Prime Minister's Office of Malaysia.

The latest information about the Prime Minister of Malaysia.

Media Statement

TINDAKAN KERAJAAN DALAM MEMASTIKAN KETENTERAMAN DAN KEHARMONIAN KAUM DALAM NEGARA LANJUTAN DARIPADA INSIDEN DI TAPAK KUIL SRI MAHA MARIAMMAN, SEAFIELD, USJ25, SUBANG JAYA, SELANGOR

By  :  YAB TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
Venue  :  PUTRAJAYA
Date  :  29/11/2018

Pejabat Perdana Menteri

1. Kerajaan amat kesal dengan kejadian rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya pada hari Isnin, 26hb November, serta insiden-insiden rusuhan susulan yang berlaku ekoran daripada kejadian pertama.

2. Kecederaan serius kepada anggota bomba penyelamat serta pasukan polis, kerosakan harta benda awam dan persendirian akibat tindakan perusuh yang tidak bertanggungjawab tidak boleh dipandang ringan.

3. Seperti yang telah diterangkan oleh Menteri Dalam Negeri kejadian yang berlaku di kawasan kuil Sri Maha Mariamman itu adalah perbuatan jenayah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Tidak timbul sama sekali isu perkauman, mahupun pertelingkahan agama.

4. Di dalam kejadian jenayah, sesiapa juga yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, atau mereka yang didapati menjadi dalang, atau cuba mengambil kesempatan akan berhadapan tindakan tegas berdasarkan undang-undang yang sedia ada.

5. Kerajaan tidak memandang ringan insiden seperti ini yang boleh membawa kepada masalah yang lebih besar melibatkan ketenteraman kaum.

6. Saya telah diberi penerangan tentang perkembangan terkini siasatan ke atas insiden ini serta tindakan susulan yang diambil pihak berkuasa.

7. Saya berpuas hati dan berterima kasih kepada pihak Polis Di-Raja Malaysia yang telah bertindak untuk mengawal keadaan ini daripada merebak.

8. Tetapi apa sahaja tindakan yang diambil terhadap mana-mana pihak haruslah secara adil dan saksama.

9. Negara kita ini sedang diterajui Kerajaan yang baru sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan.

10. Sudah tentu terdapat kepincangan yang digemari oleh pihak tertentu. Bagaimanapun ini dapat diatasi jika rakyat faham akan latar belakang kejadian dan tidak berpandu dengan khabar angin.

11. Amatlah penting supaya kita semua sedar bahawa keselamatan serta kestabilan negara adalah tanggungjawab kita bersama. Sama-samalah kita berusaha untuk menjaga ketenteraman ini.

12. Saya menggesa kepada semua agar tidak mengambil apa-apa tindakan atau mengeluar apa-apa kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

13. Kita mahu perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa dan saya minta semua pihak, samada di dalam Dewan ini mahupun orang ramai supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan ataupun berkongsi apa-apa berita mengenai peristiwa itu kerana sekarang inipun sudah banyak berita palsu dan salah yang diedarkan.

14. Kepada ahli politik serta pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan dan yang berkepentingan janganlah ada pula yang cuba menangguk di air keroh.

15. Kerajaan tidak berniat untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi jika apa yang disuarakan itu tidak benar dan mengancam ketenteraman awam, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

16. Kerajaan telah berjanji tidak melakukan sebarang halangan untuk pemberitaan dan komunikasi tetapi kebebasan ini harus digunakan dengan penuh tanggungjawab dan bukan untuk mengapi-apikan keadaan yang boleh membawa kepada perpecahan dan keharmonian perhubungan antara kaum.

17. Ini juga bukan masanya untuk menuding jari terhadap sesiapa. Pihak polis sudahpun diberi tanggungjawab untuk mengawal ketenteraman serta menjalankan siasatan.

18. Yang bersalah akan tetap bersalah dan akan menghadapi tindakan undang-undang yang sewajarnya.

19. Saya ingin tegaskan, bukan niat Kerajaan untuk menghukum sesiapa secara buta-tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan kita semua harus faham akan batas-batas demokrasi ini.

20. Tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara.

21. Hak dan kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang boleh mengatakan apa sahaja yang bersifat provokatif terhadap sensitiviti pihak lain.

22. Jika ada pihak yang melanggar undang-undang untuk kepentingan diri mereka sahaja, maka Kerajaan yang mendokong prinsip, dengan izin “rule of law”, juga akan bertindak berdasarkan undang-undang.

23. Kerajaan tidak akan bertolak-ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan keharmonian dan keamanan Negara tidak di perlekehkan oleh sesiapa.

24. Saya ingin tekankan sekali lagi - ini bukan isu perkauman atau berkaitan agama tetapi tindakan jenayah yang tidak harus diberi sebarang ruang untuk merosakkan hubungan di antara kaum di dalam negara kita.

25. Pihak polis telah diberi kuasa untuk menangani keadaan ini dengan tangkas dan untuk meredakan ketegangan serta mengembalikan ketenteraman awam.

26. Saya juga meminta semua rakyat supaya bertenang dan mengelak dari terbabit di dalam aktiviti yang boleh menjadi landasan untuk melakukan “instigation” dan hasutan.

27. Jika ada sebarang usaha provokasi, pihak Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba untuk mencabar undang-undang Negara.

28. Saya juga dimaklumkan bahawa pihak polis sedang giat memburu mereka yang terbabit di dalam merusuh dan mencederakan anggota Bomba serta anggota keselamatan dalam kejadian tempoh hari. Mereka ini akan berdepan dengan tindakan tegas undang-undang.

29. Inilah yang sedang dilakukan sebagai sebahagian usaha Kerajaan ini yang bertanggungjawab terhadap keselamatan rakyat dan negara yang bertuah ini.

30. Kita perlu ingat bahawa Negara kita adalah tanggungjawab kita.

Sekian, terima kasih.

Salinan_Media_Kenyataan_di_Parlimen_oleh_YAB_Perdana_Menteri_pada_29_November_2018.pdf


Last Update on 29/11/2018 
This Media Statement has been read 312 times
QR Code for PMO Mobile
[© 2018 SMPKE, PMO]
Prime Minister's Office, Main Block, Perdana Putra Building, Federal Government Administrative Centre, 62502 Putrajaya, MALAYSIA.
Tel : 603-8888 8000 | Fax : 603-8888 3444 | E-Mail : Send E-Mail to Us! | Portal's Feedback

Visitors # Current : 30 | Today : 2,033 | This Month : 49,789 | This Year : 249,939 | Total : 9,742,413
Best view with 1024 x 768 pixel screen resolution and Google Chrome & Mozilla Firefox. Last Update : 19-12-2018