Language: English | Malaysia
TPM
MAJLIS PENCAPAIAN 100 HARI PPPM 2013-2025
10/04/2013

SMK JALAN 4, BANDAR BARU BANGI, SELANGOR

YBhg. Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia,

YBhg. Tan Sri Abd Ghafar bin Mahmud,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,

Barisan Pengurusan Tertinggi Kementerian,

Pengarah-pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan PPD,

Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara,

Pengetua SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi, Selangor,

Pengetua-pengetua dan guru-guru,

Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulliah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. dengan izinnya kita dapat berhimpun di sekolah ini untuk meraikan pencapaian 100 hari pelaksanaan Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM). Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini.

2. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Pengetua SMK JLN 4 yang menjadi tuan rumah majlis ini dan seterusnya semua hadirin yang dihormati sekalian. Semoga segala kerjasama, khidmat bakti dan komitmen semua pihak dapat menyatukan impian dan hasrat untuk mencapai agenda pendidikan demi kemajuan dan kejayaan Malaysia yang kita sayangi.

ASAS TRANSFORMASI PENDIDIKAN

YBhg. Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Seperti yang telah dinyatakan oleh Tan Sri KPPM, transformasi pendidikan adalah teras kepada pencapaian negara berpendapatan tinggi. Daripada perkara yang dinyatakan, satu daripadanya adalah berkaitan dengan meningkatkan pencapaian pelajar. Inilah yang menjadi asas kepada Program Transformasi Kerajaan dibawah Bidang Keberhasilan Utama Negara ataupun National Key Result Area (NKRA) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 11 Julai 2009.

4. Program Tranformasi Kerajaan ataupun GTP khususnya NKRA Pendidikan telah menjadi pemangkin kepada tranformasi pendidikan bagi meningkatkan sistem pendidikan ke tahap yang lebih tinggi. Secara ringkasnya, imbasan pencapaian-pencapaian NKRA Pendidikan akan saya huraikan selepas ini.

Para hadirin sekalian,

5. Di bawah akses pendidikan dan peluasan pra-sekolah, saya berbangga kerana Kementerian telah berjaya melonjakkan penyertaan murid pada peringkat prasekolah daripada 67% pada tahun 2009 kepada 80.5%. Pada tahun 2012 sahaja, sebanyak 2,054 prasekolah baharu kerajaan dan swasta telah dibuka di seluruh negara, dan ini menjadikan jumlah keseluruhan prasekolah adalah sebanyak 24,737.

6. Menyedari kepentingan penguasaan asas literasi dan numerasi, maka Program Saringan Literasi dan Numerasi atau LINUS telah diperkenakan kepada semua murid Tahun 1 dengan sasaran 100% murid tiada masalah pembelajaraan boleh membaca, menulis dan mengira apabila mereka di Tahap 2. Kejayaan LINUS ini, telah mendorong KPM memperkenalkan LINUS 2.0 yang akan memperkenalkan saringan bagi mengetahui tahap literasi Bahasa Inggeris murid Tahun 1 mulai 2013, supaya intervensi awal dapat diberikan kepada murid-murid yang kurang menguasai Bahasa Inggeris.

7. Dalam menghargai usaha kepimpinan sekolah yang berjaya mencapai kecemerlangan prestasi yang ditetapkan atau menunjukkan lonjakan dalam prestasi sekolah, Kementerian telah menyediakan Bayaran Insentif Khas kepada semua Pengetua dan Guru Besar atau disebut sebagai Tawaran Baharu.

8. Selain itu, Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP), juga menunjukkan kejayaan kerana sebanyak 43.6% sekolah rendah dan menengah dalam Band 6 dan Band 7 berjaya keluar daripada kelompok ini. Kementerian juga telah memberi pengiktirafan kepada sekolah yang berjaya mencapai prestasi yang tinggi. Sehingga tahun 2012 sebanyak 91 sekolah telah diiktiraf sebagai sekolah berprestasi tinggi.

