Penerimaan
1Malaysia menekankan sikap Penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.
Prinsip-prinsip Kenegaraan yang berasaskan:
- Perlembagaan Persekutuan
- Rukun Negara
"MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :
KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN "
Keadilan Sosial
Semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana
pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil
kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang
berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan
Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada
golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
Hormat-menghormati
Hormat menghormati antara
semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya
kaum lain. Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan
kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan
peruntukan-peruntukan undang-undang yang menyentuh
sensitiviti kaum.
Rendah hati (Tawadhuk)
Rasa rendah hati atau Tawadhuk
adalah perasaan insaf bahawa kita semua adalah rakyat dalam
satu negara yang sama dan kita perlu hidup bersama secara
harmoni. Ia juga merangkumi pengertian bahawa setiap kaum,
malah setiap individu ada kelemahan dan kelebihannya yang
sendiri, dan seharusnya kita memanfaatkan kelebihan masing-masing
demi untuk memperkukuhkan masyarakat dan negara.
Kesederhanaan
Ialah pendekatan sederhana dalam apa
jua isu yang berbangkit. Dalam negara bermasyarakat majmuk
seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata bersifat ekstrem tidak
langsung boleh diterima kerana ia boleh membawa kepada
masalah ketidakstabilan sosial yang lebih parah.
Berbudi-bahasa
Budi-bahasa ialah tutur kata dan tingkah
laku yang tertib dan berpaksikan kesantunan dalam segala
interaksi dan perhubungan dengan pihak lain bagi menjana
kerjasama dan permuafakatan yang lebih erat
Budaya Berprestasi Tinggi
Sifat memastikan setiap
perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang
terbaik. Sikap sambil lewa dan "acuh tak acuh" tidak boleh wujud
dalam masyarakat yang berdaya maju.
Budaya Ketepatan
Sebagai rakyat sebuah negara yang
berhasrat mencapai status negara maju, rakyat Malaysia perlu
dikenali dengan budaya ketepatan, termasuklah menepati waktu
dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua
tugas dan kewajipan.
Budaya Ilmu
Sesebuah negara hanya akan benar-benar
maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan
yang tinggi. Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa
memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk
menimba ilmu sepanjang hayat.
Integriti
Rakyat Malaysia perlu memiliki integriti yang tinggi
dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab agar
bangsa dan negara sentiasa disegani dan dihormati oleh semua
pihak. Integriti merangkumi sifat-sifat amanah, bersih dan cekap
dalam melakukan sebarang tugas dan melaksanakan
tanggungjawab.
Ketabahan
Ketabahan dalam mengharungi masalah dan
cabaran yang mendatang. Rakyat Malaysia seharusnya bersifat
tidak mudah mengaku kalah, sebaliknya perlu memiliki
keyakinan diri yang tinggi serta semangat juang yang kental
dalam apa jua bidang yang diceburi.
Kesetiaan
Kesetiaan sepenuhnya kepada negara Malaysia
dan kesediaan untuk berbakti dan berkorban demi negara
yang tercinta.
Kebijaksanaan
Ialah cara berhadapan dengan sebarang
masalah dengan penuh berhemah dan teliti agar tidak berlaku
perkara-perkara yang menyinggung hati dan perasaan mana-mana
pihak yang lain.
Budaya Inovasi
Adalah kesediaan kita sebagai rakyat
Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi
dalam apa jua lapangan yang kita ceburi. Rakyat Malaysia
perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi
pemimpin dalam bidang masing-masing. Kita mesti berani
berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru
dalam menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk
menjadi perintis dalam setiap bidang yang diterokai.