Speeches
12/05/2011
Categori : Title/Events: LAWATAN RASMI PENAUNG YAYASAN AIDS MALAYSIA KE RUMAH WAKE 1 Venue: RUMAH PERLINDUNGAN PERTUBUHAN WANITA DAN KESIHATAN, SETAPAK ReadBismillahirahmanirrahim 1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama hadir pada petang yang cukup bermakna ini bersempena dengan lawatan rasmi saya ke Rumah Perlindungan Pertubuhan Wanita dan Kesihatan. 2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan AIDS Malaysia kerana telah menjemput saya untuk bersama-sama dengan kanak-kanak dan para remaja yang dikasihi sekalian. Setibanya saya di sini, saya berasa begitu terharu dengan usaha Yayasan AIDS Malaysia kerana telah menempatkan mereka di bawah jagaan yang baik dan sempurna. Selaku Penaung Yayasan AIDS Malaysia, saya berasa gembira kerana berkesempatan untuk bersama-sama kanak-kanak dan para remaja pada petang ini. 3. Saya juga berbangga di atas daya usaha Yayasan AIDS Malaysia untuk meringankan penderitaan sebahagian besar kanak-kanak dan para remaja yang menghidapi AIDS. Hakikatnya, kanak-kanak istimewa ini memerlukan perlindungan dari segi fizikal, sosial dan juga emosi. Adakalanya mereka juga dahagakan kasih sayang. Justeru, tujuan lawatan saya pada hari ini adalah untuk meninjau sendiri bagaimana kanak-kanak dan remaja ini dijaga dan dididik dengan semangat dan sikap yang positif agar mereka dapat memahami situasi yang sedang dialami. Di samping itu, kanak-kanak ini juga perlulah diberi ilmu pendidikan yang sempurna bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menjalani alam persekolahan. Apa yang penting mahu atau tidak, perhatian yang lebih perlu diberikan agar mereka tidak dinafikan daripada kehidupan normal kanak-kanak. Para hadirin sekalian, 4. Realitinya, kanak-kanak dan para remaja akan menderita apabila salah seorang daripada ibu atau bapa mereka dijangkiti HIV. Penderitaan ini akan bertambah buruk apabila salah seorang daripada ibu atau bapa mereka jatuh sakit dan kemudiannya meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Natijahnya, kanak-kanak ini akan menghadapi kesempitan hidup dan terpaksa berhenti sekolah bagi memikul tanggungjawab untuk menampung keperluan keluarga. Besar kemungkinan juga kanak-kanak ini akan terabai tanpa rumah perlindungan dan terpaksa menghadapi pelbagai jenis penderaan dan risiko. Situasi ini akan menjadi lebih rumit jika kanak-kanak ini di sahkan menghadapi HIV/AIDS. Malah, nasib kanak-kanak ini akan di rudum kesepian dan kekecewaan termasuk dipinggirkan masyarakat selain terpaksa menumpang kasih dengan orang lain. 5. Sebagaimana kita sedia maklum, mengikut statistik, pada setiap minit, seorang kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dijangkiti HIV. Pada setiap hari pula, lebih 6000 remaja berumur di antara 15 hingga 24 tahun dijangkiti HIV. Sementara itu, seramai 1440 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari disebabkan AIDS. Keadaan ini amat menyedihkan. Meskipun pelbagai kempen kesedaran dilakukan oleh pihak berwajib mahupun pertubuhan bukan kerajaan, namun jumlah mereka yang dijangkiti HIV dan Aids terus meningkat saban hari. Ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada institusi kekeluargaan apabila semakin ramai wanita dan kanak-kanak dijangkiti HIV. 6. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, saya percaya dan yakin kita boleh membantu mengubah fahaman masyarakat dengan menentang diskriminasi terhadap mereka yang terpaksa hidup dengan HIV. Kita juga boleh mencetuskan persekitaran yang lebih terjamin terhadap remaja dan kanak-kanak dengan memastikan hak mereka dilindungi dan mereka diberi rawatan serta sokongan yang diperlukan. Bagi keluarga yang menghidapi AIDS, mereka bukan hanya perlu menanggung jangkitan berkenaan sahaja, sebaliknya stigma masyarakat sekeliling yang membuatkan mereka berada dalam keadaan tertekan untuk menghadapi masa depan. Stigma juga yang menyebabkan kanak-kanak dipinggirkan oleh guru dan rakan di sekolah dan stigma ini jugalah yang menyebabkan kanak-kanak yang dijangkiti HIV boleh dilihat di jalanan kerana tiada siapa yang mengambil berat mengenai mereka. Isu ini adalah kenyataan dan ia berlaku setiap hari di seluruh dunia dan di depan mata kita. Para hadirin sekalian, 7. Sehubungan dengan itu, kita memerlukan komitmen daripada semua pihak sama ada dari pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan mahupun sektor swasta supaya terus menerus memberikan khidmat sokongan tidak kiralah dari segi kewangan mahupun pendidikan. Dalam pada itu, saya berbangga kerana Yayasan AIDS Malaysia telah menganjurkan beberapa program sosial dengan jayanya seperti penubuhan Dana Pediatrik AIDS Standard Chartered, yang telah membiayai perbelanjaan seramai 209 kanak-kanak dan 100 orang remaja di sekolah menengah. Di samping itu, melalui Skim L'Oreal KISS ataupun Kids In School Scheme pula, kanak-kanak dan para remaja ini diberikan bantuan kewangan untuk rawatan dan juga yuran persekolahan. Sesungguhnya, komitmen padu melalui Tanggungjawab Sosial Korporat dari pelbagai sektor korporat seperti ini telah memberi ruang, peluang dan dorongan untuk kanak-kanak dan para remaja ini meneruskan pendidikan mereka ke arah masa depan yang lebih baik. 8. Selaku Penaung Yayasan AIDS Malaysia, saya menyeru supaya masyarakat menghilangkan prejudis ke atas kanak-kanak dan para remaja ini. Apa yang penting ialah masyarakat perlu dididik agar memahami bagaimana AIDS boleh merebak dan berjangkit. Saya juga menyeru kepada semua pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan berwajib mahupun pihak swasta supaya terus mengambil langkah proaktif dalam mentransformasi minda masyarakat melalui kempen-kempen menyayangi dan membantu kanak-kanak dan remaja AIDS agar mereka dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak yang lain. Berilah perlindungan sewajarnya kepada kanak-kanak ini agar mereka tidak berasa seperti tersisih dari kelompok masyarakat. Sekiranya masyarakat memahami situasi kanak-kanak dan remaja ini, maka sudah tentu mereka dapat mendidik rakan-rakan lain untuk menerima kelompok ini juga. 9. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru supaya sektor korporat dan juga individu prihatin tampil ke hadapan memberikan sumbangan dari segi kewangan mahupun perkhidmatan dalam membantu kanak-kanak dan para remaja ini. Saya juga ingin menasihati ibu bapa dan guru-guru serta seluruh masyarakat, meskipun golongan ini menghidapi HIV, mereka seharusnya diberi kepercayaan dan galakan dalam apa jua bidang yang mereka ingin pelajari. Adalah menjadi harapan saya dan saya pasti oleh seluruh rakyat Malaysia yang ingin melihat kanak-kanak dan para remaja ini membesar sebagai seorang dewasa dan mempunyai kerjaya mereka sendiri, suatu masa nanti. Para hadirin sekalian, 10. Sebagai akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli dan gerak kerja Persatuan WAKE, Yayasan AIDS Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia di atas daya usaha, komitmen dan keazaman berterusan untuk terus membantu kanak-kanak dan para remaja ini kerana saya percaya mereka adalah harapan dan masa depan negara kita kelak. Mudah-mudahan sumbangan serta usaha murni ini diterima oleh Allah S.W.T. dan menjadi pemberat amalan kita di akhirat kelak. Kita perlu mengambil iktibar bahawa apa yang meninggikan darjat seseorang itu ialah akal dan adabnya, dan bukanlah penyakit yang dihidapinya. Allah SWT pernah berjanji dalam surah Al-Zalzalah ayat 7,"Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya". Dengan itu, teruskanlah usaha bakti ini demi tanggungjawab kita bersama. Sekian, Wabilahi Taufik Walhidayah, Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima Kasih. |