9. Berdasarkan kejayaan-kejayaan tersebut, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun yang lepas. Kejayaan ini memperlihatkan potensi KPM, JPN, PPD dan seluruh warga pengajar untuk memacu kejayaan ke tahap yang lebih tinggi melalui PPPM telah mula dilaksanakan awal tahun ini.

MEMACU PELAKSANAAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Para hadirin sekalian,

10. Malaysia sudah mula mengorak langkah untuk berada dalam kelompok sepertiga teratas negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. Bagi tujuan ini, Kementerian telah mengenalpasti 100 inisiatif yang menjadi keutamaan untuk dilaksanakan pada tahun 2013. Untuk ini saya ingin berkongsi enam inisiatif awal yang telah menunjukkan kejayaan dalam tempoh 100 hari pertama pelaksanaan PPPM. Enam inisiatif ini adalah;

a. pelancaran 1Agenda KPM;

b. penubuhan unit PADU dan PADU Corporation

c. pelancaran dan pengagihan sarana ibu bapa;

d. pengujian guru bahasa Inggeris melalui Cambridge Placement Test;

e. pelaksanaan Program Rintis Program Transformasi Daerah; dan

f. penyediaan video e-guru.

1AGENDA KPM

11. Kejayaan pertama yang telah dicapai adalah pelancaran 1Agenda KPM. Pelaksanaan NKRA pendidikan telah memberi pengalaman baru kepada Kementerian dalam mengharungi cabaran tranformasi pendidikan. Berdasarkan kepada pengalaman ini, Kementerian telah melancarkan 1Agenda KPM sebagai permulaan langkah pertama pelaksanaan PPPM.

12. 1Agenda KPM merupakan satu penyatuan hasrat dari empat dasar utama kerajaan iaitu PPPM, GTP, ETP dan Rancangan Malaysia ke-10. Berteraskan kepada empat dasar ini, 100 inisiatif telah dikenal pasti dan 25 inisiatif akan diberi keutamaan dan fokus untuk dilaksanakan bagi tahun 2013.

13. Pada hemat saya, pelancaran 1Agenda KPM ini sangat penting dan bermakna kerana ia menyatupadukan semua Bahagian di Kementerian di bawah satu matlamat iaitu melaksanakan agenda PPPM secara efisien dan telus.

PENUBUHAN PADU

14. Inisiatif kedua yang dapat dicapai dalam tempoh 100 hari ini adalah dengan menubuhkan Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (PADU) dan PADU Corporation yang akan melaporkan status pelaksanaan PPPM kepada Menteri Pelajaran.

15. Penubuhan PADU merupakan suatu pemangkin perubahan (game changer) di dalam konteks penyampaian (delivery) Kementerian itu sendiri. Konsep ini buat julung kalinya dilaksanakan di peringkat Kementerian pusat di negara ini. Kementerian Pelajaran akan menyesuaikan amalan terbaik sektor korporat untuk memastikan aspirasi PPPM tercapai secara berkesan. Peranan PADU bukanlah untuk menggantikan fungsi dan tanggungjawab Bahagian-Bahagian di Kementerian, tetapi akan bertindak sebagai pemudahcara dan check and balance bagi memastikan kelancaran proses penyampaian tersebut.

16. Dalam tempoh 100 hari ini, PADU Corporation telah didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965. PADU Corporation juga merupakan sebuah entiti yang akan menyuntik sumber kewangan untuk melaksanakan inisiatif serta akan berurusan dengan pihak-pihak berkepentingan yang lain. Dengan terbentuknya PADU, semua program termasuk inisiatif-inisiatif NKRA dan NKEA yang sebelum ini dikendalikan oleh Delivery Management Office (DMO) akan digabungkan dengan inisiatif-inisiatif Pejabat Pengurusan Projek (PMO) di bawah unit PADU untuk mengelakkan sebarang pertindihan tugas dan fungsi.

17. PADU akan dianggotai oleh pegawai yang berbakat dari dalam dan luar Kementerian. Pada hari ini, saya berbesar hati untuk memperkenalkan CEO PADU, iaitu Y. Bhg. Dato’ Prof. Dr. Rujhan bin Mustafa, yang kini menyandang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi. Beliau akan dibantu oleh Dr. Habibah Abdul Rahim dan Dr. Noorliza Haji Zakuan dari Kementerian Pelajaran serta Puan Aini Hayati Jamaluddin dari sektor korporat. Tanggungjawab PADU amat berat, namun saya yakin PADU dapat melaksanakan tugas dengan baik.

PROFESIENSI GURU BAHASA INGGERIS

18. Pencapaian ketiga adalah berkaitan profesiensi guru Bahasa Inggeris. Selain daripada bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penghantar di sekolah, Kementerian juga memberikan tumpuan dan keutamaan terhadap kualiti guru Bahasa Inggeris dalam pelaksanaan PPPM ini.

19. Pendirian Kementerian adalah berdasarkan keyakinan bahawa kualiti guru bahasa Inggeris merupakan asas untuk meningkatkan standard bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Kementerian akan berusaha untuk mengukuhkan kemahiran guru bahasa Inggeris apatah lagi sebagai persediaan ke arah merealisasikan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris SPM menjelang tahun 2016.

20. Dalam tempoh 100 hari ini, seramai 61,000 guru bahasa Inggeris telah menjalani ujian kefasihan bahasa Inggeris melalui Cambridge Placement Test (CPT). Susulan daripada itu, guru-guru yang telah dikenal pasti akan diberikan latihan dan sokongan ke arah penambahbaikan tahap kompetensi dan profesionalisme mereka.

SARANA IBU BAPA

21. Seterusnya, ibu bapa merupakan individu yang amat penting dalam kehidupan anak-anak. Ibu bapalah yang akan membentuk anak-anak dengan acuan yang betul. Kajian OECD tentang PISA menunjukkan bahawa sesetengah aktiviti antara ibu bapa dengan anak seperti membaca pada setiap hari atau membincangkan kegiatan harian dapat meningkatkan keberhasilan murid tanpa mengambil kira latar belakang sosio-ekonomi.

22. Kementerian sedar bahawa pembelajaran berlaku di sekolah dan juga di rumah. Oleh itu, Kementerian sentiasa meneroka cara-cara untuk meluaskan pembelajaran agar ia bukan sahaja berlaku di sekolah, malahan di rumah dan juga melibatkan komuniti. Setiap ibu bapa perlu menjadi rakan yang aktif dalam pembelajaran anak-anak.

23. Menyedari akan kepentingan ini, Kementerian telah menyediakan toolkit ataupun sarana untuk ibu bapa agar mereka dapat dibimbing ke arah meningkatkan pencapaian anak mereka.

24. Justeru itu, pada 24 Februari 2013, Majlis Pelancaran Sarana Ibu Bapa yang telah dihadiri seramai 5,000 ibu bapa dan juga PIBG, guru, pengetua, guru besar, NGO, dan pihak berkepentingan telah disempurnakan. Saya difahamkan bahawa kesemua 10,000 sekolah telah menerima toolkit tersebut dan tuan-tuan dan puan-puan juga akan dibekalkan dengan toolkit dalam majlis ini.

PELAKSANAAN PROGRAM TRANSFORMASI DAERAH

Para hadirin sekalian,

25. Pencapaian seterusnya adalah kejayaan dalam melaksanakan Program Transformasi Daerah. Untuk meningkatkan kualiti pemimpin dan guru, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan menjadi rakan kerjasama rapat dengan pihak sekolah dalam menyediakan tahap yang lebih tinggi dari aspek sokongan, akauntabiliti dan keluwesan (flexibility) operasi.

26. Sehingga kini, Program Tranformasi Daerah ini telah dirintis di Sabah dan Kedah. Seramai 352 jurulatih melalui program SIPartner+ dan SISC+ yang dilantik dalam kalangan pensyarah Institut Pendidikan Guru, Institut Aminuddin Baki, dan guru cemerlang telah ditempatkan secara sepenuh masa di PPD. Pegawai pendidikan yang dilantik khusus ini ditugaskan untuk memberi sokongan kepada pengetua, guru besar, dan guru sekolah yang berada dalam Band 6 dan Band 7. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan sebahagian daripada jurulatih yang baru di lantik melalui paparan video yang akan dimainkan sebentar lagi.

Insya-Allah, program ini akan diperluaskan ke semua negeri menjelang hujung tahun ini.

VIDEO e-Guru

27. Pencapaian yang terakhir tetapi tidak kurang pentingnya ialah penyediaan perpustakaan video e-Guru. Kementerian sedang mengusahakan penubuhan perpustakaan video atas talian yang merupakan himpunan video terbaik dalam pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran. Video ini akan membolehkan guru-guru melihat contoh-contoh pengajaran terbaik di bilik darjah. Dengan ini, diharapkan guru-guru dapat mengaplikasikan amalan terbaik tersebut dalam pengajaran mereka di bilik darjah.

28. Semua video ini akan dimuat naik di dalam talian supaya guru boleh menggunakannya pada bila-bila masa. Bahan ini juga menjadi sumber rujukan kepada jurulatih SISC+ semasa mereka menjalankan sesi latihan bersama-sama guru di sekolah.

29. Hari ini, kita bertuah kerana 5 video telah berjaya dihasilkan untuk dimanfaatkan oleh semua guru. Saya difahamkan paparan sebuah video secara sepintas lalu akan dimainkan sebentar lagi.

30. Insya-Allah, Kementerian bertekad untuk meluaskan perpustakaan video ini dengan menambah bilangan kepada 50 buah video pada akhir tahun ini.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

31. Kita telah menyaksikan 100 hari pertama yang diwarnai dengan pelbagai onak dan duri. Namun dengan berbekalkan kesedaran akan pentingnya merealisasikan agenda modal insane negara ini, pihak KPM telah berjaya membuahkan hasil yang dapat dibanggakan. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang telah terlibat dalam memastikan sasaran 100 hari pertama ini dapat tercapai.

32. Namun, kita tidak seharusnya lalai dan leka kerana perjalanan transformasi ini masih panjang dan mencabar. Sesungguhnya, laporan pencapaian 100 hari pertama ini adalah langkah pertama dari seribu langkah yang bakal dijejak. Sehubungan ini, saya, pihak KPM dan PADU beriltizam dan komited untuk terus melaporkan status prestasi pelaksanaan PPPM secara telus dari masa ke semasa pada setiap tahun.

33. Transformasi pendidikan ini adalah legasi negara yang bukan sahaja melibatkan 5.5 juta pelajar hari ini tetapi juga seluruh anak bangsa pada masa akan datang. Marilah kita berikrar, walau apapun rintangan yang bakal ditempuhi, kita perlu memastikan bahawa segala perencanaan ini tidak akan gagal di pertengahan jalan. Segala cabaran dan halangan perlulah kita tangani bersama dengan bijaksana. Marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Illahi agar usaha menjulang taraf pendidikan negara ini akan mencapai kejayaan seperti yang diharapkan rakyat Malaysia dan disegani di mata dunia.

34. Sekian, saya sudahi ucapan saya dengan Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
TPM
"Jalur Gemilang lambang semangat kesetiaan, kesatuan, keberanian, kegigihan dan patriotisme rakyat negara ini yang selari dan serarah untuk mencapai wawasan yang sama iaitu kegemilangan. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna yang dinamakan bendera, tetapi ia merupakan lambang dan simbol kedaulatan negara yang punya makna besar dan mendalam ertinya"

TPM

TPM