Language: English | Malaysia
TPM
MAJLIS PERASMIAN KOLEJ KOMUNITI SEBERANG JAYA, PULAU PINANG
23/04/2013

KOLEJ KOMUNITI SEBERANG JAYA, PULAU PINANG

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Hadirin sekalian,

1. Marilah kita bersama-sama melafazkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W. di atas limpah kunia dan izinNya jua kita dapat berhimpun pada petang yang berbahagia ini dalam Majlis Perasmian Kolej Komuniti Seberang Jaya. Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak penganjur, kerana sudi menjemput saya untuk majlis perasmian pada petang yang berbahagia ini.

2. Saya pasti banyak masa dan tenaga yang telah disumbangkan untuk memastikan majlis pada hari ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat baik secara langsung mahupun secara tidak langsung bagi menjayakan majlis ini.

MODAL INSAN ASET NEGARA PALING BERHARGA

Hadirin sekalian,

3. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, Malaysia kini menghadapi tekanan dan cabaran besar dan berdepan dengan persaingan global. Bagi menghadapi persaingan tersebut, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam memacu negara ke arah pembangunan serta kesejahteraan hidup masyarakat. Usaha ini dapat dilihat dengan beberapa pelan transformasi dan dasar inovasi seperti Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dapat menyumbang ke arah pembangunan serta kesejahteraan hidup masyarakat.

4. Namun, program dan pelan transformasi ini tidak akan membuahkan hasil sekiranya mundur modal insannya. Modal insan merupakan aset negara yang paling berharga. Ini telah terbukti bahawa negara yang mempunyai sumber asli yang minima tetapi bijak menguruskan modal insan akan mencapai kejayaan yang maksima berbanding negara yang kaya dengan sumber aslinya. Sifat-sifat seperti suka menimba ilmu pengetahuan, berfikiran inovatif dan kreatif serta kompetitif harus disemai dalam kalangan masyarakat kita.

PENUBUHAN KOLEJ KOMUNITI

5. Sehubungan itu, pada tahun 2001, Kerajaan telahpun menubuhkan Kolej Komuniti sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi bagi turut serta dalam melahirkan masyarakat setempat yang berilmu dan berkemahiran tinggi. Kolej Komuniti merupakan sebuah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, berperanan sebagai hub pendidikan kepada masyarakat setempat untuk menimba ilmu. Sistem pendidikan di Kolej Komuniti adalah berkonsepkan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu pendidikan kepada semua golongan tanpa mengira batasan umur dan taraf pendidikan.

6. Sehingga kini, kerajaan telah menubuhkan 6 buah kolej komuniti di Pulau Pinang yang menawarkan 11 kursus sepenuh masa iaitu:
(i) Kolej Komuniti Kepala Batas;
(ii) Kolej Komuniti Bayan Baru;
(iii) Kolej Komuniti Tasek Gelugor;
(iv) Kolej Komuniti Nibong Tebal;
(v) Kolej Komuniti Bukit Mertajam; dan
(vi) Kolej Komuniti Seberang Jaya.

Pada hari ini, jumlah keseluruhan pelajar di ke enam-enam buah Kolej Komuniti di Pulau Pinang ini adalah seramai 675 pelajar; manakala untuk mereka yang mengikuti Program Sepanjang Hayat pula adalah seramai 3,480 orang.

PENUBUHAN KOLEJ KOMUNITI SEBERANG JAYA

Hadirin sekalian,

7. Penubuhan Kolej Komuniti Seberang Jaya telah dirancangkan semasa RMKe-9 yang melibatkan kos sebanyak RM11.28 juta dan telah mula dilaksanakan pada 25 Mei 2009 dan telah disiapkan pada 10 November 2011 dan telah menawarkan program pertamanya iaitu Kursus Pemasangan Elektrik dan Rangkaian Komputer. Pada hari ini, Kolej Komuniti Seberang Jaya telah mempunyai seramai 39 orang pensyarah serta mempunyai seramai 115 pelajar yang sedang mengikuti pengajian manakala seramai 167 orang lagi sedang mengikuti Program Sepanjang Hayat (PSH).

8. Saya amat yakin dan percaya dengan kewujudan Kolej Komuniti Seberang Jaya ini, ianya akan menjadi sebuah hub Pembelajaran Sepanjang Hayat tumpuan masyarakat setempat dan juga sebagai pengeluar modal insan yang mempunyai ciri-ciri keperibadian yang unggul.

SUCCESS STORY/ PRODUK KOLEJ KOMUNITI DI PULAU PINANG

9. Kolej Komuniti ini juga telah melahirkan ramai usahawan-usahawan yang maju serta berdaya saing terutamanya dalam bidang pengimportan dan pengeksportan produk berasaskan pertanian, komoditi, kelautan dan mineral. Antara Negara yang menjadi pasaran eksport mereka adalah seperti Indonesia, Singapura, Taiwan, China, Vietnam, Hong Kong, Thailand, Dubai dan Arab Saudi.

10. Sebagai contoh, Kolej Komuniti Kepala Batas, Pulau Pinang telah melahirkan seorang jutawan muda iaitu Saudara Mohd Fadzli Mohd Sa’ad yang mempunyai tiga buah syarikat yang berasaskan kepada sektor pembinaan, produk agrikultur dan produk-produk komoditi yang lain.

RANCANGAN KERAJAAN UNTUK PEMBANGUNAN KOLEJ KOMUNITI DI PULAU PINANG

11. Melihat kepada success story dan outcome lain yang telah dihasilkan, jelas menunjukkan bahawa Kerajaan sememangnya memberikan perhatian serius dalam aspek membangunkan modal insan. Kerajaan akan terus berusaha keras untuk mengupayakan masyarakat dan komuniti setempat menjadi usahawan yang berjaya dalam industri kecil dan sederhana sekaligus dapat membantu negara dalam mencapai sasaran menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

12. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan majlis pada hari ini berjalan dengan lancar. Semoga usaha murni ini dapat memartabatkan Kolej Komuniti Seberang Jaya sebagai sebuah institusi pengajian yang berkualiti seterusnya menjurus kepada penghasilan sebuah masyarakat berintelektual dan berdaya maju. Syabas dan teruskan usaha murni anda semua. Dengan lafaz yang, Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Kolej Komuniti Seberang Jaya, Kementerian Pengajian Tinggi.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufiq Walhidayah Wassalmmu'alaikum warahmatullahi wabaraakatuh.
TPM
"Jalur Gemilang lambang semangat kesetiaan, kesatuan, keberanian, kegigihan dan patriotisme rakyat negara ini yang selari dan serarah untuk mencapai wawasan yang sama iaitu kegemilangan. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna yang dinamakan bendera, tetapi ia merupakan lambang dan simbol kedaulatan negara yang punya makna besar dan mendalam ertinya"

TPM

TPM