English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS KHIDMAT BAKTI KEDUA
Lokasi : HOTEL RENAISSANCE, KUALA LUMPUR
Tarikh : 13-08-1996
 
1. Saya mengucapkan syukur kehadrat Allah s.w.t.

kerana sekali lagi berpeluang bersama-sama dalam Majlis ini dan mengucapkan terima kasih kepada Y.Bhg. Tan Sri, Puan Sri, Dato', Datin dan Tuan-tuan dan Puan-puan kerana sudi untuk bersama-sama mengucapkan "Selamat Bersara" kepada 17 orang Pegawai Kanan Persekutuan.

2. Majlis Khidmat Bakti pada malam ini adalah kali yang kedua bagi tahun 1996. Sepertimana yang tertera dalam Buku Cenderamata, mendahului senarai Pegawai-Pegawai Kanan yang telah dan akan bersara ialah Y.Bhg. Tan Sri Datuk Ahmad Kamil bin Jaafar, Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri dan diikuti dengan Y.Bhg. Tan Sri Dato' Ir. Wan Abdul Rahman bin Haji Wan Yaakob, bekas Ketua Pengarah Kerja Raya, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Abdul Rahim bin Hj. Din, Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Dr. Othman bin Yeop Abdullah, Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan Utama, Y.Bhg. Datuk Ismail bin Mansor, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan, Y.Bhg. Dato' Muhammad Nawawi bin Hj. Mohd Arshad, bekas Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan, dan Pegawai Persekutuan yang lain baik dari Polis DiRaja Malaysia maupun Pegawai- Pegawai Awam dari Gred Utama III hinggalah Gred I.

3. Y.Bhg. Tan Sri Datuk Ahmad Kamil bin Jaafar, tidak dapat bersama oleh kerana berada di luar negeri), dari segi umur adalah sebaya dengan saya hanya satu tahun lebih tua dari saya dan yang berbeza ialah latar belakang kerjaya. Sepanjang tempuh perkhidmatan beliau selama hampir 34 tahun, beliau banyak menghabiskan masa dengan berkhidmat di Pejabat Perwakilan dan Kedutaan Malaysia di luar negara. Beliau memasuki Perkhidmatan Awam pada 1 Oktober 1962 dan bersara wajib pada 27 Ogos 1992.

Beliau pernah bertugas di Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok, Bonn di Republik Persekutuan Jerman, di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Singapura, Timbalan Wakil Tetap Malaysia, Perutusan Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu New York, menjadi Duta Besar Malaysia di Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi, Switzerland, Peking, Tokyo sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri di Kuala Lumpur pada 11 Mei, 1989. Y.Bhg. Tan Sri Datuk Ahmad Kamil seorang diplomat yang disegani di peringkat antarabangsa, mempunyai pengalaman yang luas di bidang Diplomatik dan hal-ehwal perhubungan luar negara telah memberikan sumbangan yang besar mengharum nama negara di arena antarabangsa. Atas kebolehannya itu, beliau terus diberi kepercayaan oleh Kerajaan, memimpin Kementerian Luar Negeri secara kontrak selama 4 tahun sehingga 28 Ogos 1996.

4. Y.Bhg. Tan Sri Dato' Ir. Wan Abdul Rahman bin Hj. Wan Yaakob adalah bekas Ketua Pengarah Kerja Raya. Beliau telah memegang jawatan itu selama lebih kurang 6 tahun. Memasuki Perkhidmatan Awam sebagai "Technical Cadet" pada 1 Jun 1964 dan bersara wajib pada 21 Jun 1996. Beliau seorang jurutera berpengalaman dan telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan negara dan telah menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa memimpin Jabatan Kerja Raya. Beliau pernah bertugas di JKR Terengganu, Selangor, Cameron Highland, Perak. Pernah dipinjamkan ke Institut Teknologi Kebangsaan sebagai Penolong Pensyarah selama 1 tahun. Di antara jawatan penting yang disandang ialah Pengarah, JKR Selangor dan Terengganu, dipinjamkan sebagai Pengarah Bahagian Teknik di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah selama 3 tahun, Pengarah Kerja Raya Pahang, Pengarah Pengurusan, Ibu Pejabat JKR, Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Pengarah I Kerja Raya dan Ketua Pengarah Kerja Raya mulai 10 September, 1990. Kerajaan terhutang budi atas sumbangan yang besar kepada negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.

5. Y.Bhg. Tan Sri Abdul Rahim bin Haji Din, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pula memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan dan Industri pada 1 Ogos, 1963.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya beliau bertugas di agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam perancangan dan pembangunan ekonomi negara. Jawatan penting yang pernah disandang ialah Setiausaha Bahagian Pelaksanaan dan Penyelarasan Kementerian Pertanian dan Perikanan, Timbalan Setiausaha, Bahagian Ekonomi dan Kewangan, Perbendaharaan, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Timbalan Ketua Pengarah (sektoral) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, dipinjamkan sebagai Pengurus Besar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dipinjamkan sebagai Timbalan Ketua Eksekutif, Pemodalan Nasional Berhad(PNB) sebelum menjawat Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada 16 April, 1992 dan bersara wajib pada 8 September 1994. Yakin atas kebolehan dan sumbangan yang besar kepada negara, beliau terus diberi peluang memimpin Kementerian Dalam Negeri selama 2 tahun lagi sehingga pada 8 September 1996.

