Language: English | Malaysia
TPM
MAJLIS PERASMIAN PROGRAM HELLO KOMODITI KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
16/03/2013

PAGOH, JOHOR DARUL TAKZIM

YB Dato’ Hamzah Zainudin
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

YB Datuk Haji Tahir Mohd Taat
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Serampang

YB Datuk Dr. Sharuddin bin Md. Salleh
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jorak

YB Senator Hajjah Noriah binti Mahat
Ketua Pegawai Wanita UMNO Pagoh

YBhg Datin Paduka Nurmala Abd Rahim
Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Yang Berusaha Tuan Haji Abd Rahman Mohamed Dewam
Pegawai Daerah Muar

Ketua-ketua Pengarah dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan Agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri
Para Pemimpin Tempatan

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Pertamanya, marilah kita menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya jua, dapat kita semua berkumpul menjayakan Program Hello Komoditi, anjuran Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi (MPIC) pada hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian selaku penganjur kerana sudi menjemput saya merasmikan program Hello Komoditi ini.

2. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak kerana program Hello Komoditi pada kali ini diadakan di Pagoh. Penganjuran program ini di Pagoh adalah amat relevan, kerana ia merupakan kawasan pertanian di mana majoriti penduduk bergantung kepada sektor pertanian, antaranya sektor komoditi kelapa sawit dan getah. Disamping itu juga, daerah Muar merupakan hub terbesar pengeluaran perabot di negara ini, iaitu salah satu industri hiliran terpenting bagi sektor komoditi negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

3. Saya ingin berkongsi sebentar mengenai perkembangan baru-baru ini berhubung situasi negara kita dikejutkan dengan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh pihak yang tidak bertanggung jawab. Saya telah berada disana awal minggu ini, dan amat bangga dengan semangat kental dan patriotik yang tinggi ditunjukkan oleh anggota keselamatan PDRM dan ATM kita.

4. Saya mengambil kesempatan ini memohon sama-samalah kita berdoa agar ALLAH melindungi anggota-anggota kita yang bertugas mempertahan dan mendaulatkan bumi Malaysia yang tercinta, disamping memohon rahmat dariNya agar segala perancangan pembangunan negara akan terus kukuh dan berjaya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

5. Program Hello Komoditi merupakan satu rancangan Kerajaan bagi mewujudkan ruang dan peluang merapatkan hubungan kerjasama di antara pihak Kerajaan dengan masyarakat, khususnya pekebun kecil. Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk turun padang, bagi merasai denyut nadi rakyat, melalui proses penyebaran dan pengkongsian maklumat berhubung program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan.

6. Sehubungan itu, ingin saya tekankan di sini bahawa kaedah turun padang yang diamalkan oleh Kerajaan bukannya hanya bermusim, di masa-masa tertentu sahaja, malahan telah dilaksanakan secara berterusan.

7. Program Hello Komoditi, yang telah dilaksanakan oleh kerajaan semenjak tahun 2007 telah berjaya menyalurkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai peluang-peluang komersil yang wujud dalam industri komoditi negara, terutamanya sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko dan lada. Kerajaan berharap agar orang ramai, belia dan golongan yang berminat, mengambil peluang sepenuhnya maklumat-maklumat yang tersedia ini termasuk peluang kerjaya di sektor perladangan dan komoditi.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

8. Sektor komoditi merupakan antara sektor ekonomi yang terpenting di dalam negara, dan hari ini produk-produk komoditi kita telah sampai di pelbagai pasaran luar negara. Jika dilihat dari sudut prestasi eksport, pada tahun 2012, ianya merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada pendapatan eksport negara selepas industri elektrik dan elektronik (E&E), dan industri petroleum dan gas (O&G). Pendapatan dari eksport produk berasaskan komoditi berjumlah RM127.5 bilion (18.2 peratus) daripada keseluruhan pendapatan eksport negara iaitu RM702.2 bilion.

9. Manakala dari sudut kandungan tempatan (local content), eksport bersih (nett export) industri komoditi negara mengatasi industri elektrik dan elektronik (E&E), dan industri petroleum dan gas (O&G). Memandangkan ia adalah bersifat watan atau home grown, eksport bersih industri komoditi adalah bernilai lebih tinggi iaitu RM94.4 bilion, berbanding RM59.6 bilion bagi sektor petroleum dan gas sementara sektor elektrik dan elektronik sebanyak RM56.2 bilion.

10. Dalam memastikan kemajuan mampan sektor perladangan dan komoditi dalam agenda pembangunan negara, terutamanya membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di luar bandar, Kerajaan telahpun mengenalpasti tanaman sawit dan getah sebagai Bidang Ekonomi Utama Negara (National Key Economic Area - NKEA) yang akan menyokong dan mengukuhkan pelaksanaan Dasar Komoditi Negara (2011-2020).

11. Sehubungan itu, pada tahun 2013 ini, Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM2.9 bilion bagi menampung keperluan belanja mengurus dan pembangunan MPIC untuk terus memajukan industri perladangan dan komoditi negara, termasuk hampir RM635 juta bagi pelaksanaan projek-projek NKEA.

12. Kerajaan juga memberi penekanan kepada pembangunan di peringkat hiliran meliputi aktiviti penghasilan dan pembuatan produk akhir yang bernilai tambah tinggi. Sehubungan ini, saya difahamkan MPIC dan agensinya telah pun melaksanakan program pembangunan usahawan berasaskan komoditi seperti penghasilan coklat dari koko, pembuatan biskut dan roti berasaskan sawit dan pembuatan kraftangan daripada getah. Saya berharap program seperti ini akan terus dikembangkan di seluruh negara, termasuk melibatkan usahawan berpotensi di Pagoh.

13. Berhubung dengan industri kayu-kayan, penekanan ke atas kluster industri perabot wajar diperkukuhkan, terutamanya dari segi memudahcara pembekalan bahan mentah, pemodenan operasi dan peningkatan perkhidmatan sokongan seperti rekabentuk dan penjenamaan. Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya MPIC dan agensi terlibat, termasuk pihak PEMANDU, merangka projek-projek permulaan (entry point projects) bagi industri perabot sebagaimana yang telah dilaksanakan dibawah NKEA industri sawit dan getah sewajarnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

14. Kerajaan kita pada masa ini sentiasa memberikan keutamaan dan meletakkan kepentingan rakyat dalam setiap keputusan dan dasar pembangunan sosio-ekonomi yang dirangka. Sehubungan itu, bagi membantu usahawan dan pekebun kecil industri komoditi, Kerajaan telah menyediakan RM918.5 juta bagi membiayai 22 jenis bantuan dan insentif pada tahun 2013. Bantuan dan insentif ini bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup usahawan dan pekebun kecil dan pada masa yang sama melonjakkan pengeluaran hasil komoditi negara.

15. Industri getah merupakan antara komoditi yang tertua di negara kita dan masih berperanan penting sebagai sumber pendapatan kepada masyarakat luar bandar. Sehubungan dengan ini, Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM229.3 juta bagi bantuan dan insentif demi menjaga kebajikan para pekebun kecil getah. Bantuan yang diberikan dalam bentuk geran bertujuan bagi membiayai Program Tanam Baru Getah dan Program Tanam Semula Pokok Getah.

16. Kerajaan juga menyediakan peruntukan kewangan sebanyak RM434.8 juta kepada pekebun kecil sawit bagi membiayai 3 program utama iaitu Skim Diskaun Cantas (SKIDIC), Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) dan Bantuan Penyelenggaraan Kebun.

17. Bagi menggalakkan pekebun kecil menceburi diri dalam tanaman koko pula, sebanyak RM40.7 juta disediakan bagi membiayai Program Tanaman Baru Koko dan Program Pemulihan Tanaman Koko berupa bekalan input pertanian seperti baja, racun penyakit dan perosak dan peralatan tanaman serta perkhidmatan cantuman dewasa. Bagi menggalakkan penanaman koko juga, Program Koko Untuk Rakyat iaitu agihan percuma anak benih koko kepada mereka yang berminat akan diteruskan pada tahun 2013.

18. Bagi mereka yang terlibat dalam sektor lada pula, Kerajaan menyediakan lima jenis bantuan iaitu program Baik Pulih Tanaman Lada, program Tanaman Baru Pekebun Kecil, program Tanaman Baru Ladang Berkelompok dan program Tanaman Baru Ladang Peneraju melibatkan bantuan peruntukan sebanyak RM10.2 juta. Manakala bagi sektor kenaf pula, insentif sebanyak RM7.0 juta turut disediakan bagi menggalakkan pekebun kecil menanam kenaf.

19. Bagi memastikan kelangsungan industri perkayuan negara pula, peruntukan khas sebanyak RM196.5 juta disediakan di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan Besar dan Sederhana serta Pekebun Kecil untuk mengusahakan ladang-ladang hutan dari spesies pokok yang terpilih.

20. Adalah diharapkan para hadirin semua dan pekebun-pekebun kecil khususnya dapat mengambil peluang dan manfaat dalam Program Hello Komoditi hari ini untuk berjumpa dengan pegawai-pegawai Kementerian dan agensi terlibat bagi mendapatkan maklumat bantuan dan khidmat nasihat berkenaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

21. Saya penuh yakin, masyarakat Malaysia, khususnya di Pagoh ini, amat memahami niat ikhlas dan murni Kerajaan yang secara istiqamah, berusaha tanpa jemu, untuk memajukan rakyat dan membangunkan negara. Sekali lagi dalam konteks sektor komoditi, Kerajaan melalui MPIC akan sentiasa pro-aktif merancang dan melaksanakan pelbagai program bagi mentransformasikan sektor komoditi agar terus maju, berdaya saing dan terus menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

22. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Hello Komoditi ini. Semoga semua perancangan dan perlaksanaan kita akan terus beroleh keberkatan Allah S.W.T. dalam usaha kita untuk mencapai kecemerlangan di sektor perladangan dan komoditi negara.

23. Oleh yang demikian, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Hello Komoditi anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Pagoh, Johor Darul Takzim pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
TPM
"Jalur Gemilang lambang semangat kesetiaan, kesatuan, keberanian, kegigihan dan patriotisme rakyat negara ini yang selari dan serarah untuk mencapai wawasan yang sama iaitu kegemilangan. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna yang dinamakan bendera, tetapi ia merupakan lambang dan simbol kedaulatan negara yang punya makna besar dan mendalam ertinya"

TPM

TPM