Media Room

Multimedia Collection

Feedback

  1. Fill-up the feedback form :

 

  • Decrease
  • Increase

Archive News

Generasi Muda Promosi Budaya Negara Di Amerika Syarikat | 01/04/2010
Untitled document KUALA LUMPUR, 1 April 2010 (Bernama) -- Pemain piano klasik luar biasa negara Tengku Ahmad Ifran Tengku Ahmad Shahrizal, dan pelajar Tunas Budaya akan menyertai sekumpulan generasi muda bagi mempromosi budaya Malaysia di Amerika Syarikat minggu depan.

Tengku Ahmad Ifran, 11, yang pernah membuat persembahan solo bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di bawah pimpinan Claus Peter Flor di Dewan Filharmonik Petronas pada Oktober tahun lepas, akan mempamerkan bakatnya pada festival "Faces of 1Malaysia" di Washington dari 11 hingga 13 April.

Dia yang mendapat kepujian untuk Gred 8 dan pernah menghadiri masterclass di bawah bimbingan Professor Dr Arbo Valdma serta Professor Snezana Panovska, akan memainkan lagu "Getaran Jiwa", " Tanah Pusaka" dan "Tudung Periuk" semasa persembahan di National Geographic Museum dan Hotel Mandarin Oriental di sana.

Tengku Ahmad Irfan, yang kini di bawah program Permata Seni Muzik, menyifatkan peluangnya bermain piano secara solo di hadapan masyarakat antarabangsa di Washington sebagai kejayaan peribadinya membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

"Saya memang minat bermain piano dan ada guru mengajar saya bermain piano dengan datang ke rumah saya, tetapi saya tidak menyangka bakat saya diiktiraf seperti ini," katanya.

Dalam majlis yang sama, 10 pelajar sekolah rendah berumur antara 7 dan 11 tahun, yang merupakan hasil program Tunas Budaya yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memupuk penghayatan dan cintakan budaya di kalangan generasi muda, akan mempersembahkan pelbagai tarian termasuk "Zapin Fusion."

Tarian "Zapin Fusion" begitu unik kerana menggabungkan zapin dengan hip-hop yang begitu mengasyikkan apabila dengan lenggang-lengguk zapin, para penari cilik itu juga mampu melakukan aksi hip-hop.

Para pelajar berkenaan yang terdiri daripada lima perempuan dan lima lelaki akan turut mempersembahkan dikir barat kontemporari iaitu "dikir bertingkah".

Bagi adik Norzuhairina Syazwani Mohd Johari, 10, dia tidak pernah menyangka bahawa penglibatannya dalam bidang tarian bakal membawanya melangkah jauh hingga ke Amerika Syarikat.

Dia yang mula belajar menari sejak empat tahun lepas, berasa amat teruja untuk mempamerkan tarian Malaysia di Washington yang terkenal dengan epal merahnya itu.

Dia berharap pemergiannya ke kota metropolitan itu dapat menjadi dorongan kepada rakan-rakannya untuk menuruti jejak langkahnya menyertai aktiviti budaya yang mampu mengharumkan nama negara.

"Saya sangat gembira kerana pertama kali dapat ke luar negara untuk menari, namun saya sedih juga kerana terpaksa meninggalkan keluarga untuk beberapa hari," katanya kepada Bernama.

Marsya Naima Naim, 11, pula berkata pengalamannya mempelajari seni tarian sejak berusia lima tahun nyata tidak sia-sia kerana bidang itu mampu membawanya menjelajah ke negara luar dalam usia yang begitu muda.

Tidak hanya memikirkan faktor untuk bergembira semata-mata, Marsya yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana, banyak membuat persediaan agar persembahannya nanti sempurna.

"Dengan bantuan rakan-rakan, saya rasa kita orang dapat buat yang terbaik. Saya pun banyak buat persediaan dari segi mental dan fizikal, dan keluarga juga banyak membantu," katanya.

Bagi Siti Nurizzati Mohd Jeffry, 10, pula harapannya hanya satu agar kesihatannya serta rakan sepasukan berada dalam keadaan baik sebelum dan semasa perjalanan mereka ke Washington nanti.

"Kami akan berangkat ke Washington pada Khamis depan dan dijangka berada di sana selama 10 hari. Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang," katanya.

Selain mereka, penyanyi remaja Ikhwal Hafiz Ismail, 18, akan mendendangkan lagu 'Mentera Semerah Padi' manakala Sutra Dance Theatre turut menghantar tiga pelajar perempuan berumur 14 tahun untuk mempersembahkan tarian klasik India "Odissi" pada festival itu.

Festival "Faces of 1Malaysia" akan diadakan dalam dua peringkat di Washington -- yang pertama ialah majlis "Simbolisme Persahabatan Dua Negara" dan akan dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 11 April di National Geographic Museum dan terbuka kepada orang ramai.

Majlis kedua iaitu "Malam Gala Faces of 1Malaysia" yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental pula dikhaskan untuk pemimpin-pemimpin negara itu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 April.

Source: BERNAMA
© Copyright 2011 Prime Minister's Office

DISCLAIMER: This website and the Materials are provided “as is” and “as available”, without warranty of any kind, implied, express or statutory. The Office of The Prime Minister of Malaysia and The Government of Malaysia shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or Materials obtained from this website.

SMPKE