Prime Minister's Office of Malaysia.

The latest information about the Prime Minister of Malaysia.

Current Speeches

TRANSKRIP UCAPAN YAB PERDANA MENTERI BERSEMPENA PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JPM BAGI BULAN DISEMBER 2018

By  :  YAB. TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
Venue  :  Dataran Perdana Bangunan Perdana Putra Putrajaya
Date  :  03/12/2018

Bismillahirahmanirrahim.

Alhamdulillah, pada pagi ini sekali lagi dapat kita bertemu di sini untuk memperingatkan diri kita akan peranan dan tanggungjawab kita. Kita yang terdiri daripada Jabatan Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab yang lebih daripada pihak yang lain. Kita yang boleh menjadi contoh kepada negara kita. Contoh pentadbiran yang baik dalam negara kita. Untuk mentadbir, kita memerlukan kuasa. Tanpa kuasa, kita tidak dapat melaksanakan tugas-tugas kita. Kuasa itu diberi kepada kita supaya kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita. Tetapi kuasa itu juga boleh disalahgunakan. Jika disalahgunakan, hasilnya bukan sahaja pentadbiran yang tidak baik, tetapi kemerosotan segala-galanya dalam masyarakat kita.

Negara kita tidak mungkin maju jika kuasa disalahgunakan. Sebab  itu, kita perlu berhati-hati apabila kita melaksanakan sesuatu mengikut kuasa yang diberi kepada kita. Jika kita sedar atau berasa was-was bahawa kuasa itu mungkin akan menyebabkan sesuatu yang tidak baik bagi negara kita, adalah lebih baik kita tidak melaksanakan kuasa itu. Adalah lebih baik kita berunding dan mendapatkan nasihat tentang sejauh mana kuasa itu perlu dilaksanakan.

Negara kita ini sudah merdeka selama lebih daripada 60 tahun. Dalam masa yang panjang itu, kita telah melihat pelbagai perkara yang berlaku daripada sebuah negara yang dijajah oleh kuasa asing sehingga kita telah memperolehi kemerdekaan. Kemerdekaan bagi kita bukan sahaja untuk memuaskan hati kita sebagai sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan bermakna kita berkuasa untuk menentukan nasib negara kita. Untuk ini, kita perlu memahami tentang cara-cara kita mentadbir negara. Dalam mana-mana kumpulan pun, tentu ada individu tertentu diberi kuasa memimpin atau melaksanakan tugas. Dan apabila kuasa memimpin ini diberi, maka segala usaha untuk mengubah nasib negara kita akan menjadi mudah.

Alhamdulillah, sejak daripada tahun 1957, negara kita telah berjalan dengan baik. Pada mulanya, negara kita dapat ditadbir dengan cara yang tertib dan berjalan sebagai sebuah negara merdeka. Pembangunan pada mulanya tertumpu kepada memberi kebaikan dan kemudahan kepada rakyat khususnya rakyat di luar bandar. Sebabnya adalah di zaman British dahulu, rakyat di luar bandar tidak mendapat apa-apa bantuan atau manfaat. Tumpuan diberi hanya kepada bandar-bandar.

Apabila kita merdeka, kita memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar. Tetapi untuk memberi tumpuan kepada kuasa luar bandar, mereka perlu diberi kuasa untuk menarik perhatian kepada kedudukan mereka. Maka berlaku kepada susunan pentadbiran negara kita ini yang mana kawasan luar bandar diberi lebih ramai wakil rakyat kawasan pilihan raya daripada kawasan bandar. Kawasan bandar mampu untuk memperbaiki diri mereka. Kawasan luar bandar adalah lemah dan diduduki oleh orang yang kebanyakannya tidak berpelajaran dan tidak berpengalaman. Maka diberi kepada mereka lebih ramai wakil rakyat dan kawasan pilihan raya daripada dalam bandar. Dengan itu, suara mereka menjadi lebih lantang dalam dewan rakyat sepertimana yang kita tahu, suara ramai akan menguasai keputusan. Maka, dengan adanya suara ramai daripada kawasan luar bandar, maka dapatlah kawasan luar bandar itu diberi tumpuan oleh pihak pemerintah.

Sebenarnya setelah kita merdeka, banyak kemajuan yang boleh dicapai di kawasan luar bandar. Sebaliknya, kita dapati di bandar-bandar juga tidak ketinggalan kerana kawasan bandar lebih cekap pentadbiran daripada kawasan luar bandar. Hari ini, di kawasan bandar lebih maju dan membesar sehingga memasuki kawasan luar bandar. Penduduk Kuala Lumpur yang dahulu hanya 300 ribu, kini sudah meningkat kepada 2.7 juta. Bahkan, greater Kuala Lumpur yang meliputi kawasan bandar (Kuala Lumpur) sehingga ke Pelabuhan Klang telah mempunyai penduduk seramai 7 juta. Ini menunjukkan betapa membesarnya kawasan bandar sehingga dapat menembusi kawasan luar bandar.

Penduduk luar bandar perlu mempertahankan diri mereka tetapi mereka tidak mempunyai kecekapan dalam bidang-bidang perniagaan dan sebagainya. Sebab itu, mereka terus miskin sehingga terpaksa menjual tanah-tanah mereka. Dengan itu, kita lihat di negara kita ini, kawasan bandar telah menjadi begitu besar dan kaya tetapi kawasan luar bandar yang dahulunya mempunyai lebih ramai wakil rakyat, tetapi tidak maju seperti yang diharapkan.

Keadaan ini perlu diperbaiki dan diberi penambahbaikan yang datang dari pihak Kerajaan dan pihak pemerintah. Kita adalah sebahagian daripada pemerintah. Kita boleh menentukan jurang antara bandar dan luar bandar jika kita memberi tumpuan kepada dasar-dasar kerajaan yang ada sekarang ini. Kerajaan ini ingin melihat seluruh penduduk Malaysia ini mendapat nikmat daripada negara yang kaya. Nikmat daripada kemerdekaan negara kita sendiri. Nikmat daripada pemerintahan yang prihatin terhadap semua rakyat di Malaysia.

Bukan niat kita untuk menghalang perkembangan dan kekayaan di bandar-bandar. Tetapi jika jurang antara yang kaya dengan miskin telalu jauh, maka akan timbul perasaan iri hati dan benci dan akhirnya akan menyebabkan negara kita menghadapi permusuhan antara bandar dan luar bandar, antara miskin dan kaya bahkan antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ini perlu dielakkan dan tugas untuk menentukan perkara ini tidak akan terjadi dan tidak menjadi lebih buruk, maka ini adalah tangggungjawab kita.

Saya yakin semua warga di Jabatan Perdana Menteri ini faham bukan sahaja cara bekerja tetapi faham juga tentang keperluan negara. Negara kita perlu aman dan damai supaya kita dapat mengagihkan kekayaan kepada semua pihak termasuk juga pegawai-pegawai Kerajaan dan ini hanya boleh dicapai dalam negara kita jika ditadbir dengan baik tanpa rasuah dan sesuatu yang boleh mencetuskan huru-hara serta permusuhan antara kaum.

Oleh itu, apabila kita menghadapi masalah rusuhan dan sebagainya, kita hendaklah menangani perkara ini dengan cara yang bijak sebagai satu pemerintah yang prihatin, berpengalaman dan faham akan tujuan kita mengadakan pemerintah di dalam negara kita ini. Inilah harapan kita dan saya yakin semua anggota dalam Jabatan Perdana Menteri ini akan memegang dan memahami tentang maksud serta hasrat kita menubuhkan Kerajaan. Ini bukan untuk memperkayakan sesiapa sebaliknya ianya ditubuhkan untuk menentukan negara kita dalam memperolehi kemajuan dan menjadi lebih maju daripada sekarang. Percayalah, apabila kita memajukan negara kita, kita sendiri akan mendapat nikmat.

Walaupun pada mulanya, kita tidak nampak banyak nikmat yang diterima, tetapi apabila kita berjaya mendirikan sebuah negara yang aman dan maju, kita sebagai rakyat akan memperolehi nikmat dan seluruh rakyat akan mencapai banyak kemajuan. Ini yang harus kita fikirkan sepanjang masa dimana sementara kita menjalankan tugas-tugas biasa, kita perlu ingat bahawa tugas-tugas itu mempunyai matlamat. Saya berpendapat bahawa amat penting sekali kita diingatkan tentang tujuan kita diberi kuasa untuk melaksanakan tugas dan bukan untuk diri sendiri. Itulah harapan kerajaan Pakatan Harapan yang telah menggantikan kerajaan yang lama.

Sekian. Terima kasih.

TRANSKRIP_UCAPAN_YAB_PM_PERJUMPAAN_BERSAMA_WARGA_JPM_BAGI_BULAN_DISEMBER_2018_final_002.pdf


Last Update on 04/12/2018 
This Current Speeches has been read 128 times
QR Code for PMO Mobile
[© 2018 SMPKE, PMO]
Prime Minister's Office, Main Block, Perdana Putra Building, Federal Government Administrative Centre, 62502 Putrajaya, MALAYSIA.
Tel : 603-8888 8000 | Fax : 603-8888 3444 | E-Mail : Send E-Mail to Us! | Portal's Feedback

Visitors # Current : 32 | Today : 2,000 | This Month : 49,756 | This Year : 249,906 | Total : 9,742,380
Best view with 1024 x 768 pixel screen resolution and Google Chrome & Mozilla Firefox. Last Update : 19-12-2018