English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN PUSPANITA YANG KE 14
Lokasi :
Tarikh : 11-05-1996
 
1. Saya dengan sukacitanya mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian PUSPANITA menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA yang ke 14 pada pagi ini.

2. Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) telah ditubuhkan pada bulan Mac, 1983 dengan tujuan untuk melengkapkan diri ahli dengan ilmu pengetahuan dan mengeratkan silaturrahim di antara isteri-isteri dan pegawai- pegawai melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan melalui sukan persahabatan dengan pertubuhan wanita yang lain, dan melalui penyertaan seminar anjuran agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

3. Pada masa ini, salah satu perjuangan wanita, melalui persatuan-persatuan dan saluran-saluran lain seperti PUSPANITA ini, adalah untuk menentukan bahawa konsep wanita dalam pembangunan itu benar- benar difahami dan dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada semua pihak. Peranan puan-puan bukan sahaja tertumpu sebagai suri rumah seperti menyediakan makanan, menyambut tetamu dan sebagainya. Lebih penting puan-puan harus melengkapkan diri dengan pengetahuan am mengenai dasar-dasar kerajaan terutama melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang relevan untuk menjadi isteri pegawai-pegawai kerajaan dan anggota- anggota wanita yang berwibawa di dalam perkhidmatan awam. Kursus-kursus yang dianjurkan oleh INTAN seperti Kursus Isteri Pegawai-Pegawai Tertinggi Kerajaan dengan secara tidak langsung dapat membantu di dalam pencapaian matlamat ini. Kaum wanita kelihatan mempunyai potensi untuk memberi sumbangan yang lebih besar. Melalui pendidikan, latihan dan pendedahan yang sempurna dan peluang-peluang yang kian bertambah, sumbangannya akan menjadi lebih berkesan dan bererti. Saya akan meminta INTAN dan IDFR menyediakan lebih banyak lagi kursus-kursus kepimpinan, pengurusan dan sebagainya kepada ahli- ahli PUSPANITA.

4. PUSPANITA sekarang begitu aktif sekali menjalankan berbagai aktiviti untuk ahli-ahlinya dan juga untuk golongan yang kurang bernasib baik melalui aktiviti kebajikan dan untuk wanita seluruh negara melalui Projek Puspadaranya. Keprihatinan PUSPANITA ke atas wanita dan kesihatan terserlah melalui Projek Puspadaranya selaras dengan sifat penyayang wanita yang senantiasa ingin membantu mereka yang kurang bernasib baik. It was reported by the Ministry of Health that the leading cause of death among women was breast cancer. A few lady civil service officers and quite a number of wives had succumbed to this disease. So PUSPANITA had the nobility of mind to launch a campaign to collect tax exempt donations for the purchase of a mimeograph machine and an ultra sound equipments for the General Hospital, Kuala Lumpur. After a strenuous effort, the Association collected a sum of RM 700,000 for its fund. I support this effort and will give it the necessary push when you require me to do so as your Penasihat.

5. Komitmen Pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasanya kepada aktibiti-aktibiti PUSPANITA membuktikan bahawa mereka telah berjaya mengagih- agihkan masa dengan bijak. Usaha mereka ini telah dapat memperkenalkan PUSPANITA di seluruh negara sebagai suatu persatuan yang berwibawa dan disegani, dan sepatutnya mendapat sokongan yang kuat daripada ahli-ahli PUSPANITA yang lain. Ahli-ahli PUSPANITA patut menghargai usaha pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa dengan menyertai semua kegiatan yang dirancang. Sebenarnya ahli-ahli PUSPANITA yang bertugas dibenarkan cuti tanpa rekod untuk menyertai program puspanita yang dikendalikan dalam waktu pejabat.

6. Sebelum keluarnya Surat Pekeliling Am Bil. 2 Tahun 1991, pertubuhan kebajikan dan sukan di agensi- agensi Kerajaan menghadapi masalah dari segi penggunaan pelbagai kemudahan dan kelengkapan Jabatan Kerajaan disebabkan tiada peraturan yang jelas mengenainya. Selain daripada itu, pertubuhan berkenaan juga menghadapi masalah kewangan untuk menjalankan aktivitinya. Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah bersetuju untuk membantu Pertubuhan- Pertubuhan tersebut dari segi penggunaan kemudahan dan kelengkapan Jabatan Kerajaan serta bantuan kewangan. Sungguhpun begitu Kerajaan sentiasa menggalak pertubuhan-pertubuhan seperti PUSAPNITA menjalankan usaha-usaha untuk menambah sumber kewangannya.

7. Kerajaan juga memberi pengiktirafan kepada pegawai-pegawainya yang terlibat secara aktif dalam persatuan-persatuan dan badan-badan kebajikan dan sukan yang diiktiraf oleh Kerajaan. Saya baru saja mengadakan Mesyuarat Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Ketua-Ketua Eksekutif Badan-Badan Berkanun Persekutuan, untuk membincangkan tentang pindaan kepada format laporan nilaian prestasi. Mengikut satu cadangan, pegawai-pegawai Kerajaan yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan luar dengan memegang jawatan penting, sama ada di peringkat antarabangsa, negara, negeri, ataupun daerah, layak diberi markah penuh dalam ruang yang berkenaan, yakni dalam ruang "kegiatan dan sumbangan". Mereka yang lama berkecimpung secara aktif dalam kegiatan luar seperti di PUSPANITA di samping berkhidmat dalam tugas rasminya secara cemerlang boleh ditimbangkan untuk diberi penganugerahan dalam bentuk anugerah bintang, anugerah kualiti dan sebagainya. Saya akan membincangkan dengan JPA & Perbendaharaan bentuk dorongan/galakan yang lain untuk pemimpin-pemimpin PUSPANITA yang paling cergas. Tidak lagi part-time - akauntabiliti kepada 8. Bagi menggalakkan lebih ramai wanita untuk memasuki pasaran kerja, Y.A.B. Perdana Menteri dalam ucapan beliau semasa membentangkan usul Rancangan Malaysia Ketujuh di Dewan Rakyat pada 6hb.

Mei 1996 yang lalu, telah mengumumkan Akta Kerja 1955 akan dikaji semula, bagi membolehkan wanita bekerja separuh masa atau secara sambilan. Kerajaan telah juga menggesa pihak majikan untuk menyediakan tempat jagaan bayi dan taska untuk pekerja wanita mereka. Penubuhan Taman Asuhan Kanak-kanak ataupun TASKA di sesetengah pejabat dan di kilang swasta adalah satu langkah yang baik kerana ianya memenuhi keperluan semasa pekerja-pekerja wanita. Saya difahamkan ada juga cawangan PUSPANITA yang telah mengwujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) untuk anak-anak pra-sekolah sebagai menyambut keperluan semasa.

9. Saya adalah berpendapat bahawa amat sesuai sekali PUSPANITA mengendalikan TASKA di Jabatan- Jabatan memandangkan anak-anak yang dihantar ke TASKA tersebut merupakan anak-anak ahli juga. Kita semua sedia maklum tentang masalah penjagaan anak yang dihadapi oleh pekerja-pekerja wanita.

Penubuhan TASKA di pejabat-pejabat Kerajaan adalah dianggap amat perlu sekarang ini. Isu yang ditimbulkan sekarang adalah kekurangan tenaga pekerja dan pendidik bagi TASKA-TASKA ini.

10. Saya telah juga dimaklumkan bahawa keahlian PUSPANITA telah merosot kepada 33,000 berbanding dengan angka pada pertengahan tahun lalu, iaitu 38,542 ahli, berikutan dengan persaraan pegawai- pegawai atau penswastaan agensi-agensi kerajaan.

Dalam hal ini, saya suka menyarankan bahawa di samping merancang program dan aktiviti, semua pengerusi haruslah mempertingkatkan usaha untuk menarik lebih ramai ahli untuk menyertai PUSPANITA.

Ahli-ahli baru boleh didaftar dari kalangan anggota wanita yang baru mula bertugas di sesuatu Agensi Kerajaan, atau baru berpindah daripada Jabatan yang lain. Usaha juga perlu ditingkatkan untuk menarik lebih ramai isteri pegawai untuk menjadi ahli, kerana, saya difahamkan sambutan daripada kalangan isteri untuk menjadi ahli masih lagi tidak memuaskan. Saya berpendapat bahawa usaha ini perlulah diberi keutamaan oleh tiap-tiap cawangan.

Kukuhnya sesuatu persatuan itu bergantung kepada komitmen kepda setiap ahli-ahlinya. Di samping itu, dengan kemasukan ahli-ahli baru, pengerusi berpeluang untuk mengenal pasti ahli-ahli yang mempunyai kepakaran dan minat yang tertentu untuk dimasukkan dalam pasukan petugas bagi cawangannya.

Saya doakan puan-puan akan berjaya untuk menambahkan keahlian di cawangan puan-puan.

11. I would like to remind officer-husbands once again to observe the General Orders at all times so as not to disclose official information of a confidential or secret nature even to their wives.

PUSPANITA members are also reminded not to interfere in the office matters of their husbands, and that they should mix freely and not to emphasise on the relative seniority of their husbands. PUSPANITA members should not use the official positions of their husbands to solicit for funds or to ask for favour from people which would jeopardise or put their husbands in a conflict of interest situation.

12. Akhir sekali, wanita Malaysia dapat mengharapkan masa depan yang amat cerah, bukan sahaja dalam negara tetapi juga di dunia antarabangsa.

"Padi menguning di tepi paya,

Terasa aman alam semesta,

Tinggi manusia kerana budinya,

Tinggi bangsa kerana WANITANYA"

13. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Ke 14.

Kami menerima 4,514,960 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri