Untitled document
Bismillahirahmanirrahim
Suadara Pengerusi Majlis
YBhg. Dato Hj. Khalid Yunus & Isteri YBhg. Datin Noraini
Presiden Persatuan Kembara Negara
YBhg. Datuk Ibrahim Bin Yahaya
Ketua Pengarah Penyiaran
Radio Televisyen Malaysia (RTM)
Dif-Dif Yang di hormati
Pencinta-Pencinta Kembara Negara
Para Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang di hormati sekalian
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Sebagai permulaan bicara marilah kita sama-sama memanjatkan rasa penuh kesyukuran kepada Allah S.W.T., kerana dengan izin dan rahmatnya, kita dapat berkumpul di majlis ini bagi menyaksikan Pra-Pelancaran Projek Misi Perdana, de' Everest 2011.
2. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, di atas kesudian untuk mengundang saya, bagi merasmikan Majlis Pra-Pelancaran pada petang mulia ini. Saya di fahamkan upacara Pelancaran rasmi projek ini akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada bulan April kelak.
Para hadirin yang di hormati sekalian,
3. Sejarah pendakian tanah tinggi di Malaysia telah bermula sejak tahun 1769 lagi apabila Gunung Kinabalu mula didaki dan diukur. Sementara itu, di Semenanjung Malaysia pula ianya bermula dengan ekspedisi yang diketuai oleh William Cameron seorang pegawai British yang ditugaskan untuk mewartakan Banjaran Titiwangsa. Ekoran dari itu, Gunung Tahan, Tanah Tinggi Cameron dan Gunung Mulu mula didaki seawal tahun 1884 lagi. Dengan yang demikian, tidak hairanlah jika projek pelancaran Misi Perdana de' Everest ini mempunyai erti yang besar kepada perkembangan sukan tanah air khususnya di kalangan peminat mendaki gunung.
4. Sebagaimana kita sedia maklum, pada awal tahun 1980an, Malaysia telah memperkenalkan program Malaysia Cergas yang bertujuan melahirkan masyarakat yang sihat, cergas dan seterusnya mewujudkan satu negara yang progresif. Melalui program ini kerajaan menggalakkan masyarakat Malaysia supaya melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sukan yang tidak berorientasikan pertandingan atau "non-competitive sports". Kegiatan mendaki sebagai aktiviti rekreasi dan tahan lasak telah mula mendapat sambutan di kalangan segelintir masyarakat Malaysia. Aktiviti mendaki seterusnya menjadi semakin popular dengan pelancaran Program Rakan Rekreasi dan Rakan Cinta Alam yang dilancarkan sekitar tahun 80an.
5. Kini Malaysia seharusnya merasa bangga kerana minat untuk mendaki gunung sama ada di dalam mahupun di luar negara amat menyerlah. Jika dilihat dari segi perangkaan, bilangannya di katakan kian bertambah. Apa yang menarik, minat mendaki ini tidak hanya tertumpu di kalangan anak-anak muda sahaja sebaliknya orang dewasa juga tidak ketinggalan untuk turut menyertai misi pendakian tersebut. Selain dari mendaki, Persatuan Kembara Negara juga telah menganjurkan larian mendaki Gunung Kinabalu yang kini amat popular di kalangan para peserta dari luar negara.
Para hadirin sekalian,
6. Perkembangan aktiviti rekreasi dan tahan lasak ini adalah selari dengan usaha-usaha Kerajaan untuk melahirkan rakyat yang cergas dan sihat dalam sebuah negara yang sedang pesat membangun. Untuk membangun dan berjaya dengan lebih hebat lagi di masa-masa akan datang, Malaysia perlukan rakyat yang sihat dan cergas bukan sahaja dari segi fizikal tetapi yang lebih penting ialah dari segi mentalnya. Malaysia perlukan rakyat yang tahan uji, berani menyahut dan berdepan dengan apa juga cabaran sekiranya mahukan kejayaan. Mendaki gunung dikatakan mengajar kita supaya banyak bersabar, berani bila berdepan dengan cabaran, berdisiplin dan bersungguh-sungguh menjayakan sesuatu aktiviti.
7. Saya pasti bahawa Kerajaan sentiasa mendorong dan membantu rakyat terutama sekali generasi mudanya supaya bergerak secara sihat dan cergas dalam apa jua kegiatan yang dilakukan. Di bidang sukan, pelbagai kemudahan asas disediakan di seluruh negara. Bantuan kewangan juga diberikan untuk menjayakan pelbagai aktiviti ke arah membina masyarakat yang cergas dan sihat.
8. Sejak tahun 1997,apabila Kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia mendaki ke puncak Everest pelbagai bantuan termasuk kewangan telah di berikan. Ekspedisi mendaki Gunung Everest pada tahun 1997 telah berjaya mengharumkan nama negara di mata dunia. Daripada kumpulan ekspedisi tersebut, M.Magendran dan N.Mohandas telah berjaya sampai ke puncak gunung dan memacak bendera Malaysia pada ketinggian 8,848 meter. Sehingga kini, sebelas orang rakyat Malaysia telah berjaya sampai ke puncak Everest. Saya berasa amat bangga kerana salah seorang darinya ialah seorang wanita iaitu Marina Ahmad. Beliau melakar sejarah untuk menjadi wanita pertama Malaysia sampai ke puncak Everest. Saya juga merasa amat bangga kerana seorang lagi wanita akan menyertai Misi Perdana de' Everest 2011 yang akan datang. Saya berdoa semoga cita-cita beliau untuk menjadi wanita kedua sampai ke puncak dunia itu akan menjadi kenyataan. InsyaAllah, ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu dan boleh membuat apa saja sekiranya diberi peluang dan mendapat sokongan dari semua pihak.
Para hadirin sekalian,
9. Adalah diakui bahawa mendaki Gunung Everest, puncak tertinggi di dunia, bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya perlukan perancangan yang teliti, latihan yang sistematik dan perbelanjaan yang besar. Saya mengucapkan tahniah kepada Persatuan Kembara Negara apabila enam orang pendakinya telah berjaya ke puncak Everest dalam Program Merdeka de' Everest 2007. InsyaAllah, pada tahun hadapan Persatuan ini akan menghantar tujuh orang lagi pendaki untuk mengharungi cabaran itu. Saya difahamkan Pendakian kali ini akan dibuat dari sebelah Tibet dan sekali gus merupakan kali pertama rakyat Malaysia akan mendaki dari sudut tersebut. Turut membanggakan ekspedisi de' Everest kali ini ianya akan di ketuai sendiri oleh YBhg. Dato Hj. Khalid Yunus. Walaupun sudah berusia 66 tahun tapi masih sanggup berjuang dan menghadapi cabaran. Syabas saya ucapkan. Saya berharap bakal-bakal pendaki Misi Perdana de' Everest 2011 akan berlatih dengan bersungguh-sungguh dan saya berdoa semoga tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan berjaya sampai ke puncak Everest. InsyaAllah.
10. Saya difahamkan pihak Kerajaan ada menghulurkan bantuan kewangan bagi menjayakan Misi ini, namun bantuan ini masih belum mencukupi. Oleh itu saya ingin mengambil kesempatan ini merayu terutama sekali di kalangan pihak swasta agar dapat membantu Misi ini setakat mana yang boleh. Dalam konteks ini kita seharusnya berasa bangga kerana sektor korporat di Malaysia sememangnya prihatin terhadap peranan mereka dalam bidang sosial atau "corporate social responsibility". Badan-badan korporat kita sentiasa memberi sokongan dan bantuan dalam pelbagai aktiviti seperti ini. Seperti yang dikatakan oleh YBhg. Dato Khalid tadi setiap sen dari sumbangan itu akan digunakan untuk menjayakan Misi ini. Dari itu sumbangan anda akan membantu Misi ini merealisasikan hasrat dan impian mereka kelak.
11. Sebelum saya mengundur diri, izinkan saya sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas undangan ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Kembara Negara di atas inisiatif dan daya usaha mereka untuk menganjurkan Misi Perdana de' Everest 2011 ini. InsyaAllah dengan usaha gigih dan komitmen serta semangat yang kental bakal-bakal para pendaki Malaysia ini akan kelak berjaya mencapai hasrat dan impian mereka bagi mendaki Gunung Everest. Saya akan sentiasa mendoakan agar cita-cita murni ini akan tercapai. Dengan berbekalkan semangat Malaysia Boleh saya pasti segala rintangan akan dapat di atasi dengan baik.
12. Kepada bakal pendaki, "Mountain climbing can push you to your physical and mental limits". No other sport puts a person through as many different kinds of challenges as mountain climbing. You'll face steep inclines, vertical cliffs, high altitudes, and extreme temperatures while climbing various mountains. There are no climbing tips that will help you face the varied challenges that await you on the different peaks of the world. Only through continuous education and specific climbing training will you be able to experience the mountain climber's "high" on the world's most coveted peaks.
13. Dengan kata-kata ini maka saya dengan segala sukacitanya merasmikan Pra-Pelancaran Projek Misi Perdana de' Everest 2011, dengan doa dan harapan semoga ianya berjaya.
Sekian, terima kasih.