English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : SEMPENA LAWATAN KE JABATAN HAL EHWAL ORANG ASLI (JHEOA)
Lokasi : GOMBAK, SELANGOR
Tarikh : 15-06-1996
 
1. Saya mengucapkan syukur ke Hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayahNya telah dapat bersama Tuan-tuan dan Puan-puan pagi ini melawat ke Kompleks Pejabat JHEOA Km. 24, Gombak. Sebentar tadi saya telah diberi taklimat mengenai aktiviti JHEOA, serta dapat beramah mesra dengan pegawai- pegawai dan anggota JHEOA, serta dengan Tok-tok Batin dan masyarakat Orang Asli di kawasan ini.

2. Daripada taklimat yang telah diberikan oleh Ketua Pengarah JHEOA tadi, saya dapati antara matlamat Jabatan ini ialah untuk memajukan masyarkat Orang Asli bukan sahaja dari segi fizikal, malah ia meliputi perubahan minda dan sikap Orang Asli itu sendiri. Penekanan dalam aspek-aspek ini dirasakan amat sesuai dan tepat.

3. Program-program seperti kursus, latihan, lawatan sambil belajar, pendidikan dan galakan mereka dalam badan-badan, persatuan, JKKK dan sebagainya perlulah dipergiatkan. Pengalaman dan contoh menunjukkan bahawa masyarakat serta negara- negara yang maju banyak mengambil daya usaha dalam membangunkan insan/ masyarakat melalui aktiviti pembentukan sikap positif dikalangan masyarakat mereka. Saya amat setuju Jabatan ini menitikberatkan aspek ini dalam merangka matlamat yang hendak dicapai.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 4. Kita tidak dapat menafikan bahawa masyarakat Orang Asli masih lagi tertinggal jauh di dalam arus pembangunan negara, samada di dalam bidang sosial mahupun dibidang ekonomi. Sehubungan dengan itu saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengingatkan semua Pegawai dan Anggota JHEOA supaya misi dan matlamat JHEOA itu dapat dijadikan satu wawasan dan pegangan yang sentiasa tersemat di dalam pemikiran Tuan/puan agar ia dapat diterjemahkan untuk menjadi suatu kenyataan dan bukan hanya sebagai sebuah impian sahaja. Sebagai seorang anggota Kerajaan, Tuan-tuan dan Puan-puan telah diamanahkan secara khusus untuk membimbing dan membawa masyarakat Orang Asli yang masih tertinggal dalam pelbagai bidang ini ke arah kemajuan dan kejayaan. Saya percaya dan yakin masyarakat Orang Asli mempunyai harapan yang tinggi dan tidak berbelah bagi terhadap JHEOA, sebagai sebuah agensi Kerajaan yang dapat membantu mereka agar dapat bersama kaum-kaum lain mencapai matlamat wawasan negara. Dari itu, komitmen yang harus diberikan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang dipikulkan, perlulah sampai ke tahap yang dapat meyakinkan mereka. Jika ini tidak dilaksana dan dihayati sudah tentu misi dan matlamat yang menjadi wawasan JHEOA tidak akan tercapai dan masyarakat Orang Asli akan terus tertinggal dalam arus pembangunan negara yang pesat berjalan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, 5. Berdasarkan kepada prestasi belanjawan yang dicapai oleh JHEOA di dalam Rancangan Malaysia Ke 6 (RM6), adalah didapati JHEOA hanya dapat membelanjakan RM 80.9 juta atau 74% daripada jumlah peruntukan sebanyak RM 109.5 juta. Saya faham terdapat beberapa `constrain' dan juga masalah yang dihadapi oleh JHEOA dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan tersebut. Tetapi, saya percaya melalui pengalaman yang Tuan-tuan dan Puan-puan perolehi selama ini, masalah-masalah tersebut difikir dan diusahakan agar ia dapat diatasi. Masalah yang dihadapi tidak seharusnya menghalang dan membantutkan usaha kita bagi mencapai cita-cita murni, tetapi ia sebaliknya menjadi satu cabaran dan menerimanya secara positif. Saya dimaklumkan bahawa di bawah RM7, JHEOA diperuntukkan sebanyak RM 170 juta untuk melaksanakan program-program pembangunan. Dari itu, saya berharap program- program yang telah disusun dan diatur dan peruntukan berjumlah RM 170 juta di bawah Rancangan Malaysai Ke 7 (RM7) itu akan dapat dibelanjakan sepenuhnya dan dapat mencapai matlamat yang diharapkan.

6. Saya percaya melalui Pekeliling-pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam, Arahan Perbendaharaan, Pekeliling-pekeliling Perkhidmatan yang lain adalah mencukupi untuk dijadikan asas dan panduan bagi kita semua melaksanakan tanggungjawab yang diberikan selaku pegawai dan anggota Kerajaan yang berdedikasi.

Tuan-tuan dan puan-puan, 7. Sungguhpun JHEOA adalah sebuah agensi unggul yang bertanggungjawab secara khusus ke atas masyarakat Orang Asli, tetapi bukanlah bermakna lain-lain agensi Kerajaan tidak perlu terlibat di dalam aktiviti-aktiviti untuk membangun dan memajukan mereka. Saya dimaklumkan juga antara pendekatan baru yang akan ditekankan dalam pelaksanaan program/projek pembangunan untuk masyarakat Orang Asli ialah melalui kerjasama oleh lain-lain agensi Kerajaan. Saya telah difahamkan setakat ini terdapat beberapa agensi Kerajaan yang telah turut serta menyedia dan merancang berbagai- bagai projek pembangunan untuk Orang Asli. Namun saya berharap skop serta kerjasama tersebut dapat digiat dan diperluaskan lagi. Melalui kerjasama yang erat diantara JHEOA dan lain-lain agensi Kerajaan, sudah tentu ia akan dapat membuahkan hasil yang lebih berkesan dalam membangunkan masyarakat Orang Asli. Semoga segala daya usaha yang Tuan-tuan dan Puan-puan berikan itu mendapat ganjaran yang sebaiknya dari Allah SWT. Pada hemat saya kumpulan sasar yang ada dihadapan Tuan- tuan dan Puan-puan adalah merupakan segolongan insan yang benar-benar mengharapkan iltizam dan bimbingan dari Tuan-tuan dan Puan-puan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 8. Sebagai mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada JHEOA yang telah menjemput saya ke program lawatan di Gombak pagi ini. Terima kasih saya juga saya berikan kepada J/Kuasa yang telah berjaya menyusun dan mengatur majlis ini. Terima kasih juga kepada masyarakat Orang Asli di Gombak khususnya dan di luar Gombak amnya kerana telah sudi hadir bersama dalam majlis lawatan saya dan isteri di Pejabat JHEOA Gombak pagi ini. Mudah-mudahan, perjumpaan seumpama ini akan dapat menambahkan lagi semangat kerjasama dan perpaduan antara masyarakat Orang Asli dengan masyarakat lain dan seterusnya dapat mendorong masyarakat Orang Asli untuk bersama Kerajaan dalam memesatkan pembangunan masyarakat mereka.

Sekian, saya sudahi ucapan saya ini dengan Wabillah- hi Taufiq Wal Hidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

Kami menerima 4,512,345 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri