Prime Minister's Office of Malaysia.

The latest information about the Prime Minister of Malaysia.

Current Speeches

MAJLIS PERSIDANGAN PERWAKILAN KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PAKAIAN SERAGAM POS MALAYSIA BERHAD (UPUS) SEMENANJUNG MALAYSIA KALI KE 21

By  :  YAB. TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
Venue  :  HOTEL GRAND BLUEWAVE, SHAH ALAM, SELANGOR
Date  :  05/12/2018

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ucap terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya ke Persidangan Perwakilan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad (UPUS) Semenanjung Malaysia pada hari ini.

1. Kita sedia maklum di Malaysia ada lebih kurang 240 kesatuan yang ditubuhkan demi menjaga kepentingan pekerja di tempat kerja masing-masing. Peranan yang dimainkan oleh setiap satu daripada kesatuan ini amat penting dalam menjaga dan melindungi pekerja supaya tidak ditindas dan dieksploitasi oleh majikan.

2. Penglibatan pekerja dalam Kesatuan Sekerja bergantung kepada pekerja itu sendiri dalam memenuhi kehendak dan keperluannya dalam pekerjaan. Penglibatan pekerja dalam jumlah yang ramai akan menambahkan lagi kekuatan Kesatuan Sekerja dalam menuntut hak dan keperluan serta menjaga kepentingan mereka dalam pekerjaan. Pelbagai faktor yang mendorong kepada keterlibatan pekerja dalam kesatuan sekerja di Malaysia kini.

3. Penyertaan pekerja dalam kesatuan-kesatuan ini sering didorong oleh tiga faktor utama iaitu ekonomi, perlindungan hak dan sosial dan mereka meletakkan harapan kepada kesatuan mereka untuk memastikan kepentingan mereka tidak diabaikan.

4. Tetapi di dalam konteks masa kini, pastinya peranan kesatuan melangkaui peranan tradisi. Ini kerana perubahan teknologi, automasi, robotik dan sebagainya yang begitu cepat jika tidak ditangani akan mengakibatkan pekerja-pekerja ketinggalan dan menjadi tidak relevan.

5. Kesatuan sekerja harus berkeupayaan untuk memahami perubahan yang berlaku dan memainkan peranan untuk memastikan pekerja-pekerja tidak tertinggal apabila teknologi dan perubahan mendadak yang berlaku.

6. Di Pos Malaysia ini, saya difahamkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad (UPUS) Semenanjung Malaysia telah ditubuhkan sejak tahun 1959 menjadikan ia sebagai sebuah kesatuan tertua di Malaysia dengan keahlian hampir 7,000 orang. Tentunya ia sebuah kesatuan yang dominan serta memainkan peranan mencorak keharmonian dalam perhubungan dengan syarikat.

7. Peranan posmen telah berterusan sejak sebelum kita merdeka tetapi apa yang mereka lakukan hari ini sudah berkembang dari semata-mata penghantar surat dan telegram, posmen kini menjadi semakin penting dalam penghantaran parcel kiriman pelanggan dan juga menjadi sumber maklumat kepada masyarakat. Antara lain, posmen hari ini menjadi conduit atau penghubung yang penting di antara peniaga online dengan pelanggan mereka.

8. Kewujudan UPUS ini tentunya menjadi payung yang melindungi dan memimpin ahlinya untuk sentiasa bersatu dan mendapatkan yang terbaik untuk mereka. Tetapi hari ini, Kesatuan sudah tidak boleh cuma menjadi juara pekerja seperti masa lalu, menjadi pengatur piket dan lain-lain demonstrasi desakan kepada majikan. Peranan mereka hari ini lebih menjurus sebagai penghubung di antara pekerja dan majikan kerana keperluan pekerja serta “expectation” atau keperluan majikan terhadap pekerja juga turut berubah dan lebih kompleks.

9. Kerana itu pendekatan yang dilaksanakan oleh kesatuan seperti UPUS di dalam perhubungan dengan majikan pastinya bersandar kepada kesederhanaan, toleransi dan kerjasama.

10. Sebagai perantara antara pekerja dengan syarikat, Kesatuan Sekerja yang dinamik amat penting. Saya percaya kewujudan UPUS sebegitu lama adalah bukti kepada keberkesanan peranannya mewakili pekerja dan mendapat sokogan dari majikan juga.

11. Cabaran masa kini memerlukan kepada kepelbagaian sektor perkhidmatan dan perniagaan dan Pos Malaysia saya percaya akan terus berinovasi untuk terus kekal relevan. Perkara ini juga menuntut barisan kepimpinan dan pekerja berubah demi untuk kepentingan semua apatah lagi Pos Malaysia turut memainkan peranan dalam bersama-sama membina kemajuan Negara.

12. Pos Malaysia telah melalui pelbagai cabaran dan perubahan sehingga berjaya menjadi peneraju e-commerce di Malaysia. Sudah pasti perjalanan ini penuh dengan cabaran untuk pekerja dan majikan. Ia juga pasti memberi bermacam pengalaman yang jika dikongsi akan dapat membantu pekerja dan majikan dari syarikat lain di dalam menangani perubahan dan cabaran sekarang dan akan datang.

13. Kita perlu sentiasa seiring dengan perubahan semasa dan perkembangan teknologi agar tidak ketinggalan. Sebagai pekerja yang komited, kita perlu mempunyai semangat dan kemahuan untuk berubah ke arah kebaikan kerana semangat ini akan membuatkan kita sentiasa bersedia menghadapi apa bentuk cabaran sekalipun. Perubahan semangat dan etika kerja yang baik ini adalah harapan masa depan kita.

14. Dalam Persidangan Perwakilan kali ke-21 yang dihadiri oleh 147 perwakilan dari 15 cawangan di Semenanjung Malaysia ini, adalah diharapkan isu berkaitan industri pos terutama cabaran yang mendatang dapat diperhalusi dan dibincangkan dengan lebih mendalam serta idea-idea yang bernas dan praktikal dapat dilahirkan.

15. Saya juga berharap pemilihan pemimpin yang baik adalah amat penting dalam sesebuah kesatuan. Pemimpin yang dipilih perlulah amanah, berpengalaman dan mempunyai pengetahuan luas bukan sahaja berkaitan dengan syarikat malah mengenai perubahan semasa ekonomi dan perdagangan dunia yang secara langsung ataupun tidak langsung berkaitan dengan industri pos. Yang paling penting ialah pemimpin itu tidak berusaha menjadi pemimpin untuk kepentingan dirinya melebihi kepentingan ahli-ahlinya.

16. Tidak dilupakan, produktiviti dan kualiti syarikat dan pekerja perlulah sentiasa ditingkatkan. Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia telah mencadangkan supaya amalan Sistem Upah yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS) dilaksanakan. Penggunaan pengukuran produktiviti atau prestasi yang dihasilkan pekerja dalam pemberian upah dapat menggalakkan pekerja menjadi lebih produktif dan cemerlang.

17. Namun begitu, dalam pelaksanaan PLWS ini, diharap pihak syarikat dapat berbincang dengan pihak Kesatuan supaya pelaksanaannya dapat berjalan dan diterima baik oleh pekerja. Pekerja juga haruslah diberi pengetahuan dan ilmu yang mencukupi mengenai tujuan perubahan dibuat serta sokongan yang diperlukan dalam mencapai perubahan tersebut.

18. Maka itu, para pemimpin yang dipilih dalam pemilihan kepimpinan UPUS bagi tempoh 2018 -2021 mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi terhadap warga kerja yang diwakili.

19. Di pihak Kerajaan hari ini, kami akan sentiasa memberikan perhatian berkenaan masalah yang dihadapi oleh pekerja pekerja dan syarikat Pos Malaysia demi memastikan nasib pekerja terbela dan sekaligus dapat berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat.

20. Sebagai penutup, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kerana menjemput saya untuk merasmikan persidangan UPUS kali yang ke 21 ini. Selamat bersidang. Semoga ianya membuahkan hasil yang baik dan berguna.

Sekian. Terima kasih.

Speech_UPUS_5_Disember_2018.pdf


Last Update on 06/12/2018 
This Current Speeches has been read 72 times
QR Code for PMO Mobile
[© 2018 SMPKE, PMO]
Prime Minister's Office, Main Block, Perdana Putra Building, Federal Government Administrative Centre, 62502 Putrajaya, MALAYSIA.
Tel : 603-8888 8000 | Fax : 603-8888 3444 | E-Mail : Send E-Mail to Us! | Portal's Feedback

Visitors # Current : 25 | Today : 1,976 | This Month : 49,732 | This Year : 249,882 | Total : 9,742,356
Best view with 1024 x 768 pixel screen resolution and Google Chrome & Mozilla Firefox. Last Update : 19-12-2018