6. Y.Bhg. Tan Sri Dato' Dr. Othman bin Yeop Abdullah, Ketua Setiausaha,Kementerian Perusahaan Utama memulakan kerjaya setelah dilantik Penolong Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada 24 April, 1965. Beliau telah memberi sumbangan yang besar dalam pendidikan dengan melahirkan graduan- graduan terutamanya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran melalui menara gading yang pernah dipimpinnya iaitu sebagai Naib Canselor Universiti Utara malaysia (UUM). Di antara jawatan lain yang pernah disandang ialah Timbalan Ketua Setiausaha II, Kementerian Pelajaran, Ketua Pengarah Unit Pemodenan dan Pengurusan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos sebelum dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama pada 21 April, 1993. Beliau akan bersara wajib pada 13 September 1996.

7. Y.Bhg. Dato' Ismail bin Mansor bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan telah bersara pada 17 Jun 1996. Beliau telah memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan pada tahun 1994.

Seorang pegawai yang mempunyai pengalaman yang luas, telah memegang pelbagai jawatan, antaranya Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu, Timbalan Pengurus Besar, Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara,Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pengarah Bahagian Pentadbiran dan Pengarah Insuran, Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Y.Bhg. Dato' Muhamad Nawawi bin Hj.Mohd. Arshad pula bekas Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, telah bersara wajib pada 18 Mei 1996.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau menyumbangkan tenaga dan fikiran menjimatkan wang Kerajaan berkaitan dengan pembangunan prasarana terutama dalam pengambilan balik tanah, pembelian dan penyewaan hartanah. Beliau amat cergas dalam bidang profesional samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

8. Begitu juga saya mengucapkan selamat bersara kepada semua tetamu khas malam ini walaupun saya tidak dapat menyebut semuanya yang terdiri dari Pegawai-pegawai Kanan Pasukan Polis DiRaja Malaysia, Kastam dan Eksais DiRaja, jurutera, akauntan, doktor, Pegawai Pendidikan, Pegawai Penilaian, PTD dan lain-lain Pegawai Awam yang telah memberikan perkhidmatan yang sungguh cemerlang kepada Negara.

Sesungguhnya negara telah kehilangan Pegawai yang berkalibar dan berpengalaman yang sukar dicari ganti.

9. Dalam majlis Khidmat Bakti Pertama pada 8 Mei 1996 yang lalu saya telah membuat saranan supaya Pegawai -pegawai yang bersara menulis dan membukukan pengalaman masing-masing semasa dalam Perkhidmatan Awam. Tujuannya ialah supaya buku-buku itu boleh dijadikan panduan dan sumber rujukan kepada Pegawai- pegawai Muda di samping menambahkan lagi khazanah buku-buku yang bermutu mengenai Perkhidmatan Awam di Malaysia. Pada malam ini saya sekali lagi mencadangkan agar mana-mana Pegawai yang berminat bolehlah menghubungi saya atau Arkib Negara jika memerlukan bantuan.

10. Kini Perkhidmatan Awam Malaysia maju setapak lagi berikutan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan ISO 9000 dalam Perkhidmatan Awam. Pelaksanaan ISO 9000 akan melengkapkan lagi pengurusan kualiti yang dilaksanakan oleh Agensi-agensi Kerajaan. Dengan Pelaksanaan ISO 9000 ini maka Perkhidmatan Awam Malaysia menjadi Perkhidmatan Awam yang pertama di dunia melaksanakan ISO 9000. Saya amat berharap semua Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh bagi menjayakan hasrat Kerajaan itu.

11. Namun demikian kita harus sedar bahawa kehebatan dan kecanggihan teknik pengurusan; kehebatan pendekatan dan kaedah pengurusan terkini, kemajuan teknologi dan kecanggihan alat, perolehan modal yang tinggi tidak akan dapat menandingi fakor kemanusiaan untuk mendokong kecemerlangan dalam kepimpinan manusia sebagai makhluk termulia dan terbaik perlu dibangunkan kehebatannya bagi melonjak kemuliaan dan keberkatan sesebuah organisasi yang kita didokongi. Perkhidmatan Awam memerlukan pemimpin yang berwibawa berpandangan jauh dan mempunyai wawasan, mahir dalam pengurusan, berkebolehan menerap dan memupuk disiplin dan akauntabiliti dan tahap pengurusan yang tinggi.

Dengan adanya pemimpin yang berwibawa memimpin sebuah pasukan kakitangan awam yang berbudaya kerja cemerlang dengan dibantu oleh peralatan yang canggih dan kehebatan dan pendekatan pengurusan yang terkini saya percaya Perkhidmatan Awam Malaysia bertaraf dunia akan menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat ini.

12. Pada malam ini saya ingin menasihat Pegawai- pegawai yang bersara agar terus memberi sumbangan dan khidmat kepada Kerajaan dan negara menerusi apa jua aktiviti supaya pengalaman dan ilmu yang dimiliki tidak disia-siakan begitu sahaja. Saya berdoa dan mengucapkan selamat maju jaya atas apa jua aktiviti yang diceburi. Bagi isteri-isteri yang kesunyian disebabkan suami masing-masing terpaksa menghabiskan sebahagian besar dari masa di Pejabat, saya kagum dengan kesabaran dan pengorbanan mereka.

Sehubungan itu saya juga mengambil kesempatan disini untuk mengucap setinggi penghargaan dan terima kasih kepada isteri-isteri yang memberi sumbangan kepada PUSPANITA di Kementerian, Jabatan dalam apa juga kapasiti.

13. Saya percaya, kita sedang menunggu ucapan balas dari Y.Bhg. Tan Sri Dato' Ir. Wan Abdul Rahman bin Wan Yaakub yang akan mewakili semua pesara di majlis pada malam ini.

Kami menerima 4,512,318 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri