Speeches


17/10/2012 - Majlis Perjumpaan Ketua Setiausaha Negara Dengan Kepimpinan CUEPACS

 

 

 

TEKS UCAPAN YBHG. DATO’ SRI DR. ALI BIN HAMSA KETUA SETIAUSAHA NEGARA

MAJLIS PERJUMPAAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA DENGAN KEPIMPINAN CUEPACS

17 Oktober 2012 (Rabu), 2.30 Petang

Dewan Auditorium,

Bangunan Perbadanan Putrajaya

Bismillahir rahmanir rahim

Assalaamualaikum warahmatullahi

Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

YBhg Dato’ Hj Omar Hj Osman

Presiden CUEPACS,

Yang Berusaha Saudara Azih Muda

Timbalan Presiden I,

Yang Berusaha Saudara Zainal Ismail

Timbalan Presiden II,

Yang Berusaha Puan Lok Yim Pheng

Setiausaha Agung CUEPACS

Yang Berusaha Saudara Jaapar Mansor

Setiausaha Kewangan CUEPACS,

Yang Berusaha Saudara Adenan Mat,

Saudara Mohd Baharom,

Saudara Abd Rahman Hj Mohd. Nordin

Timbalan-timbalan Setiausaha Agung CUEPACS

Yang Berusaha Saudara Mohd. Razali Singah

Timbalan Setiausaha Kewangan CUEPACS

Naib Presiden CUEPACS, Presiden-Presiden Kesatuan Gabungan CUEPACS

Ahli-ahli Majlis Kongres CUEPACS termasuk daripada Sabah dan Sarawak,

YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

 

  1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan Nya jua, kita dapat mengadakan perjumpaan yang amat bermakna pada petang ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada CUEPACS kerana sudi menjemput saya ke majlis perjumpaan petang ini dengan barisan kepimpinan CUEPACS daripada seluruh negara.
  2. Majlis perjumpaan seumpama ini sememangnya dialu-alukan kerana ia merupakan satu platform yang baik untuk bertukar-tukar pandangan, fikiran dan penyataan hasrat di antara pihak pengurusan dan kumpulan pelaksana dalam sektor awam. Ia merupakan salah satu pendekatan ‘turun padang’ yang saya amat galakkan kepada ketua-ketua jabatan untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.

 

Peranan CUEPACS Bagi Menyampaikan Hasrat Penjawat Awam Kepada Kerajaan Dihargai

 

  1. Sememangnya CUEPACS memainkan peranan penting dalam menyelami hasrat serta mendapatkan maklum balas penjawat awam untuk disampaikan kepada pihak Kerajaan. Pihak Kerajaan sememangnya mengalu-alukan sebarang maklum balas dan cadangan yang membina bagi  tujuan penambahbaikan sektor awam di mana rakyat secara umum juga akan mendapat faedah hasil daripada sistem penyampaian perkhidmatan yang baik. Ini adalah selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri melalui Gagasan 1Malaysia supaya ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. Saya juga menggesa ahli-ahli dan kepimpinan CUEPACS untuk turut menyalurkan cadangan-cadangan yang bernas kepada Kerajaan bagi kebaikan sektor perkhidmatan awam.

Musyawarah Bagi Mewujudkan Semangat Kekitaan

4.Sebagai penjawat awam, samada kita tergolong sebagai pihak pengurusan mahupun kumpulan pelaksana, kita adalah bersama-sama mengemudi bahtera yang melayari arus penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. Oleh yang demikian, sekiranya terdapat kepincangan dalam rantaian hubungan di antara kedua-dua pihak, sudah pastinya sistem penyampaian perkhidmatan awam tidak mampu memberikan manfaat kepada rakyat seperti yang dihasratkan oleh barisan kepimpinan negara. Amalan musyawarah, yakni perbincangan di antara pelbagai pihak bertujuan mendapatkan persetujuan bersama sebelum sesuatu keputusan diambil, seharusnya menjadi amalan berterusan.  

 

  1. Dalam hubungan ini, musyawarah di antara kumpulan pengurusan dan pekerja dapat dizahirkan menerusi Majlis Bersama Jabatan (MBJ). Ketua-ketua jabatan seharusnya mengambil kesempatan di dalam MBJ untuk mendekati kumpulan pekerja yang merupakan kumpulan pelaksana penting dalam memastikan dasar-dasar Kerajaan disampaikan atau dilaksanakan dengan baik kepada kumpulan sasaran. Ini juga merupakan peluang bagi pihak pekerja menyuarakan pandangan atau pun memaklumkan kepada pihak pengurusan mengenai cabaran serta kekangan yang dihadapi terutamanya yang melibatkan kebajikan pekerja.


Amalan ‘Turun Padang’

 

  1. Sepertimana MBJ, amalan ‘turun padang’ perlu diamalkan daripada semasa ke semasa dalam memahami secara langsung akan keadaan persekitaran kerja penjawat awam dan tanggapan rakyat yang menggunakan perkhidmatan di jabatan-jabatan ini. Ini adalah selaras dengan pendekatan ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’. Konsep ini memerlukan kita sebagai penjawat awam untuk meletakkan diri kita dalam kedudukan mereka yang menerima atau menggunakan perkhidmatan kita. Dalam erti kata lain, kita sebagai penjawat awam juga merupakan rakyat. Jumlah penjawat awam adalah lebih kurang 1.4 juta orang. Jika kita mengambil kira suami, isteri dan anak-anak serta saudara terdekat, ia boleh mencecah 9 juta orang  atau lebih kurang 30 peratus rakyat negara ini.

 

  1. Konsep ‘merakyatkan perkhidmatan awam’ ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada penjawat awam untuk terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat kerana akhirnya, kita penjawat awam yang juga rakyat akan mendapat faedahnya.

 

PCI dan CTI

 

  1. YAB Perdana Menteri telah menggariskan 6 prinsip untuk diamalkan penjawat awam iaitu Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) serta Produktif, Inovatif dan Kreatif (PCI). Perkhidmatan awam yang dapat memenuhi kehendak semasa rakyat menuntut supaya setiap keputusan dasar yang telah diputuskan Kerajaan akan dapat dilaksanakan dengan cepat dan tepat. Ini memerlukan penjawat awam yang berintegriti dengan tidak membiarkan penyelewengan sumber dan masa yang boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam. Sebagai penjawat awam, kita perlu mempermudahkan urusan rakyat. Dalam konteks penyampaian perkhidmatan di kaunter, ini dapat diterjemahkan daripada segi ketepatan memberikan maklumat kepada orang awam yang memerlukan, memastikan orang awam tidak dibebankan dengan pengisian borang dan sebagainya. Kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam merupakan satu aspek penting dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi seterusnya mempertingkatkan kedudukan daya saing negara.

 

  1. Kini, negara kita, sepertimana negara-negara lain dunia, turut berhadapan dengan sumber yang terhad samada daripada segi kewangan, modal insan atau keperluan modal lain. Justeru itu, pendekatan yang inovatif hasil terjemahan pemikiran yang kreatif perlu diadakan dalam penyampaian perkhidmatan awam atau perancangan program-program pembangunan Kerajaan.

 

Bebas Daripada Mentaliti ‘Silo’

 

  1. Dalam hubungan ini, penjawat awam perlu membebaskan minda daripada kongkongan mentaliti ‘silo’ yang seringkali mencorakkan cara kita bekerja dan menangani sesuatu isu. Hanya dengan demikian, kita akan berupaya meningkatkan produktiviti bagi merealisasikan agenda transformasi yang digagaskan oleh Kerajaan.

 

  1. Pendekatan secara inovatif dalam penyampaian perkhidmatan awam dapat dilihat menerusi Strategi Lautan Biru yang menyaksikan pelaksanaan beberapa inisiatif seperti Rural Transformation Centre (RTC) dan Urban Transformation Centre (UTC), 1Malaysia Privilege Card dan sebagainya. Ia ditunjangi oleh prinsip-prinsip berkos rendah, berimpak tinggi dan pantas dalam pelaksanaan.

 

  1. Sebagai contoh, RTC Perak yang sebelum ini dinamakan RTC Gopeng merupakan satu pendekatan untuk meningkatkan kepenggunaan fasiliti Kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Terminal Makanan Bersepadu (TEMAN). Konsep RTC yang menempatkan pelbagai agensi Kerajaan serta swasta untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat serta menawarkan peluang-peluang perniagaan kepada usahawan merupakan contoh di mana kreativiti yang digabungkan dengan kesediaan untuk bekerjasama di antara pelbagai agensi dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Dalam konteks yang sama, UTC juga  bertindak sebagai sebuah pusat sehenti yang menempatkan pelbagai agensi awam dan swasta dalam bangunan sedia yang diubahsuai.

 

Kebajikan Penjawat Awam dan Bajet 2013

 

Hadirin-hadirat sekalian,

 

  1. Suasana mesra di antara Kerajaan dengan rakyat perlu diwujudkan supaya mereka berasa selesa ketika berurusan dengan agensi-agensi Kerajaan. Dalam pada itu, saya menyedari bahawa penyampaian perkhidmatan awam yang baik adalah memerlukan kebajikan penjawat awam terjaga. Ini juga adalah konsep “Merakyatkan Perkhidmatan Awam” di mana jika kepentingan rakyat perlu didahulukan dalam penerimaan perkhidmatan awam, maka kebajikan penjawat awam pula yang bertanggungjawab ke atas penyampaian perkhidmatan awam perlu diutamakan.

 

  1. Bajet 2013 yang merupakan bajet mesra-rakyat, telah mencerminkan penghargaan Kerajaan ke atas penjawat awam, di mana beberapa insentif dan dasar diperkenalkan khusus untuk kemudahan penjawat awam dan penambahbaikan perkhidmatan awam seperti:

 

  • bayaran bonus sebanyak satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat dan bayaran RM500 secara one-off kepada pesara Kerajaan;
  • skim perlindungan insurans berkelompok kepada anggota tentera dan polis dengan had perlindungan maksimum RM15,000. Ini dijangka akan memanfaatkan hampir 242,000 orang;
  • wang proses permohonan pinjaman perumahan Kerajaan dikurangkan daripada RM1 setiap RM1,000 pinjaman kepada RM100 kadar rata (flat rate)
  • kenaikan kadar elaun pra-perkhidmatan yang dijangka melibatkan 13 skim dengan hampir 31,135 pelatih;
  • penyelarasan pencen minimum bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun daripada RM720 kepada RM820. Seramai 50,731 pesara termasuk penerima pencen terbitan akan mendapat manfaat;
  • bantuan tunai secara one-off RM1,000 bagi pesara tentera tidak berpencen yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun dimana ia akan melibatkan 224,000 bekas tentera;
  • penambahan jawatan baru PDRM; dan
  • penambahan perjawatan SPRM.

 

  1. Berhubung dengan cadangan CUEPACS untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas bonus, tindakan sedemikian perlu diihat daripada segi hasil pendapatan kepada negara. Jika ia dilaksanakan, maka pekerja sektor swasta juga berhak ke atas pengecualian tersebut. Pengecualian cukai pendapatan juga tidak memberikan manfaat kepada penjawat awam yang berpendapatan kurang daripada RM2,700 yang sememangnya tidak membayar cukai.

 

  1. Dasar-dasar serta insentif-insentif yang diperkenalkan oleh Kerajaan dalam Bajet 2013 kepada penjawat awam merupakan touch-points penjawat awam hasil daripada keprihatinan Kerajaan ke atas usaha-usaha secara berterusan penjawat awam untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

 

Permintaan 6 Perkara Daripada CUEPACS

 

  1. Pihak CUEPACS ada mencadangkan 6 perkara untuk diteliti pihak Kerajaan bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan awam. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk memberikan maklum balas terhadap perkara-perkara tersebut.

 

  1. Penggantian Skim Baru Perkhidmatan Awam

Berikutan pembatalan SBPA, Kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam dimana CUEPACS turut menjadi ahli, adalah bertujuan mendapatkan cadangan serta maklumbalas untuk tujuan penambahbaikan aspek perkhidmatan awam. 4 aspek yang dilihat ialah rasionalisasi perkhidmatan awam untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, transformasi kepimpinan perkhidmatan awam, memperkasakan modal insan perkhidmatan awam serta mengutamakan kebajikan penjawat awam. Dalam hubungan ini, hasil laporan Suruhanjaya tersebut yang dijangka dibentangkan ke Kabinet pada akhir tahun ini akan berupaya  memenuhi permintaan rakyat ke arah menghasilkan sektor perkhidmatan yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan kebajikan penjawat awam terjamin.

 

  1. Isu Pegawai Kontrak
  • Terdapat dua (2) kategori pelantikan kontrak yang dibuat iaitu pelantikan kontrak tanpa mengisi jawatan tetap dan pelantikan kontrak mengisi jawatan tetap.  Pelantikan kontrak yang dibuat tanpa mengisi jawatan tetap adalah bagi tujuan melaksanakan projek-projek tertentu yang bersifat sementara, ad-hoc dan bermusim atau atas keperluan tertentu.
  • Bagi pegawai kontrak yang mengisi jawatan tetap di gred lantikan, Kerajaan akan menimbang pelantikan tetap pegawai kontrak berkenaan tertakluk pegawai memenuhi syarat skim perkhidmatan yang berkenaan, mempunyai prestasi yang baik dan diperakui Ketua Jabatan
  • Penyerapan pegawai-pegawai dan anggota kontrak dalam perkhidmatan awam perlu dilakukan secara beransur-ansur.

 

  1. Pertukaran Pegawai
  • Penempatan pegawai dilaksanakan berdasarkan keperluan perkhidmatan dan fungsi tugas suatu jawatan berkenaan.  Keutamaan diberikan terhadap kebajikan pegawai dengan mengambil kira penempatan pasangan termasuklah masalah kesihatan pasangan dan ibu bapa pegawai/ pasangan.  Pada masa ini, bagi perkhidmatan Gunasama sahaja terdapat 891 pegawai yang memohon pertukaran ke negeri/ daerah kerana mengikut pasangan yang masih tidak dapat dilaksanakan kerana tiada kekosongan jawatan dan pegawai sedia ada di kawasan tersebut tidak memberi kerjasama.
  • Aspek pertukaran pegawai dan anggota sektor awam juga merupakan amalan biasa yang diamalkan dalam sektor awam untuk membolehkan penilaian dilakukan  ke atas seseorang penjawat awam bagi tujuan kenaikan pangkat.
  • Pendedahan yang berbeza akan dapat mempertingkatkan kecekapan dan membentuk kepimpinan penjawat awam untuk memenuhi tuntutan rakyat yang semakin berpengetahuan serta mempunyai ekspektasi tinggi ke atas penyampaian perkhidmatan awam.

 

  1. Majlis Bersama Jabatan
  • MBJ akan kekal sebagai platform penting untuk kedua-dua pihak majikan dan pekerja menyelesaikan sebarang isu menerusi pendekatan musyawarah dan bijaksana.
  • Mungkin terdapat salah faham dalam pelaksanaan mekanisma MBJ di beberapa jabatan, tapi ini hanya bersifat sementera dan mampu diselesaikan.

 

  1. Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan
  • Dalam Bajet 2013, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Bahagian Pinjaman Perumahan akan disusun semula di mana pinjaman perumahan kerajaan akan dikendalikan oleh bank-bank komersial. 

 

  • Usaha Kerajaan ini tidak akan menjejaskan manfaat pinjaman perumahan yang diterima oleh kakitangan awam di mana kriteria-kriteria sedia ada akan dikekalkan malah akan ditambah baik.

 

  • Sebagai contoh pengekalan kriteria sedia ada adalah seperti bayaran faedah pinjaman 4% dikekalkan, manakala contoh penambahbaikan adalah pengurangan wang proses permohonan pinjaman.

 

  • Pihak Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan dengan pihak CUEPACS dengan lebih mendalam lagi sebelum memuktamadkan pelaksanaan langkah ini.

 

  1. Semakan Semula Pekeliling
  • Dalam mesyuarat KSN dengan KSU dan Ketua-Ketua Perkhidmatan, saya menyarankan agar semakan semula dasar/pekeliling/peraturan yang sudah lama atau tidak sesuai dengan peredaran masa dijadikan agenda tetap dalam mesyuarat pengurusan jabatan masing-masing.
  • Jawatankuasa Induk Kajian Semakan Pekeliling Perkhidmatan dan Surat Pekeliling Perkhidmatan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam juga ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan semakan semula pekeliling-pekeliling.
  • Semakan semula dasar/pekeliling/peraturan yang melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan, caj kepada orang awam, melibatkan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi serta kebajikan dan kepentingan perkhidmatan awam hendaklah diberi keutamaan.
  • Sebagai contoh, kelulusan ke luar negara atas urusan persendirian memerlukan perisytiharan sumber kewangan bagi mengelakkan unsur-unsur rasuah.

Cadangan-Cadangan Penambahbaikan Yang Lain

 

  1. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan awam,  terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang telah dikemukakan untuk kemungkinan pelaksanaan. Salah satu aspek yang dikaji adalah kemungkinan untuk menghapuskan tangga gaji maksima dimana seseorang penjawat awam mampu menikmati kenaikan gaji tahunan tanpa sekatan ‘dinding tangga gaji’. Ini berupaya memberikan motivasi kepada penjawat awam yang berprestasi baik tetapi tidak berpeluang untuk naik pangkat kerana tiada kekosongan jawatan kenaikan pangkat.

 

  1. Satu aspek lagi adalah kemungkinan memastikan penjawat awam dapat bersara pada gred tertentu tertakluk kepada penilaian prestasi. Ini dapat membolehkan penjawat awam turut menikmati taraf hidup yang tinggi selaras dengan pencapaian taraf negara maju pada tahun 2020.


Penjawat Awam Perlu Memahami Aspirasi Kerajaan

 

  1. Dalam pada itu juga, CUEPACS perlu memainkan peranan dengan berkesan di mana sekiranya terdapat masalah yang timbul berhubung dengan kebajikan penjawat awam, ia seharusnya dibawa untuk perbincangan dan diselesaikan dengan kebijaksanaan bukan dengan kata-kata atau tindakan yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak atau memberikan tanggapan yang salah kepada rakyat umpama pepatah “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak”. Ingatlah, setiap tindakan kita itu mencerminkan imej Kerajaan. Sebagai penjawat awam, kita juga seharusnya memahami akan aspirasi Kerajaan di mana sesetengah perkara tidak dapat dilaksanakan disebabkan cabaran tertentu atau keutamaan kepada perkara lain. Walaupun demikian, kita tidak seharusnya berputus asa malah bertekad untuk sama-sama berusaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara di mana penjawat awam juga akan mendapat manfaatnya.

 

  1. Dalam hubungan ini, YAB Perdana Menteri sememangnya prihatin terhadap kebajikan perkhidmatan awam. Bajet 2013 dan lain-lain dasar atau program dan projek telah digubal dengan penuh tanggung jawab oleh Kerajaan kita. Apa yang diberikan atau dijanjikan oleh Kerajaan adalah mengikut kemampuan Negara. Kita tidak mahu Negara dan rakyat termasuk penjawat awam merana dengan menjanjikan imbuhan-imbuhan yang tidak tidak realistik. Kementerian Kewangan dan semua jentera Kerajaan telah meneliti bajet ini untuk kesejahteraan rakyat tanpa kompromi masa depan negara.

 

Penyampaian Perkhidmatan Awam Yang Baik Secara Berterusan

 

  1. Kerajaan menghargai akan sumbangan penjawat awam, sama ada yang sedang berkhidmat atau telah bersara. Justeru itu, saya menyeru supaya para penjawat awam untuk melipatgandakan usaha kita ke arah menjadikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih cemerlang.
    Penjawat awam tidak boleh berada di takuk lama tetapi sebaliknya bersedia untuk merubah daripada segi mentaliti dan cara kita bekerja seperti memahirkan diri dengan penggunaan sistem teknologi terkini sebagai ‘enabler’ serta merangka tatacara pengurusan yang efisien dan efektif.

 

  1. Keazaman untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik malah bertekad untuk melangkau lebih jauh daripada itu, perlu ada dalam jiwa setiap penjawat awam bagi memastikan kita tidak terus dibuai dalam kelekaan dan berada dalam zon selesa.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

 





Teks_Ucapan_KSN_Perjumpaan_CUEPACS_17_Oktober_2012.pdf