia untuk memberikan beberapa peralatan dan perisian yang perlu bagi mengadakan sebuah "SAGA Training Laboratory" di makmal komputer INTAN di Jalan Elmu. Saya juga dimaklumkan bahawa sesi pertama dalam siri latihan ini akan bermula dengan satu sesi 'Awareness Seminar' pada 4 hingga 6 Mac 1996.

16. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MAMPU, Jabatan Akauntan Negara, Jabatan Audit Negara, dan pakar runding yang telah dilantik oleh Kerajaan iaitu Konsortium Jaya Sdn. Bhd. yang telah berjaya merintis jalan membuktikan kemampuan dan menjalin kerjasama yang begitu erat untuk menjadikan SAGA satu kenyataan hari ini. Ini merupakan satu lagi mercu tanda kejayaan pelaksanaan konsep persyarikatan Malaysia.

17. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada badan-badan berkanun yang telah memberikan sepenuh kerjasama mereka semasa pakej ini di uji dahulu.

Badan berkanun yang saya maksudkan adalah Majlis Pembangunan Sumber Manusia (MPSM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

18. Ketua-ketua agensi dan staf yang menjadi tulang belakang pelaksanaan SAGA perlulah komited dan bersedia untuk mengubah budaya kerja seharian serta corak minda untuk memastikan supaya sistem ini boleh beroperasi dengan berkesan pada setiap masa dan penutupan akaun pada setiap hari benar-benar menjadi satu amalan yang berterusan.

19. Dengan ini, saya dengan rasminya melancarkan Projek Standard Accounting System for Government Agencies atau SAGA.

Kami menerima 4,514,966 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri