English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS KHIDMAT BAKTI
Lokasi : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 08-05-1996
 
1. Sekali lagi saya mengucap syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana berpeluang bersama-sama dalam majlis ini dan mengucap terima kasih kepada Y.Bhg.Tan Sri, Puan Sri, Dato', Datin dan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian kerana sudi untuk bersama-sama mengucap "Selamat Bersara" kepada 36 orang pegawai- pegawai Kanan Persekutuan termasuk dua orang YB Setiausaha Kerajaan Negeri.

2. Pada tahun ini, inilah kali pertama kita mengadakan majlis perpisahan ini seperti tertera dalam Buku Cenderamata, terdiri daripada Y.Bhg. Tan Sri Dato' Abu Bakar bin Mohd Noor, Ketua Pengarah Jabatan Hasil Dalam Negeri, Y.Bhg. Encik Wan Awang bin Wan Yaacob, Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan,Y.Bhg. Tan Sri Datuk Mohd. Shariff Ishak, bekas Panglima Tentera Laut, Y.Bhg. Dato' Anthony Yeo, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YB Dato' Seri Azhar bin Hj. Othman, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Y.Bhg. Dato' Paduka Hj. Ahmad Basri bin Mohd Akil, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, dan lain-lain pegawai Persekutuan baik tentera dan awam. Ini adalah majlis perpisahan yang paling ramai dihadiri oleh pegawai-pegawai yang bersara dan akan bersara sekali gus dari Gred Utama Turus III hingga Gred I.

3. Y.Bhg. Tan Sri Dato' Abu Bakar bin Mohd Noor adalah sebaya dengan saya. Beliau adalah siswazah tempatan pertama dari Universiti Malaya Lembah Pantai, Kuala Lumpur selepas Universiti Malaya berpindah dari Singapura. Sebagai seorang pegawai dan teman yang telah saya kenali sejak lebih 30 tahun, beliau telah memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang kepada negara tanpa penat dan telah diminta terus berkhidmat selepas beliau mencapai umur persara wajib pada tahun 1993. Semenjak di lantik pada tahun 1962, beliau telah menyandang pelbagai jawatan iaitu dalam Kedah State Civil Service, sebelum dilantik ke Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1.12. 1962. Seterusnya beliau berkhidmat di Kementerian Kerja Raya, Pos dan Talikom, Kementerian Penyiaran, Pengurus Kepegawaian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Setiausaha Bahagian Kabinet dan Perlembagaan, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Timbalan Ketua Pengarah dan Ketua Pengarah, Badan Pencegah Rasuah, Timbalan Ketua Setiausaha I Kementerian Pertanian, Timbalan Ketua Pengarah dan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri sejak tahun 1989 hingga sekarang.

Semenjak beliau memegang teraju Jabatan Hasil Dalam Negeri pelbagai innovasi telah dapat dilaksanakan dan jumlah cukai dan hasil negara telah meningkat dengan banyaknya. Walau pun ada setengah orang kurang senang dengan innovasi itu, tetapi negara mendapat hasil dan kita juga merasa dengan bentuk kenaikan gaji. Kita ucapkan selamat bersara kepada Y.Bhg. Tan Sri yang telah memberi perkhidmatan yang sungguh cemerlang selama 34 tahun 1 bulan (1hb. Mei, 1962 - 31 Mei, 1996). Beliau akan menamatkan perkhidmatannya atas permintaan beliau sendiri.

4. Encik Wan Awang bin Yaacob, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan telah bersara pada 31 Disember, 1995 yang lalu telah berkhidmat selama lebih 31 tahun setelah mula berkhidmat pada tahun 1964 di Kementerian Luar Negeri sebelum kembali ke perkhidmatan dalam negeri, di Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 1970. Beliau seterusnya dinaikkan pangkat dan berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perikanan di Kementerian Pertanian, Timbalan Ketua Setiausaha III Kementerian Pertahanan, Pengarah Bahagian Gaji dan Elaun, Timbalan Ketua Setiausaha I Kementerian Dalam Negeri sehingga menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan pada tahun 1992 hingga 31 Disember, 1995. Seterusnya Y.Bhg. Tan Sri Datuk Mohd Shariff Ishak telah mencapai mercu kejayaan dalam Tentera Laut dengan menjadi Panglima Tentera Laut setelah ditauliahkan pada tahun 1964. Begitu juga kepada Laksamana Dato' Harun, Lt. Jen. Dato' Abdul Ghani, Lt. Jen. Dato' Seri Hj. Mohd Ali Alwi masing-masing telah mencapai kejayaan mereka. Y.Bhg. Dato' Anthony Yeo adalah seorang daripada diplomat yang mencapai kecemerlangan di luar negeri dan bersara sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia setelah berkhidmat di Kementerian Luar Negeri 26 tahun iaitu sejak tahun 1965 hingga Disember 1991. Begitu juga saya mengucap selamat bersara kepada semua tetamu khas yang lain walaupun saya tidak dapat menyebut semuanya yang terdiri pegawai-pegawai kanan Angkatan tentera, para doktor, jurutera, akauntan, pegawai- pegawai kebajikan, pegawai pendidikan, pegawai perkhidmatan tadbir dan diplomatik, pegawai muzium dan lain-lain yang masing-masingnya telah mencapai kejayaan dan memberi perkhdimatan mereka kepada negara hingga ke tarikh persaraan mereka.

5. Persaraan ini bermakna kerajaan akan kehilangan 36 orang pegawai kanan yang masing-masing telah memberi perkhidmatan puratanya selama 30 tahun lebih. Ini bermakna kita akan kehilangan pengalaman pegawai-pegawai sejumlah 1,080 tahun yang akan dibawa bersama-sama dengan persaraan mereka.

6. Saya telah menyarankan kepada pegawai-pegawai sekalian supaya dapat menulis mengenai pengalaman masing-masing supaya dapat menjadi panduan kepada pegawai-pegawai muda dan sebagai sumbangan kepada penambahan buku-bulu yang bermutu mengenai perkhidmatan kerajaan. Pada malam ini saya ingin sekali lagi mencadangkan agar mana-mana pegawai yang berminat dapat menghubungi saya atau Arkib Negara Malaysia jika memerlukan bantuan bagi projek seperti ini.

7. Malaysia telahpun menempah nama dalam bidang perkhidmatan Awam di peringkat antarabangsa. Oleh itu pegawai-pegawai perlulah beriktiar untuk membaiki prestasi masing-masing dan terus membuat inovasi kerana kita perlu "consistant" dalam menghadapi cabaran masa hadapan dan pegawai-pegawai perlu "rise to the occasion" apabila perlu terutamanya mengisi kekosongan apabila pegawai- pegawai yang ada bersara atau mengundur diri.

Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila persaraan pegawai kanan nanti diikuti pula dengan penurun "standard" perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian atau Jabatan. Bagi mengimbangi soal ini saya akan merasmikan satu Persidangan Perkhidmatan Awam 1996 bertajuk "Public Sector Performance: Gearing Towards Being World Class" pada 9 Mei, 1996 di INTAN, Kuala Lumpur. Saya berharap persidangan tersebut akan menghasilkan rumusan yang jitu supaya dapat digunakan untuk menghadapi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke 7 yang baru dibentang oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di Parlimen pada 6 Mei, 1996 yang lalu.

8. Perkhidmatan Awam Malaysia juga perlu mempertahankan segala sumpah yang dibuat dalam bentuk Piagam Pelanggan (Clients Charter) dan berusaha mengatasi jika berlaku apa-apa kekurangan.

Pada tahun 1995, walaupun Biro Pengaduan Awam menerima kurang aduan, namun usaha-usaha perlu dilakukan bagi menghadapi apa-apa "backlog" yang terdapat di agensi masing-masing. Sekiranya kita gagal menghapuskan "backlog", aduan akan terus diterima mengenai perkhidmatan yang gagal diberikan.

9. Pada malam ini saya ingin menasihati pegawai- pegawai yang bersara supaya terus memberi perkhidmatan baik kepada kerajaan atau menceburi mana-mana bidang yang terbuka supaya segala ilmu dan pengalaman dapat dimanfaatkan. Kepada para isteri yang selama ini terasa diabaikan kerana kesibukan suami atau para suami yang mengadu isteri yang sibuk di pejabat, semuga doa supaya suami atau isteri lebih masa di rumah akan menjadi kenyataan yang manis. Jagalah hati masing-masing. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucap terima kasih kepada isteri-isteri yang memberi sumbangan kepada PUSPANITA di Kementerian atau Jabatan dalam apa-apa kapasiti. Saya yakin mereka merasa puas memberi bakti kepada ahli-ahlinya.

10. Saya percaya kita semua menunggu-nunggu ucapan balas Y.Bhg. Tan Sri Dato' Abu Bakar bin Mohd Noor yang akan mewakili pesara-pesara semua dan saya berhenti setakat ini sahaja.

Kami menerima 2,802,374 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri