Prime Minister's Office of Malaysia.

The latest information about the Prime Minister of Malaysia.

Language : English | Bahasa Malaysia | Background : KL batik padi
Font Size : A+ | A | A- | Font Colour : Blue Red Green Original Color | W3C W3C Disability Accessibility
Mobile | RSS | FAQs | Help | Sitemap | Intranet SSO
PM's Twitter PM's Facebook

As DPM


By  :  DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Venue  :  PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Date  :  17/11/2006
Title  :  PENGGULUNGAN TIMBALAN PRESIDEN UMNO DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KE-57

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

YB Tan Sri Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap Persidangan

Mukaddimah

Sebelum meneruskan ucapan, saya ingin merakamkan rasa penghargaan dan penuh terharu kepada YAB Presiden Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, di atas keyakinan beliau kepada saya sebagai Timbalannya.

Panca warisan keris sakti,
Sang Saka Bangsa ditiang seri,
Alangkah terharu rasa dihati,
Atas kepercayaan yang Pak Lah beri.

Dewan Merdeka sudah ternama,
Bertemu, bersidang, ucapan dikaji,
Setia sebagai pembantu utama,
Kepada Presiden diikrar janji.

Yang dikasihi YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi
Presiden UMNO,

YAB Datuk Seri Ali Rustam dan YB Tan Sri Muhyiddin
Naib-naib Presiden UMNO,

Yang Berhormat Dato’ Seri Rafidah Aziz
Ketua Pergerakan Wanita,

Yang Berhormat Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein
Ketua Pergerakan Pemuda,

Yang Berbahagia Datuk Noraini Ahmad
Ketua Pergerakan Puteri,

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dihormati,

Wakil 58 daripada 62 kelab UMNO Luar Negara di seluruh pelusuk dunia, (ini menandakan kehebatan UMNO yang Glokal sifatnya, hebat di arena local di samping menerjah ke persada global).

Sidang Perwakilan sekalian,

Takrif Memacu Minda Melayu

1. Tahun lalu, saya mengutarakan tentang Melayu Glokal, iaitu orang Melayu wajar berakar di arena nasional serta menerjah kecemerlangannya di persada internasional. Pada tahun ini saya juruskan pula kepada pemacuan minda sebagai asas pembinaan Melayu Glokal itu. Lima elemen Pemacuan Minda adalah melalui pemantapan kepemimpinan transformasi, bekerja sebagai satu pasukan atau jemaah, memperkasakan agenda Melayu, mempertahankan akidah dan memacu generasi muda Melayu.

2. Takrif Memacu Minda Melayu adalah mengasah dan mengasuh minda serta akal orang Melayu agar berfikir dengan kerangka yang betul menurut kaedah yang sistematik lagi berstrategi. Itu takrifan secara ilmiah, kalau nak senang difaham kitala nak ajaq orang Melayu berfikir secara betul jika nak jadi bangsa yang berjaya. Gunalah akal secara maksima untuk setiap kerja yang dibuat dalam kehidupan seharian.

Saya amat tertarik kepada ucapan wakil Selangor sahabat lama saya Datuk Mufti.

3. Cara orang lama pukul ini lain sikit, dia menyebut tentang bagaimana sebuah negara yang diberi contoh negara Switzerland tidak ada kekayaan hasil bumi, tidak ada pokok koko tapi boleh mengeluarkan coklat yang terbaik di dunia. Malah bagi negara Switzerland bukan saja coklat, jam tangan pun yang terbaik di dunia, ubat-ubatan farmaseutikal yang terbaik pun datang dari Switzerland. Negara Switzerland tidak ada hasil bumi, cuma ada keupayaan minda yang kuat saja. Orang yang paling kaya di dunia siapa? Siapa dia? Bill Gates, dan Bill Gates kaya sebab apa kerana mampu menjana kekayaan melalui keupayaan mindanya yang kuat. Microsoft (pandai pun), InfoSys di India, saya nak kongsi cerita bagaimana pengasas syarikat InfoSys ini telah bermula dengan modal cuma AS$250 pada 1991 tetapi hari ini Mr. Murthy yang menjadi tauke pemilik utama kepada syarikat Info memiliki harta sebanyak AS$1.4 bilion dalam masa 15 tahun saja. Sekali lagi terbukti penjanaan kekayaan yang paling besar ialah melalui pengupayaan minda. Soalnya, bagaimana pula kita harus lakukan.

Biasanya manusia inginkan wajah yang cantik. Ramai yang suka bersolek, tak salah kita setuju wanita bersolek, kita pun menghargai wanita yang cantik tapi empunyanya satu saja. Manusia ingin pada tubuh yang sasa, jadi berusaha untuk mengempiskan perut, manusia nak pada badan yang sihat, berusaha untuk menguatkan otot.

Tapi saudara-saudari, organ yang paling terpenting dalam tubuh badan ialah otak. Otak organ yang paling penting tapi bagaimana kita memperkayakan otak kita, yang sepatutnya dengan pemakanan berkhasiat. Terima kasih Kementerian Pelajaran tambah lagi peruntukan pemakanan. Otak yang sihat perlu dilatih dengan pemikiran lateral, pro aktif, positif dan mulia. Kita perlu belajar untuk berfikir bagi merancang kehidupan menjana kekayaan, mencipta kegemilangan melalui keupayaan minda yang semakin hebat.

Saudara saudari sekalian,

4. Saya mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang menyentuh beberapa perkara yang bersabit dengan tanggungjawab saya. Yang pertama, saya juga menteri Felda, jaga Felda. Wakil Terengganu minta supaya pembukaan tanah baru yang dibekukan sejak 1990 itu, barangkali boleh dicairkan. Saya ingin nyatakan bahawa saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Presiden bahawa kalau ada mana-mana negeri yang ingin menawarkan tanah kepada Felda membantu menyelesaikan masalah kemiskinan, kita sanggup membuka rancangan itu. Mungkin model itu akan dikaji, mungkin tidak model sedia kala tapi model terkini yang boleh menjana pendapatan lebih tinggi.

5. Perwakilan Kedah bertanya tentang jawatan utama di Felda Holdings, boleh saya maklumkan dari 109 gred jawatan Pengurus Besar ke atas, 93 orang atau 85 peratus adalah terdiri daripada orang Melayu, dan bukan Melayu hanya 16 orang saja. Daripada segi jumlah kontrak Felda pula, dari tahun Januari 2005 hingga September 2006 sebanyak RM700.4 juta telah diberikan kepada 1,150 kontraktor Melayu dan hanya 192 orang kontraktor bukan Melayu.

6. Perwakilan Negeri Sembilan membangkitkan kejayaan membangunkan usahawan peneroka yang semakin terserlah. Sehubungan dengan ini dimaklumkan bahawa 38 peratus daripada peneroka telah berjaya menjadi usahawan dalam pelbagai bidang dengan pendapatan tambahan RM1,500 hingga RM10,000 sebulan. Di samping itu Felda telah melaksanakan Skim Insentif Usahawan Felda dengan jana RM100 juta. Dan bagi golongan generasi kedua dan ketiga, 11,000 belia Felda sedang berada dalam pelbagai IPTA dibiayai Felda supaya mereka dapat menjadi belia yang akan dapat kerja dalam ekonomi baru nanti, Insya-Allah. Maknanya Felda akan terus menjadi institusi membina bangsa Melayu yang akan kita perkukuh dan perkasa.

