English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS PENGANUGERAHAN DIPLOMA PENGURUSAN AWAM 95/96, DIPLOMA SAINS PENGURUSAN
Lokasi : AUDITORIUM INTAN, BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 13-04-1996
 

1. Saya bersyukur kehadrat Allah S.W.T. oleh kerana di pagi yang penuh berkat ini kita dapat berhimpun di majlis penyampaian sijil kepada para graduan Diploma Pengurusan Awam dan Diploma Sains Pengurusan yang baru menamatkan kursus masing-masing. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada INTAN kerana memberi penghormatan kepada saya untuk mengumumkan penerima Anugerah Fellow INTAN bagi tahun 1996.



2. Di kesempatan terbaik ini, saya ingin mengalu- alukan kemasukan pegawai-pegawai yang baru sahaja tamat Kursus Diploma Pengurusan Awam ke dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan Diploma Sains Pengurusan yang telah mengikuti kursus dengan jayanya.



3. Setiap pegawai haruslah mempunyai ketampilan teras atau "core competencies" untuk menjalankan tugas masing-masing secara cekap dan berkesan. Sebagai contoh, pegawai-pegawai yang baru tamat Kursus Diploma Pengurusan Awam dan masuk ke dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik hendaklah mempunyai "core competencies" untuk menjalankan kerja masing-masing samada di Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau di Kementerian-kementerian. "Core competencies" ini termasuk pemikiran konseptual dan analitikal, kebolehan bekerja dalam kumpulan, tumpuan kepada kualiti, produktiviti dan pelanggan, dan pengwujudan jalinan perhubungan atau "networking".



4. Walau bagaimanapun, "core competencies" yang diperlukan oleh seseorang pegawai di dalam mana-mana perkhidmatan sekalipun akan berubah apabila bertukar atau dinaikkan pangkat. Dalam keadaan sedemikian adalah menjadi tanggungjawab setiap orang pegawai dalam Perkhidmatan Awam untuk sentiasa mengenalpasti "core competencies" tambahan yang diperlukan dan menghadiri kursus yang sesuai dari masa ke semasa untuk memperolehinya. Jika setiap pegawai dapat menentukan ia mempunyai semua "ketrampilan teras" yang diperlukan bagi jawatannya pada setiap masa, maka tahap profesionalisme kita akan meningkat.



5. Sesungguhnya dewasa ini dari segi ketampilan, perkhidmatan awam memerlukan dua kategori pegawai. Kategori pertama adalah pegawai-pegawai yang dapat melihat gambaran menyeluruh, atau "the macro picture", iaitu mereka yang sentiasa mengesan dan memahami perubahan-perubahan makro yang berlaku di dalam dan luar negara dan implikasinya kepada perkhidmatan awam dan negara. Kategori kedua adalah pegawai-pegawai yang menumpukan perhatian kepada perkara-perkara mikro. Mereka mengesan perubahan- perubahan yang berlaku di peringkat subsistem seperti pengurusan belanjawan, pengurusan kualiti menyeluruh, process reengineering dan sebagainya untuk mengenalpasti peluang-peluang baru. Kedua-dua kategori pegawai ini masing-masing akan menyumbangkan idea-idea baru untuk kebaikan Perkhidmatan Awam. Pegawai-pegawai yang merupakan "drifters", tidak akan maju kehadapan dan mereka berpuashati dengan keadaan yang tidak berubah, biarpun untuk kebaikan.



6. Kemahiran, kebolehan dan pengetahuan dalam mana- mana satu bidang kerja sahaja belum lagi mencukupi. Untuk menjalankan tugas kita secara cekap dan berkesan, kita memerlukan kemahiran dan pengetahuan dalam pelbagai bidang dan disiplin. Pegawai-pegawai sekelian adalah berfungsi dalam satu sistem besar yang mengandungi beberapa subsistem. Perkhidmatan awam, sektor swasta, badan-badan berkanun dan masyarakat adalah merupakan subsistem dalam sistem pemerintahan kita. Setiap subsistem ini mempunyai hubung-kait di antara satu sama lain. Perubahan di dalam sesuatu subsistem akan mempunyai kesan ke atas subsistem-subsistem yang lain. Oleh hal yang demikian, seorang pegawai yang berkhidmat di satu subsistem perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran tertentu untuk memahami subsistem-subsistem yang lain supaya dapat berfungsi secara berkesan. Sebagai contoh, di bawah Dasar Persyarikatan Malaysia, sektor awam perlu bekerjasama dengan sektor swasta untuk memajukan negara. Justeru itu, pegawai-pegawai Kerajaan dan tokoh-tokoh korporat haruslah memahami persekitaran kerja masing-masing, menghormati etika kerja masing-masing, peraturan- peraturan, undang-undang dan juga kehendak sektor swasta akan perkhidmatan yang jujur, pantas dan yang berkualiti.



7. Pegawai-pegawai PTD hendaklah mempunyai sifat serba boleh atau Aversatile. Lazimnya, untuk menjalankan kerjanya, setiap pegawai PTD itu hendaklah mempunyai kemahiran tertentu yang diwajibkan bagi jawatannya seperti menyediakan laporan, penggunaan komputer, penganalisisan dan penyelesaian masalah, penyampaian idea dengan tepat dan berkesan dan boleh bekerja dalam satu pasukan. Walau bagaimanapun, pengetahuan am dalam pelbagai bidang seperti pembangunan ekonomi negara dan antarabangsa, sains dan teknologi, pengurusan tenaga manusia dan sebagainya amat perlu bagi mencetuskan idea-idea baru. `One must have the ability to assimilate information from a lot of different disciplines all at once, particularly about change, because from change comes opportunity`. Kita perlu menambah satu lagi dimensi ke dalam jabatan-jabatan Kerajaan supaya jabatan-jabatan itu boleh bersifat sebagai "learning organizations" di mana budaya membaca menjadi tabiat semula jadi setiap orang pegawai Kerajaan. Kita perlu berlumba-lumba menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran kerana pegawai- pegawai yang berilmu akan memberikan kesan yang positif ke atas perjalanan jabatan masing-masing. Setiap pegawai Kerajaan hendaklah mempunyai sikap terbuka dalam mempelajari sesuatu yang baru. Pembelajaran boleh berlaku dalam tiga bentuk, iaitu, pembacaan, latihan formal dan pembelajaran organisasi. Pembacaan banyak bergantung kepada inisiatif pegawai-pegawai sekelian. Tanpa pembacaan yang luas, kita tidak dapat mengenalpasti perkembangan-perkembangan baru yang berlaku dalam pelbagai aspek kerja kita. Saya menggesa tuan-tuan dan puan-puan sentiasa membaca buku-buku pengurusan, majalah-majalah dan jurnal-jurnal penyelidikan.



8. Kita juga boleh menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran melalui pengalaman kita sendiri. Pembelajaran organisasi memerlukan setiap pegawai merenung dan menyemak kembali segala yang telah berlaku dalam jabatan masing-masing berdasarkan kepada rekod-rekod kejayaan mahupun kegagalan. Organisasi-organisasi yang mengamalkan ciri-ciri ini digelar sebagai learning-efficient organizations. Dalam buku mereka, Prophets in the Dark (1992), Kearns dan Nadler menerangkan bahawa organisasi- organisasi ini Alearn from customers, competitors and suppliers. They learn from success and they learn from failure. They encourage the notion of "productive failures" as a key ingredient of the learning process. They recognize that the sources of success in the past are often the seeds of failure in the future. Setiap maklumat dan pengalaman kita, sama ada pahit atau manis, perlu dianalisa dan penemuannya hendaklah menjadi bahan kepada tindakan selanjutnya. Pandangan seorang pakar bahawa "we must be pulled by the future and not pushed by the past" memang tepat dan benar. Pegawai- pegawai sekelian hendaklah melatih diri masing- masing `to be meticulous and to pay attention to details'.



9. Dalam suasana ekonomi negara yang pesat membangun ini, terdapat banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih lumayan di sektor swasta. Keputusan untuk berkhidmat dengan kerajaan menunjukkan bahawa tuan-tuan dan puan-puan berhasrat untuk memberi sumbangan kepada negara dan rakyat. Perkhidmatan kerajaan bukanlah bagi mereka yang berminat dalam mencari wang semata-mata. Pegawai- pegawai kerajaan yang tidak menunjukkan komitmen yang penuh kepada perkhidmatan awam sebenarnya akan menghadapi pelbagai masalah psikologi kerana mereka akan sentiasa membuat perbandingan di antara peluang di dalam sektor awam dan sektor swasta. Sebenarnya, dalam apa jua tugas yang kita jalankan, kita memerlukan iltizam dan fokus atau tumpuan.



10. Saya telah diamanahkan oleh Majlis Penasihat INTAN pada pagi yang berbahagia ini, untuk mengumumkan penerima Anugerah Fellow INTAN bagi tahun 1996 ini. Beliau ialah Y. Bhg Tan Sri Dato' Hashim bin Aman. Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Y. Bhg Tan Sri di atas anugerah Fellow INTAN pada tahun ini. Saya secara peribadi berpendapat anugerah ini adalah amat wajar dikurniakan kepada Y. Bhg Tan Sri Dato' Hashim bin Aman atas sumbangan dan jasa besarnya kepada bangsa dan negara sama ada dalam Perkhidmatan Awam mahupun dalam sektor korporat selepas bersara. Pertumbuhan dan kemajuan Perkhidmatan Awam negara ini sesungguhnya ada kaitannya dengan sumbangan yang tidak ternilai daripada Y. Bhg Tan Sri Dato' Hashim bin Aman. Saya berani menyatakan bahawa amat sukar untuk kita mencari tokoh berjiwa besar seperti beliau. The Concise Oxford Dictionary defines `reputation' as `what is generally said or believed about a person's character or standing' and `the state of being well thought of; distinction; respectability'. Y.Bhg. Tan Sri Dato' Hashim bin Aman mempunyai `reputation' sebagai seorang pegawai yang cekap dan beramanah. Beliau telah mencapai ke mercu kejayaan di dalam perkhidmatan awam, memegang jawatan-jawatan KSU, Kementerian Kesihatan, KSU Kementerian Pertahanan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan akhir sekali Ketua Setiausaha Negara. Beliau juga pernah menjadi Pengarah Kerajaan Kelantan. His reputation as the epitome of honesty and integrity gains value-added when he entered the private sector as the Chairman of Malayan Banking for a good number of years. His modesty despite his great achievements is almost legendary. Is it not true what some one has said that `modesty is the triumph of mind over matter'?



11. All officers should strive towards acquiring a good reputation all round, with their superiors, peers, juniors and the community at large. In the long run reputation can only be based on the provision of quality services. Your reputation for quality work, efficient and effective service must be predictable and consistent. News about officers with bad reputation will spread more quickly. Officers with good reputation will have a competitive advantage.



12. Saya akhiri ucapan saya ini dengan ucapan tahniah khusus kepada Y. Bhg Tan Sri Dato' Hashim bin Aman di atas penganugerahan Fellow INTAN pada tahun ini. Kepada semua pegawai dari Kursus Diploma Pengurusan Awam dan Diploma Sains Pengurusan saya ucapkan selamat maju jaya dan mendoakan semoga perkhidmatan yang kita berikan ini diterima sebagai satu ibadah di sisi Allah S.W.T.

 


Kami menerima 4,509,531 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri