Prime Minister's Office of Malaysia.

The latest information about the Prime Minister of Malaysia.

Current Speeches

MAJLIS ANUGERAH AKADEMIK NEGARA 2018

By  :  YAB. TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
Venue  :  HOTEL MARRIOTT PUTRAJAYA
Date  :  27/11/2018

1. Pertamanya, terima kasih kerana menjemput saya untuk bersama-sama meraikan Majlis Anugerah Akademik Negara ke-12 ini.

2. Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai penganjur majlis ini kerana telah berjaya meneruskan acara ini yang memberi pengiktirafan kepada para akademik yang telah menyumbang kepada “Academic Excellence” pusat-pusat pengajian tinggi Negara.

3. Mengiktiraf sumbangan ahli akademik di institusi-institusi pendidikan tinggi melalui Anugerah Akademik Negara (AAN) adalah penyataan bahawa Kerajaan berhasrat usaha mempertingkat pencapaian pendidikan tinggi diberi perhatian yang sewajarnya. Bagi saya, pencapaian ahli akademik yang baik akan memastikan perkongsian dan penyampaian ilmu yang baik di institusi pengajian tinggi dan institusi yang mempunyai rekod akademik yang cemerlang akan melahirkan pelajar dan ahli akademik yang juga cemerlang.

4. Saya difahamkan bahawa ahli-ahli akademik yang akan menerima anugerah pada malam ini bukan sahaja telah mencipta nama di dalam negara malah telah diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana sumbangan besar mereka untuk meningkat kualiti pendidikan negara. Pencapaian mereka yang cemerlang meliputi pelbagai bidang antaranya penghasilan buku, karya seni dan kreativiti, serta menjadi penyelidik dan tenaga pengajar yang berkesan.

5. Walaupun masih terdapat banyak ruang untuk kemajuan, pencapaian yang ditunjukkan oleh warga Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia di dalam memenuhi aspirasi pendidikan tinggi negara adalah menggalakkan. Pelbagai inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia, ke arah penyediaan graduan yang holistik dan seimbang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara, telah dilaksanakan. Adalah diharap agar Anugerah Akademik Negara ini akan menjadi galakan kepada usaha peningkatan akademik di Institut Pengajian Tinggi.

6. Sistem pendidikan tinggi negara telah mendapat perhatian daripada organisasi dalam dan luar negara. UNESCO telah melantik Malaysia menjadi ahli Lembaga Eksekutifnya sehingga tahun 2019. Malaysia akan memainkan peranan dalam menyumbang idea dan amalan dalam pendidikan dan meraih seberapa banyak pengalaman dari pelantikan itu.

7. Kerajaan komited untuk menjadikan pendidikan berkualiti sebagai agenda utama negara. Antara inisiatif ke arah ini adalah mengiktiraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran ke arah membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi pada tahun 2050. TVET juga bakal melahirkan modal insan Malaysia yang seimbang dan tidak bergantung kepada tenaga asing berkelayakan di samping memastikan generasi masa depan Malaysia tahun 2050 terus terbina sebagai masyarakat berpengetahuan teknologi tinggi.

8. Institusi pendidikan tinggi tempatan juga telah menyediakan kursus-kursus berteras industri berteknologi tinggi seperti automotif, aero-angkasa, rel, perkapalan, teknologi makanan, elektronik, farmaseutikal dan lain-lain. Ini akan melahirkan modal insan terlatih, profesional dan berkemahiran serta mengurangkan kita bergantung kepada kepakaran luar.

9. Ahli akademik berperanan sebagai penjana ilmu baharu dan pemimpin ilmu. Penjanaan ilmu baharu melalui penyelidikan menjadi asas bagi membina kesarjanaan dan kewibawaan ahli akademik. Penghasilan produk dan penerbitan karya asli merupakan antara hasil dari penyelidikan ini. Dan ini akan menjadi manifestasi bahawa ahli akademik tempatan bukan sahaja mempunyai kesarjanaan intelek di atas kertas malah dapat memberi impak kepada dunia, negara dan masyarakat melalui produk dan penulisan yang dihasilkan.

10. Dalam usaha untuk melahirkan ahli akademik yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, saya difahamkan bahawa beberapa ahli-ahli akademik negara telah diiktiraf di peringkat dunia. Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Rektor baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga penerima anugerah Tokoh Akademik Negara Ke-11 merupakan penerima sulung dari Asia yang diberi penghormatan menerima pingat Gilbert oleh Universitas 21 - sebuah badan penarafan antarabangsa. Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan dan pengalaman luas Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dalam dunia akademik serta pentadbiran pendidikan tinggi di peringkat Malaysia dan antarabangsa.

11. Seorang lagi tokoh akademik yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa ialah Professor Dr. Rahmah Noordin, penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia yang telah menghasilkan dua kit diagnostik penyakit Lymphatic Filariasis Brugia. Brugia Rapid digunakan dalam diagnosis pesakit, susulan rawatan, dan pemeriksaan populasi endemik, pekerja asing dan pelancong. Ciptaan Professor Dr. Rahmah telah diiktiraf oleh World Health Organisation (WHO) dan digunakan oleh badan Kesihatan Dunia tersebut dalam programnya untuk membasmi penyakit yang endemik di India, China, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

12. Walaupun sering menjadi sasaran kritikan, Kerajaan pastinya masih berbangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh institusi pendidikan tinggi dan ahli akademik tempatan. Pencapaian-pencapaian ini menyumbang kepada strategi untuk meletak pendidikan negara di peringkat antarabangsa.

13. Ahli akademik merupakan golongan yang paling penting dalam melahirkan graduan yang mampu menghadapi cabaran masa depan ataupun future-proof graduates yang bukan hanya menguasai ilmu tetapi turut memiliki nilai dan kebijaksanaan dalam berhadapan dengan cabaran kehidupan yang amat kompleks. Usaha membudayakan ilmu dan nilai-nilai murni dikalangan graduan tidak hanya bergantung kepada kehebatan infrastruktur dan prasarana institusi, malah perlu dididik oleh akademia yang memahami, mendalami dan menghayati falsafah pendidikan negara, menggunakan dengan sebaik-baiknya bahan pembelajaran dan pengajaran kontemporari; dan mengaplikasi mod pembelajaran dan pengajaran yang terkini.

14. Maka di sinilah letaknya cabaran kepada ahli akademik di institusi pendidikan tinggi. Bagaimana mereka dapat mengimbang tanggungjawab sebagai pendidik dan pada masa yang sama menghasilkan penulisan ilmiah, melakukan penyelidikan, menjadi rujukan dalam bidang dan kepakaran masing-masing, menghasilkan produk atau karya kreatif yang mampu dikomersilkan dan lain-lain lagi.

15. Saya percaya untuk menghasil ahli-ahli akademik dan graduan yang cemerlang, satu penilaian semula terhadap sistem nilai kita amat penting, sama pentingnya dengan penekanan kepada strategi untuk mencapai academic excellence itu sendiri. Saya juga berharap, Anugerah Akademik Negara ini yang dicapai oleh beberapa tokoh akan menjadi galakan kepada ahli-ahli akademik yang lain kerana ia meletak satu standard atau piawaian yang harus dicapai oleh yang lain.

16. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli akademik yang telah memain peranan yang penting di institusi pendidikan tinggi negara. Tanpa sokongan mereka, saya percaya kita tidak mungkin dapat membangun generasi berilmu yang cemerlang sekaligus menjadi insan yang seimbang untuk pembangunan dan kemajuan negara.

17. Sebagai penutup, saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Anugerah Akademik Negara (AAN) pada tahun ini. Dan tahniah kepada penerima-penerima anugerah. Diharap ia akan memberi semangat untuk terus meningkatkan kecemerlangan diri dan institusi masing-masing.

Sekian. Terima kasih.

Salinan_Media_Teks_Ucapan_YAB_PM_untuk_Majlis_Anugerah_Akademik_Negara_2018_pada_27_November_2018.pdf


Last Update on 30/11/2018 
This Current Speeches has been read 116 times
QR Code for PMO Mobile
[© 2018 SMPKE, PMO]
Prime Minister's Office, Main Block, Perdana Putra Building, Federal Government Administrative Centre, 62502 Putrajaya, MALAYSIA.
Tel : 603-8888 8000 | Fax : 603-8888 3444 | E-Mail : Send E-Mail to Us! | Portal's Feedback

Visitors # Current : 32 | Today : 2,012 | This Month : 49,768 | This Year : 249,918 | Total : 9,742,392
Best view with 1024 x 768 pixel screen resolution and Google Chrome & Mozilla Firefox. Last Update : 19-12-2018