Language: English | Malaysia
TPM
MAJLIS PERASMIAN TERMINAL BARU BAS DAN TEKSI LABUAN
17/04/2013

WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

YB. Dato’ Raja Nong Chik bin Dato’ Raja Zainal Abidin
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar

YBhg. Dato’ Adnan bin Hj. Md Ikhsan
Ketua Setiausaha
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar

YB. Senator Datuk Yunus bin Hj. Kurus
Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan

YBrs. Encik Zainul Abidin bin Hj. Abdullah
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan

Seterusnya hadirin yang saya hormati sekalian,

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T, berkat limpah kurnia dan keizinan-Nya, pada petang ini, dapat saya bersama-sama dengan warga Wilayah Persekutuan Labuan dalam Lawatan Kerja yang walaupun singkat tetapi penuh bermakna bagi saya. Saya berasa begitu gembira dan amat teruja kerana dapat kembali ke Wilayah Persekutuan Labuan bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Terminal Bas Dan Teksi Labuan, di samping dapat beramah mesra dengan rakyat Labuan.

2. Saya masih lagi ingat, kali terakhir saya datang ke Pulau Labuan adalah pada 23 Februari 2013, dalam Majlis Sambutan Penutup Hari Wilayah Persekutuan yang diadakan dengan gilang-gemilang. Walaupun jauh dipisahkan laut, saya amat berbangga kerana Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai lebih kurang 80 agensi Kerajaan Persekutuan yang diberi tanggungjawab untuk menyampaikan perkhidmatan kepada warga Wilayah Persekutuan Labuan yang berjumlah lebih kurang 90 ribu orang.

3. Ini menunjukkan keprihatinan pihak Kerajaan ke atas warga Labuan dengan menyediakan kemudahan yang terbaik dan setanding berbanding semenanjung dengan harapan mereka menikmati perkhidmatan terbaik daripada agensi-agensi Kerajaan. Saya yakin, setiap perkhidmatan Kerajaan yang sedia ada di Labuan akan terus diperkasakan melalui pendekatan inovatif dan transformasi ke arah standard yang tinggi dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti.

PROJEK TERMINAL BAS DAN TEKSI LABUAN

4. Syukur kita kerana pada hari ini, saya diizinkan Allah SWT dan diberi peluang untuk merasmikan satu lagi projek yang pasti memberi manfaat kepada warga Labuan iaitu Terminal Bas Dan Teksi Labuan. Projek ini merupakan salah satu daripada senarai projek yang telah saya nyatakan semasa ucapan majlis penutup sempena Hari Wilayah Persekutuan 2013.

5. Pada ketika ini, di tempat kita semua berhimpun, tersergam sebuah Terminal Bas Dan Teksi Labuan yang berkonsepkan bersepadu, strategik dan sistematik bagi keselesaan pelbagai peringkat warga Labuan, pelancong, peniaga dan pengusaha bas serta teksi.

6. Projek Membina Terminal Bas dan Teksi Labuan melibatkan kos sebanyak RM5.8 juta dan berjaya disiapkan pada 7 Februari 2013. Terminal ini telah mula beroperasi pada 15 Mac 2013 dengan memberi keselesaan kepada pengusaha teksi dan bas melalui kemudahan meletak teksi berbumbung, ruang niaga dan tandas. Projek ini secara tidak langsung memberi manfaat yang besar kepada warga Labuan yang selama ini menghadapi masalah mendapatkan pengangkutan awam serta kesesakan lalu lintas akibat tiada pusat sehenti (one stop centre) bagi teksi dan bas.

7. Saya berharap, dengan adanya terminal ini, ia merupakan langkah yang tepat ke arah mewujudkan sistem pengangkutan awam yang terancang dan teratur yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Labuan yang semakin meruncing.

8. Dari segi lokasi, saya berpandangan Terminal Bas dan Teksi ini menjadi faktor penarik kepada pertumbuhan ekonomi yang terletak di kawasan sekitarnya seperti terminal jeti, pasar basah dan kering, bazar dan lot-lot kedai. Terminal ini juga mudah diakses oleh warga Labuan kerana lokasi yang dipilih terletak di luar kawasan kesesakan pusat bandar Labuan.

9. Begitu juga pada masa akan datang, dengan siapnya projek pasar baru berciri moden yang terletak bersebelahan dengan terminal ini, pasti akan mewujudkan suasana kondusif kepada warga Labuan dalam mendapatkan barangan harian serta merancakkan urusniaga di kalangan pengusaha.

Hadirin dan hadirat sekalian,

10. Kerajaan sentiasa memberi perhatian dan mengadakan engagement dengan rakyat supaya apa-apa program atau projek yang dilaksanakan memberi manfaat kepada mereka. Begitu juga dengan projek terminal ini, pembinaanya adalah disebabkan Kerajaan menyedari kesesakan yang dihadapi saban hari oleh warga Labuan di pusat bandar serta tiada kemudahan khusus kepada pengguna pengangkutan awam.

11. Justeru itu, saya menyeru kepada semua pengusaha bas dan teksi agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Bagi pengguna dan peniaga pula, diharapkan mereka dapat menikmati kemudahan yang disediakan di terminal ini dan memastikan ia berada dalam keadaan baik.

TRANSFORMASI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN SEBAGAI HAB MINYAK DAN GAS TERKEMUKA

Saudara dan saudari sekalian,

12. Kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan pembangunan supaya rakyat hidup selesa. Janji yang diberikan adalah janji yang pasti ditepati. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk mentransformasikan Pulau Labuan sebagai hub minyak dan gas yang terkemuka di Malaysia Timur. Hasil daripada pelaksanaan pembangunan tersebut, Kerajaan menjangkakan kemasukan pelabur-pelabur asing serta membuka lebih banyak ruang pekerjaan yang berkaitan dengan minyak dan gas. Pemilihan Pulau Labuan sebagai hab minyak dan gas adalah bertepatan dengan kapasiti dan sumber yang sedia ada di pulau ini.

13. Bagi langkah mengukuhkan status tersebut, Kerajaan telahpun meluluskan pada tahun 2012 sebanyak empat buah projek yang melibatkan empat Kementerian iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM165.65 juta. Projek-projek tersebut adalah:

i. Projek Pembinaan Jalan Pintas Kg. Gersik Untuk Memendekkan Perjalanan Dari Lapangan Terbang Labuan Ke Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha dengan kos sebanyak RM27 juta yang dijangka siap pada tahun 2016;

ii. Projek Pembinaan Ibu Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia WP Labuan (JBPM) Di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha dengan kos sebanyak RM40 juta yang dijangka siap pada Julai 2016;

iii. Projek Menaik Taraf Stesen Jana Kuasa Patau-Patau Dan Membina Bekalan Elektrik Sokongan Baru dengan kos sebanyak RM62.5 juta yang dijangka siap pada tahun 2014; dan

iv. Projek Menaik Taraf Rangkaian Paip Sedia Ada Di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha dengan kos sebanyak RM36.2 juta yang dijangka siap pada tahun 2016.

14. Akhir sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas jemputan ini dan saya berharap tuan-tuan dan puan-puan khususnya warga Labuan akan terus menyokong segala pembangunan yang telah dan akan dirancang. Kepada pihak-pihak yang terlibat seperti penjawat awam, kontraktor dan pekerja, komitmen bersungguh-sungguh serta berterusan daripada tuan-tuan dan puan-puan amat dituntut supaya pulau Labuan menjadi pulau yang terulung dan berdaya saing.

15. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Terminal Bas dan Teksi Wilayah Persekutuan Labuan sebagai sebuah pusat sehenti yang bersepadu bagi keselesaan warga Labuan.

Sekian,

Wabillahhittaufiq Walhidayah
Wassalamualaikum WarahmatullahiWabarakatuh.
TPM
"Jalur Gemilang lambang semangat kesetiaan, kesatuan, keberanian, kegigihan dan patriotisme rakyat negara ini yang selari dan serarah untuk mencapai wawasan yang sama iaitu kegemilangan. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna yang dinamakan bendera, tetapi ia merupakan lambang dan simbol kedaulatan negara yang punya makna besar dan mendalam ertinya"

TPM

TPM