English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN KURSUS KHAS KONTRAKTOR BINAAN BUMIPUTERA SIRI KE-9
Lokasi : IKRAM, BANGI
Tarikh : 08-07-1996
 
1. Saya bersyukur kerana dapat turut bersama saudara-saudara di majlis ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada tuan- tuan yang telah dipilih mengikuti Kursus Khas Kontraktor Binaan Bumiputera Siri Ke 9. Untuk makluman, program ini dilaksana berasaskan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pembangunan Negara yang bertujuan untuk mewujudkan kumpulan kontraktor binaan Bumiputera yang benar-benar berwibawa.

2. Kerajaan sentiasa memberi perhatian yang serius melalui jentera penyelarasan dan pelaksanaan bagi memastikan rancangan pembangunannya dapat dilaksanakan dengan cekap. Berdasarkan strategi- strategi dan langkah-langkah sesuai yang dijalankan telah berjaya melaksanakan sebahagian besar daripada projek-projek kerajaan mengikut jadual dan ada yang mendahului jadual. Dari segi perbelanjaan kita telah berjaya meningkatkan prestasinya kepada 93.7% daripada `ceiling' peruntukan yang diluluskan iaitu sebanyak RM58.5 billion bagi melaksanakan 26,340 projek di dalam Rancangan Malaysia Keenam. Kejayaan pencapaian ini adalah hasil dari perancangan dan pengurusan kewangan yang baik oleh agensi pelaksana dan juga tidak ketinggalan ialah hasil dari peningkatan prestasi kontraktor termasuk kontraktor Bumiputera. Kita tidak seharusnya terlalu berbangga dengan pencapaian tersebut, sebaliknya perlu meningkatkan lagi usaha kita supaya dapat mencapai tahap prestasi yang lebih tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh. Seperti yang tuan-tuan sedia maklum di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh, Kerajaan telah meluluskan RM67.5 billion yang dianggarkan bilangan projek akan melebihi jumlah projek dalam Rancangan Malaysia Keenam.

3. Peserta yang dipilih tidak seharusnya menumpukan minat terhadap keistimewaan yang boleh dimanafaat selepas kursus dari segi mendapatkan projek rundingan terus, peluang bersaing tender terhad dan sebagainya. Saudara-saudara hendaklah sentiasa bersyukur serta menyedari bahawa saudara juga terlibat dalam memikul tanggung jawab dan amanah yang besar bagi menjayakan matlamat kerajaan untuk mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian yang berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing dalam tempoh Dasar Pembangunan Nasional. Justeru, peserta program hendaklah mempastikan projek yang diagihkan disiapkan dengan baik selaras taraf wibawa yang disandang. Mereka juga hendaklah maju dan meningkat dari segi modal syarikat dan bilangan kakitangan profesional, berdaya saing dan akhirnya mampu berdikari tanpa bantuan Kerajaan. Adalah menjadi harapan Kerajaan, para peserta mendapat kepercayaan dari sektor swasta, disenaraikan di BSKL dan berdaya saing di pasaran global.

4. Inilah sebabnya pihak Kerajaan mengenakan syarat-syarat yang ketat untuk memilih peserta- peserta di bawah program ini. Kontaktor wibawa yang ingin diwujudkan di bawah program ini adalah kontraktor Bumiputera tulen yang terlibat secara langsung dari segi pengurusan syarikat dan projek, mempunyai rekod prestasi kerja yang baik, menunjukkan kesungguhan berkecimpung dalam bidang kontrak serta mempunyai pengetahuan yang cukup dari segi teknik dan pengurusan. Definisi syarikat Bumiputera tulen adalah syarikat Bumiputera yang ekuitinya dan lembaga pengarah/pengurusan seratus peratus Bumiputera. Sebuah Jawatankuasa yang terdiri daripada agensi utama iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pembangunan Usahawan, Jabatan Kerja Raya dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan telah diwujudkan untuk memilih peserta, meneliti dan menapis permohonan- permohonan yang diterima. Proses pemilihan meliputi lawatan/siasatan yang dibuat untuk menyemak ketulenan syarikat-syarikat berkenaan.

5. Sehingga Siri 8, seramai 273 peserta telah dipilih mengikuti program ini dari semua negeri dan kelas. Daripada jumlah tersebut hanya 98 terpilih dari kelas atasan iaitu Kelas BX ke atas, manakala 175 adalah dari kelas rendah iaitu Kelas F hingga Kelas C. Saya rasa berbangga kerana sebahagian besar (85 syarikat) daripada peserta telah meningkat ke kelas-kelas yang lebih besar. Beberapa syarikat di kalangan syarikat wibawa telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berjaya menyiapkan projek dengan baik. Bagi menentukan kejayaan program ini sehingga Jun 1996, Kementerian Kewangan telah mengagihkan 727 projek kepada 268 kontraktor yang bernilai RM3.4 billion.

6. Syarikat-syarikat yang terpilih perlu mempertahankan kewibawaan dan menjadi contoh kepada kontraktor Bumiputera yang lain dan sekaligus menaikkan kredibiliti kontraktor berwibawa. Jika syarikat-syarikat ini gagal melaksanakan projek- projek dan menyeleweng, keistimewaan yang diberi status sebagai kontraktor berwibawa akan ditarik balik. Antara kriteria dan contoh-contoh yang boleh menggugurkan taraf wibawa syarikat berkenaan ialah menumpang pejabat kontraktor lain, 'mengsub' projek kerana mengejar projek lain, pegangan ekuiti Bumiputera tidak lagi seratus peratus dan ada pihak lain memainkan peranan di dalam pengurusan syarikat.

Sehingga kini dukacita saya mendapat maklum bahawa lima buah syarikat telah dikeluarkan daripada senarai wibawa. Adalah diharap tindakan yang dibuat akan menjadi iktibar kepada yang lain supaya amanah dan kepercayaan yang diberi oleh Kerajaan tidak diselewengkan.

7. Kemajuan dan perkembangan program ini diawasi oleh Jawatankuasa Kerja Pembangunan Negara dan dari masa ke semasa banyak pembaharuan telah dilaksanakan. Misalnya, permohonan kursus telah mula diiklankan dan untuk kursus Siri 9, kontraktor elektrik dan mekanikal Bumiputera juga telah dipilih untuk mengikuti kursus ini. Ini adalah satu perkembangan yang baik kerana bilangan syarikat- syarikat Bumiputera yang terlibat di dalam kerja pakar adalah tidak ramai. Justeru, pengambilan mereka akan melahirkan sebilangan kontraktor Bumiputera kerja pakar di dalam program ini.

Tambahan pula perkhidmatan kontraktor pakar adalah merupakan komponen yang penting dalam sektor pembinaan.

8. Kontraktor Bumiputera berwibawa sewajarnya perlu mempelbagaikan kepakaran dalam pembinaan bangunan bistari (intelligent building), bangunan pencakar langit, hospital dan lain-lain. Kontraktor berwibawa juga patut membangun kepakaran dalam pembinaan terowong, jambatan, jejambat, tebusguna tanah dan lain-lain lagi. Tidak kurang pentingnya kontraktor berwibawa hendaklah menerokai dalam pembinaan yang berteknologi tinggi seperti pembinaan janakuasa, loji-loji minyak dan gas. Kepakaran- kepakaran dalam bidang ini bukan sahaja akan meningkatkan peranan kontraktor berwibawa dalam mencapai matlamat kerajaan, tetapi juga akan membantu proses pembangunan sains dan teknologi.

Adalah menjadi harapan negara kontraktor berwibawa juga akan mempelbagaikan perniagaan dalam sektor pembuatan bahan binaan.

9. Saya juga suka mengambil kesempatan menasihat para peserta menjadi ahli dalam `Guild of Bumiputera Contractors (GBC)'. Pepatah `Bersatu Teguh Bercerai Roboh' sebenarnya dapat dihayati bagi memantapkan rantaian, mengukuhkan kekuatan dan menyediakan perkhidmatan untuk ahli-ahli melalui penyertaan tuan- tuan dalam GBC. Apa yang boleh dibuat oleh GBC ialah jangan menjadi kumpulan mendesak tetapi yang lebih penting GBC hendaklah mewujudkan syarikat- syarikat usahasama dalam bidang bekalan industri binaan serta menubuhkan syarikat `piling' dan kerja- kerja pakar yang kurang penyertaan Bumiputera.

10. 'Allah Tidak Akan Mengubah Nasib Sesuatu Kaum Kecuali Dengan Usahanya Sendiri'. Oleh itu suka saya menasihatkan tuan-tuan yang terpilih menggunakan peluang yang telah diberi dengan sebaik-baiknya bagi menentukan kejayaan matlamat mengwujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

11. Saya mengucapkan selamat berkursus kepada para peserta. Saya dengan ini merasmikan Kursus Khas Kontraktor Binaan Bumiputera Siri Ke 9.

Kami menerima 4,622,596 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri