Media Statements


11/03/2013 - Kenyataan Akhbar KSN Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13

 

KENYATAAN AKHBAR

YBHG.  DATO’ SRI DR. ALI BIN HAMSA

KETUA SETIAUSAHA NEGARA

MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM TAHUN 2013

PADA 11 MAC 2013

 

 

KESETARAAN PANGKAT PERKHIDMATAN ATM, PDRM DENGAN GRED PERKHIDMATAN AWAM AM

 

1.      Kerajaan akan terus merencana program-program bagi meningkat produktiviti Perkhidmatan Awam serta motivasi kerja penjawat awam. Sebagai sebuah  kerajaan yang cakna, ia komited kepada keperluan semasa dalam memberi nilai tambah kepada skim-skim perkhidmatan seiring arus perdana. Maka, mengambil kira bahawa Perkhidmatan Awam Am telah ditambah baik di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan lapisan-lapisan gred jawatan/ gred gaji, Kerajaan bersetuju supaya pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan/ gred gaji Perkhidmatan Awam Am serta perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat dan kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013. Bilangan anggota dan pegawai yang terlibat bagi ATM ialah seramai 123,983 dan bagi PDRM ialah seramai 109,209.

2.      Kesetaraan ini bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan.

KELAYAKAN MASUK MINIMUM KE PERKHIDMATAN AWAM DITAMBAH BAIK DAN GRED 1-10 DINAIK TARAF

 

3.      Institusi Perkhidmatan Awam yang utuh dan padu seharusnya mempunyai modal insan yang kompeten seiring dengan peta panduan yang diatur dalam merealisasikan wawasan negara. Seiring zaman, landskap Perkhidmatan Awam bakal berubah di mana Kerajaan bersetuju secara prinsipnya supaya kelayakan masuk minimum ke Perkhidmatan Awam ditambah baik dan ditetapkan pada kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Saya dimaklumkan bahawa JPA telah mula mengadakan engagement dengan Ketua Perkhidmatan/ Ketua Jabatan yang terlibat bagi penambahbaikan 22 skim perkhidmatan yang berkaitan dari segi perluasan skop fungsi tugas yang sewajarnya. Contoh skim perkhidmatan yang terlibat antaranya adalah Pembantu Am Pejabat, Pemandu Kenderaan dan Tukang K3. Proses engagement dalam memuktamadkan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan tersebut dijangka akan selesai sebelum akhir tahun ini. Dengan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan berkenaan maka dari segi jangka panjang seramai 166,541 penyandang akan menerima manfaat dari segi laluan kerjaya yang lebih baik dan sewajarnya peningkatan dalam gred gaji.

SKIM-SKIM PERKHIDMATAN DITAMBAHBAIK

4.      Dalam usaha berterusan bagi menyediakan kerangka kukuh yang relevan dan menyeluruh, serta seiring dengan Program Transformasi Perkhidmatan Awam, Kerajaan turut bersetuju untuk mengkaji semula skim-skim perkhidmatan dalam sektor awam. Sebagai permulaan,
81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirundingi semula dengan Ketua Perkhidmatan/ Ketua Jabatan yang terlibat. JPA telahpun mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan/ Ketua Jabatan yang melibatkan antaranya skim perkhidmatan Bakat, skim perkhidmatan Juruteknik, skim perkhidmatan Pegawai/ Penolong Pegawai dan Pembantu Galian, serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

KENAIKAN PANGKAT TIME-BASED KUMPULAN PELAKSANA

5.      Kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat time-based daripada 15 tahun kepada 13 tahun. Pelaksanaan penambahbaikan ini adalah berasaskan kecemerlangan pegawai yang akan memberi manfaat kepada lebih 17,000 pegawai yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan pegawai yang menjadi asas untuk pertimbangan kenaikan pangkat time-based ini akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan.

PERLUASAN KAEDAH KENAIKAN PANGKAT

6.      Di samping itu, Kerajaan juga secara prinsip bersetuju bagi meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu, Kenaikan Pangkat Laluan Pantas (Fast Track), Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang (Subject Matter Expert) dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi (High Skills) dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka panjang. Kaedah pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperinci sebelum dilaksanakan.

STRUKTUR GAJI MAKSIMUM DITAMBAH BAIK

7.      Dengan mengambil kira terdapat seramai 182,434 penjawat awam yang berada di gaji maksimum pada tahun 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan, maka Kerajaan bersetuju berkuat kuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum - Maksimum (JGMM) ditambah baik dengan 3 Kenaikan Gaji Tahunan (KGT). Ini bagi membolehkan semua pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah Pergerakan Gaji Tahunan mulai tahun 2013, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa. Pendekatan Kerajaan ini  adalah sebagai menghargai penjawat awam yang masih produktif dan berprestasi. Semoga inisiatif ini dimanfaatkan oleh penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara. 'Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) yang akan diperolehi oleh penjawat awam adalah pada kadar mengikut gred jawatan/ gred gaji masing-masing seperti contoh, untuk Perkhidmatan Awam Am seperti berikut:Gred 1 sebanyak RM80.00, Gred 17 sebanyak RM95.00, Gred 41 sebanyak RM225.00 dan Gred 54 sebanyak RM320.'

8.      Bagi penjawat awam yang belum mencapai gaji maksimum, mereka akan menikmati Pergerakan Gaji Tahunan sebagaimana biasa.

PEMBETULAN STRUKTUR GAJI

9.       Memahami permasalahan struktur dan anomali gaji yang dihadapi dalam SSM, antaranya kadar KGT Gred 1 hingga Gred 11 yang sama, dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, secara prinsipnya Kerajaan bersetuju penambahbaikan dilaksanakan sebelum akhir tahun 2013 berpandukan kepada prinsip-prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja, relativiti dan pariti perkhidmatan serta pay for performance.

FAEDAH BERIKUTAN PEMBETULAN STRUKTUR GAJI

10.    Mengambil kira usaha-usaha penambahbaikan tersebut hanya akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini, maka Kerajaan bersetuju untuk memberi kepada semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak 1 KGT yang diawalkan pada 1 Julai 2013. Ini sejajar dengan falsafah yang dipegang oleh Kerajaan yang senantiasa menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada negara.

11.    KGT yang akan diperolehi adalah pada kadar mengikut gred jawatan/ gred gaji masing-masing seperti contoh untuk Perkhidmatan Awam Am seperti berikut:

Gred 1

=

RM80.00

Gred 17

=

RM95.00

Gred 41

=

RM225.00

Gred 54

=

RM320.00

 

PERGERAKAN GAJI KHAS

12.   Sebagai satu dasar, sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan gaji dibuat, Kerajaan dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3% diberi kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum, tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

PENYAMBUNGAN TEMPOH PEGAWAI KONTRAK

13.    Akhirnya, Kerajaan bersetuju bagi pegawai yang tamat kontraknya pada 31 Disember 2013, kontrak mereka akan disambung selama setahun lagi sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.

11 MAC 2013