English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : PAMERAN INOVASI PERKHIDMATAN AWAM
Lokasi : DEWAN WISMA BELIA, PAHANG DARUL MAKMUR
Tarikh : 20-06-1996
 
1. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Watalla oleh kerana dengan izin-Nya, saya dapat bersama dengan tuan-tuan menghadiri Majlis pada petang ini dan seterusnya merasmikan Pameran Inovasi Perkhidmatan Awam tahun 1996. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MAMPU dan agensi-agensi Kerajaan lain yang telah meluangkan masa dan tenaga dalam menjayakan Pameran ini.

2. Tahun ini merupakan tahun keempat Pameran ini diadakan sejak Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam diperkenalkan dalam tahun 1992. Pameran ini merupakan satu usaha penting Kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan agensi-agensi Kerajaan tentang pentingnya inovasi dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keluaran masing-masing. Saya amat berpuashati dengan komitmen dan usaha gigih yang telah diambil oleh agensi-agensi Kerajaan dalam mewujudkan budaya inovasi dan kreativiti di agensi masing-masing. Ini adalah terbukti dari segi bilangan inovasi yang telah dipertimbangkan untuk Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam sejak ianya diperkenalkan.

Sebanyak 988 inovasi dari pelbagai peringkat agensi iaitu di peringkat Kementerian, Jabatan Persekutuan, agensi di peringkat negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-badan Berkanun telah dipertimbangkan untuk Anugerah tersebut. Bagi tahun ini pula, sebanyak 237 inovasi telah dipertimbangkan.

3. Kejayaan agensi-agensi kerajaan menghasilkan pelbagai inovasi membuktikan bahawa Gerakan Budaya Kerja Cemerlang di Sektor Awam mencapai tahap kematangan yang membanggakan. Dengan menginstitusi- kan nilai-nilai kreativiti, inovasi dan berkerja dalam pasukan, agensi Kerajaan telah dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai. Di samping itu, penjimatan kos operasi juga dapat dirasai. Malahan kebanyakan agensi Kerajaan telah mengambil daya inisiatif mereka untuk mewujudkan program tersendiri bagi menyemai dan menyuburkan budaya inovasi di kalangan anggota organisasinya. Contohnya sistem pengiktirafan inovasi telah diperkenalkan di berbagai agensi untuk menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan pekerja untuk mencetus dan menghasilkan inovasi. Di antara contoh sistem pengiktirafan inovasi yang diamalkan termasuklah Anugerah Program Perubahan oleh Kementerian Tenaga Telekom dan Pos, Anugerah Inovasi Kementerian Pendidikan, Anugerah Inovasi Kementerian Pertahanan dan Anugerah Inovasi Dalam Pentadbiran Tanah oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.

4. Agensi-agensi yang cemerlang juga memupuk dan menggalakkan semangat berpasukan di agensi-agensi mereka. Ini merupakan satu strategi penting dalam penyelesaian masalah dan melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan. Penubuhan mekanisme-mekanisme seperti Pasukan-pasukan Kerja, Kumpulan Meningkat Mutu Kerja, Pasukan Petugas dan Pasukan Kerja juga membolehkan pekerja-pekerja yang mempunyai pelbagai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman bertukar fikiran dalam menghasilkan inovasi atau cadangan penyelesaian bagi sesuatu masalah.

5. Saya harap pihak pengurusan atasan sentiasa memberi komitmen dan sokongan yang berterusan untuk mewujudkan suasana organisasi dan budaya kerja yang menggalakkan daya kreativiti dan inovasi di kalangan anggota organisasi mereka. Saya yakin sekiranya komitmen seperti ini dapat dikekalkan maka hasrat Kerajaan untuk menjadikan Perkhidmatan Awam sebagai sebuah institusi yang inovatif dan cemerlang akan menjadi kenyataan.

6. Saya difahamkan bahawa sebanyak dua puluh satu inovasi dipamerkan di Dewan ini. Salah satu ciri keistimewaan inovasi-inovasi yang dipamerkan ini adalah dalam bidang teknologi seperti penggunaan teknologi maklumat, penghasilan perisian komputer baru serta penghasilan peralatan elektronik. Ini menunjukkan bahawa agensi-agensi Kerajaan adalah peka kepada perubahan-perubahan yang berlaku dalam persekitaran terutama dari segi perkembangan teknologi yang kian pesat. Dengan penggunaan teknologi yang terkini agensi-agensi Kerajaan ini telah dapat menyediakan perkhidmatan atau keluaran dengan lebih cepat, tanpa kesilapan, dengan kos yang rendah dan yang meningkatkan kepuasan hati pelanggan masing-masing.

7. Sistem Pembayaran Kompaun Trafik secara on-line atau Traffic Cops yang telah diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia mengabungkan teknologi maklumat dan proses kerja untuk menghasilkan inovasi yang perihatin kepada masalah orang ramai. Inovasi ini telah memudahkan pesalah-pesalah lalulintas yang telah melanggar peraturan trafik membayar kompaun di mana-mana Cawangan Trafik Pejabat Polis Daerah. Bagi tuan-tuan dan puan-puan yang telah melakukan kesalahan lalulintas dan belum lagi menjelaskan kompaun, tuan-tuan dan puan-puan bolehlah menjelaskannya dikaunter pameran Traffic Cops yang sedia memberi perkhidmatan sepanjang tiga hari Pameran Inovasi diadakan di Dewan ini.

8. Saya berharap agensi-agensi Kerajaan menggunakan sepenuh peluang ini untuk mendapat first hand view tentang inovasi-inovasi yang telah dipamerkan ini. Inovasi-inovasi cemerlang ini bolehlah diubahsuai dan digunapakai di kebanyakan agensi-agensi Kerajaan. Ada di antara inovasi- inovasi ini yang incremental dan mudah dilaksanakan tetapi faedah yang dinikmati dari segi pengurangan kos operasi, peningkatan produktiviti dan penjimatan masa dalam menghasilkan perkhidmatan atau keluaran adalah ketara. Pelaksanaan inovasi-inovasi ini akan menjamin kepuasan hati pelanggan agensi-agensi Kerajaan yang merupakan teras kecemerlangan sebuah organisasi.

9. Saya berharap juga bahawa Ketua-ketua agensi Kerajaan mengizinkan kakitangan mereka melawati Pameran ini. Ini adalah penting kerana dengan pendedahan kakitangan kepada inovasi-inovasi yang telah dihasilkan, saya percaya ini akan mendorong dan menggalakkan minat dan persaingan yang sihat di antara mereka untuk menghasilkan inovasi lebih-lebih lagi apabila inovasi tersebut dihasilkan oleh rakan- rakan mereka dari agensi-agensi lain. Ini juga merupakan peluang pembelajaran yang terbaik bagi menimba pengalaman dan mencontohi agensi-agensi lain yang lebih berjaya. Cara ini amat berkesan serta kurang risiko kegagalan kerana inovasi-inovasi ini telah teruji serta terbukti praktikal dan boleh diubahsuai untuk dilaksanakan di agensi-agensi lain.

10. Sememangnya Perkhidmatan Awam kaya dengan inovasi-inovasi yang dihasilkan oleh anggota- anggotanya sendiri. Walau bagaimanapun inovasi- inovasi ini tidak disebarkan secara meluas untuk dikongsi dan dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan lain. Memandangkan ini saya telah meminta MAMPU untuk mendokumen-kan semua inovasi yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Saya difahamkan bahawa Laporan Inovasi Perkhidmatan Awam ini akan diedarkan pada Majlis Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam yang akan diadakan pada malam ini. Saya yakin laporan ini akan memanfaatkan agensi-agensi Kerajaan dan boleh digunakan sebagai pangkal rujukan oleh mereka untuk membawa penambahbaikan di agensi masing- masing.

11. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang telah menyumbangkan kepada kejayaan Pameran Inovasi Perkhidmatan Awam.

Kami menerima 4,569,128 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri