CAPAM 2014

Speeches


30/05/2013 - Majlis Pelancaran Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara

Bismillaahir rahmaanir rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,  Salam Sejahtera dan

Salam 1Malaysia

 

  • YBhg. Tan Sri Dato’ Setia Ambrin bin Buang

Ketua Audit Negara

 

  • YBhg. Dato’ Mohamad Zabidi bin Zainal

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

 

  • YBhg. Dato’ Ilani binti Mohamad Ibrahim

Pengubal Undang-Undang Parlimen

(Wakil Peguam Negara)

 

  • YBhg. Dato’ Zaleha binti Abdul Rahman

Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran)

(Wakil Ketua Polis Negara)

 

  • YBhg. Datuk Borhan bin Dolah

Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan

(Wakil TKSUK JPM)

 

  • Encik Lokman Affandy bin Yahya

Pengurus Kanan NKRA (Corruption) & NKEA (Wholesale & Retail)

PEMANDU, JPM

 

  • Encik Sazali bin Salbi

Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya

Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia

 

YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

 

UCAPAN TERIMA KASIH

1.      Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bertemu pada hari ini sempena Majlis Pelancaran Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara atau Auditor General’s Dashboard dan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2012, Anugerah 25 Tahun Perkhidmatan dan Sijil ‘Certified Audit Instructor’.

2.      Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Setia Ambrin bin Buang, Ketua Audit Negara, di atas kesudian menjemput saya hadir ke majlis ini, seterusnya melancarkan Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara atau Auditor General’s Dashboard.

3.      Syabas dan tahniah kepada semua yang terpilih sebagai penerima APC Tahun 2012, Anugerah 25 Tahun Perkhidmatan serta Sijil ‘Certified Audit Instructor. Saya yakin dan percaya, tuan-tuan dan puan-puan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, dengan mengamalkan budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan awam.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

PERKHIDMATAN AWAM

4.      Sebagai penjawat awam kita perlu berdepan dengan realiti semasa, di mana kualiti perkhidmatan awam sering menjadi tumpuan, terutama sekali daripada rakyat Malaysia yang semakin peka dan terdedah dengan maklumat, melalui media rasmi atau media sosial, dan mereka mempunyai espektasi tinggi terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam. Kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat bukan sahaja perlu cemerlang, malahan hendaklah memenuhi ekspektasi rakyat yang semakin tinggi. Oleh yang demikian, budaya kerja cemerlang dan berinovatif perlu diterapkan secara menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

5.      Kita juga perlu menyedari dan berbangga bahawa perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada pentadbiran negara. Sebagai mana ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) pada 11 Mac 2013 yang lalu, penjawat awam merupakan agen transformasi paling hadapan dalam perantaraan rakyat dan Kerajaan. Ianya memberikan gambaran yang jelas bahawa perkhidmatan awam telah diberi mandat dan tanggungjawab untuk memastikan Agenda Transformasi Negara menjadi realiti.

6.      Untuk kekal relevan, perkhidmatan awam perlu berkembang seiring dengan proses transformasi yang dijadikan fokus dalam negara mencapai Wawasan 2020. Peralihan daripada Sistem Saraan Malaysia kepada Sistem Saraan Transformatif merupakan langkah yang diambil secara teliti, bersepadu dan positif bagi memastikan perkhidmatan awam kekal produktif dalam memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Saya percaya, penambahbaikan yang berterusan akan diterapkan dalam perkhidmatan awam bagi mencapai ekspektasi rakyat yang mahukan  perkhidmatan berkualiti dan telus.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

CABARAN PERKHIDMATAN AWAM

7.      Realitinya, kita masih mendengar keluhan dan rungutan sebilangan orang ramai terhadap kualiti dan integriti dalam perkhidmatan awam. Ironi nya, walaupun pelbagai tindakan tegas telah diambil oleh Kerajaan terhadap kes-kes rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, dan salah laku, persepsi masyarakat umum terhadap perkhidmatan awam masih lagi dipengaruhi oleh maklumat-maklumat yang kadang-kadang kurang tepat yang mudah dicapai melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Youtube.  Sektor awam juga berdepan dengan golongan rakyat daripada generasi baru yang mempunyai pemikiran dan idealism baru dan sentiasa menuntut sektor awam untuk  menyediakan perkhidmatan terbaik dan cemerlang. Apa yang menjadi kekhuatiran ialah stigma atau tanggapan negatif akan terus membayangi orang ramai terhadap perkhidmatan awam. Isu rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan salah laku sering menjadi tumpuan dalam membicarakan mengenai integriti perkhidmatan awam.

8.      Walau bagaimanapun, saya percaya tanggapan yang negatif tersebut masih boleh dikikis melalui usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan, seperti pelaksanaan fasa pertama Program Transformasi Nasional (GTP) yang melibatkan tujuh (7) Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah berakhir dengan jayanya pada tahun 2012. Seperti termaklum, salah satu daripada NKRA yang diberi penekanan adalah mengurangkan kadar jenayah dan rasuah. Komitmen terhadap rakyat juga terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan fasa kedua Program Transformasi Nasional (GTP 2.0) yang memberi penekanan ke atas penglibatan Kerajaan dengan masyarakat, serta kerjasama erat di antara sektor awam, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Sektor Korporat. Dalam hubungan ini, komitmen dan integriti penjawat awam perlu dipertingkatkan, iaitu lebih proaktif, berdisiplin, bertanggungjawab serta responsif kepada perubahan dan ekspektasi rakyat. 

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

CTI, CPI DAN KETERBUKAAN

9.      Sukacita saya menarik perhatian para hadirin mengenai hasrat YAB Perdana Menteri Malaysia di dalam ucapannya sempena Program Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang Dan Cintailah Negara Kita. YAB Perdana Menteri menyarankan agar penjawat awam sentiasa menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh di samping meningkatkan prestasi, supaya perkhidmatan lebih baik dapat diberikan kepada rakyat. YAB Perdana Menteri turut menggariskan enam (6) prinsip yang mencerminkan pembaharuan budaya kerja dalam perkhidmatan awam iaitu: Cepat, Tepat dan berIntegriti (CTI), Produktif, Kreatif dan Inovatif (PCI). Rakyat sentiasa memberi perhatian serius dan menilai sejauh mana pembaharuan budaya kerja tersebut memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Oleh yang demikian, setiap penjawat awam perlulah bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima teguran atau apa jua kritikan dalam menjalankan tugas.

10.    Keterbukaan dalam konteks ini adalah kesediaan untuk menerima teguran dan kritikan bukan sahaja daripada orang awam atau Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), tetapi juga daripada agensi-agensi Kerajaan seperti Jabatan Audit Negara, bertanggungjawab untuk menegur dan memastikan akauntabiliti dan kecemerlangan perkhidmatan awam berada pada tahap cemerlang.  Keterbukaan di dalam konteks ini juga adalah kesediaan untuk melihat setiap teguran dan kritikan sebagai sesuatu yang berguna untuk membuat penambahbaikan ke atas kelemahan yang ada dan meningkatkan lagi mutu kerja perkhidmatan awam. Justeru, mesej yang konsisten juga harus difahami oleh setiap penjawat awam dan diperjelaskan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan awam amat mementingkan enam (6) prinsip budaya kerja iaitu CTI dan PCI, di samping sentiasa bersikap terbuka dan telus dalam memastikan kelemahan-kelemahan dalam perkhidmatan awam ditangani sebaik mungkin. Dalam hubungan ini, saya menganggap Pelancaran Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara atau Auditor General’s Dashboard ini merupakan satu lagi inisiatif ketelusan Kerajaan kepada rakyat yang ingin tahu tindakan yang sedang atau akan diambil oleh Ketua Jabatan dan agensi berkenaan terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun.

11.    Isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara adalah isu-isu integriti dalam perkhidmatan awam. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, beberapa teguran mengenai kelemahan dalam pengurusan kewangan, pengurusan hasil, perancangan dan pemantauan, serta kawalan perbelanjaan perlu diberi penjelasan dan maklum balas yang sewajarnya. Dalam hubungan ini, saya berharap semua agensi Kerajaan yang berkenaan mengambil tindakan yang segera dan memberi maklum balas yang lengkap, tepat dan telus terhadap teguran Laporan Ketua Audit Negara, bagi membuktikan mereka benar-benar serius di dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan di dalam laporan tersebut, bagi memelihara dan memupuk imej baik perkhidmatan awam kita.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

12.    Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Audit Negara di atas tindakan pantas membangunkan Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara atau Auditor General’s Dashboard yang merupakan antara inisiatif GTP 2.0 yang paling awal dijayakan. Saya juga mengucapkan setinggi syabas dan tahniah kepada semua pegawai yang terpilih sebagai penerima APC Tahun 2012, Anugerah 25 Tahun Perkhidmatan serta Sijil ‘Certified Audit Instructor’.

13.    Adalah menjadi harapan saya agar tuan-tuan dan puan-puan dapat terus bekerja keras untuk mengekalkan kecemerlangan dan mengelakkan sebarang unsur negatif dan tidak berintegriti dalam perkhidmatan awam. Bagi pihak Kerajaan, sukacita saya tegaskan bahawa semua jabatan dan agensi Kerajaan perlu menyahut  baik dan bekerjasama dengan Jabatan Audit Negara dalam memastikan maklumbalas kepada Laporan Ketua Audit Negara dikemukakan dengan lengkap, cepat, tepat dan telus. InsyaAllah, melalui kerjasama dan tindakan proaktif daripada semua jabatan dan agensi Kerajaan, gejala rasuah, salah guna kuasa,  penyelewengan dan salah laku dapat dihapuskan daripada perkhidmatan awam, seterusnya meningkatkan kepercayaan rakyat kepada perkhidmatan awam dan negara.

14.    Dengan lafaz Bismillahir rahmanir Rahim... saya dengan ini merasmikan Pelancaran Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara atau Auditor General’s Dasboard.

 

Sekian,

Wabillahitaufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.





Majlis_Pelancaran_Paparan_Susulan_Ketua_Audit_Negara___30_MEI_2013.pdf