Sidang Perwakilan sekalian,

Isu UiTM

7. Atas sifat saya sebagai Pengerusi Biro Pelajaran pula dan atas sifat sebagai Biro Pelajaran saya dibantu oleh dua Timbalan Pengerusi Biro Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dan Dato’ Mustapa Mohamed. Saya ingin mengingatkan pada kita bahawa dalam dewan ini, gema suara dewan ini pada tahun sudah telah kita bangkitkan bahawa kita nak supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai institusi pendidikan kebangsaan orang Melayu dan agar dapat ditambah pengambilan pelajarnya daripada 100,000 kepada 200,000. Ini suara keramat daripada dewan perhimpunan UMNO. Kita dan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Presiden, kita telah meluluskan rancangan pembesaran UiTM kepada 200,000 dengan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

8. Saya boleh bagi banyak sebab mengapa kita perlu memberi tumpuan kepada UiTM tetapi saya nak beri empat sebab saja.

Yang pertama UiTM, Universiti ini Tolong Melayu
Yang kedua, Universiti ini Tongkat Melayu
Yang ketiga, Universiti ini Tempat Melayu
Yang keempat, Universiti ini Tonggak Melayu

Insya-Allah, kita akan minta supaya pengurusan UiTM bersama Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan program ini dengan seberapa segera yang boleh. Malah ada juga kerajaan negeri seperti Melaka menawarkan pusat kampusnya, kita telah terima dan mula pengajiannya Disember ini. Insya-Allah, di tempat lain kita akan memulakan dengan seberapa segera yang boleh, dan kalau tak cukup asrama, kita sedang mengkaji bagaimana kita boleh tambah asramanya untuk Shah Alam.

Isu Rekayasa UNITAR

9. Untuk terus memacu minda generasi Melayu ke tahap yang optima demi membela pendidikan anak bangsa, saya juga ingin mengumumkan tentang UNITAR (Universiti Tun Abdul Razak) yang sedang direkayasa dan sedang disusun semula agar lebih mantap dan berdaya saing. Ini adalah bagi meningkatkan modal insan professional dan terlatih dalam bidang pengurusan dan kepimpinan strategik. Program dibuat dalam peringkat ijazah dan pasca ijazah (graduate schools) serta pendidikan lanjutan profesional.

10. Sehubungan dengan itu, sebuah Yayasan yang bukan berteraskan keuntungan telah ditubuhkan pada 18 Oktober 2006 untuk mengambil alih UNITAR dan ITTAR daripada KUB. Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak atau Yayasan PINTAR ini dianggotai oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada saya sendiri, Dato’ Seri Hishamuddin, Dato’ Azim Zabidi, Datuk Seri Ali Rustam, Tan Sri Muhyiddin yassin dan Dato’ Mustapa Mohamed.

11. Yayasan PINTAR ini juga akan mengurus penyediaan dana untuk pelajar Melayu di peringkat pendidikan tertinggi. Sementara itu, Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) akan diberi nafas baru bagi memenuhi keperluan tenaga sub-profesional. Anggaplah bahawa UNITAR dan ITTAR yang direkayasa ini adalah inisiatif terkini Biro Pendidikan UMNO bagi menjana pembinaan modal insan berminda kelas pertama yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Seri Presiden.

Isu Dadah

12. Nampaknya, gejala penagihan dadah turut menjadi perhatian perwakilan kali ini. Memang benar, dadah adalah musuh nombor satu kita. Mengikut anggaran PEMADAM, kini terdapat hampir tiga ratus ribu penagih di seluruh negara. Lebih bahaya lagi, penagihan dadah menjadi punca utama kepada jangkitan HIV/AIDS. Maka dalam membendung gejala dadah ini, kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan bermula dengan mewujudkan Pusat-pusat Serenti, khidmat kaunseling, membawa kepada kaedah pemulihan dalam komuniti, dan yang terbaru diperkenalkan program pengurangan kemudaratan (atau harm reduction programme).

13. Sehubungan dengan ini, Perwakilan Kedah telah mengutarakan satu cadangan yang agak unik. Dia suruh kita tutup semua pusat SERENTI, PEMADAM, Agensi Anti Dadah dan semua yang sewaktu dengannya. Dan…kita campak semua penagih dadah tadi ke sebuah pulau. Haa…macam mana kita nak buat ni tuan-tuan dan puan-puan. Kerana soalan pertama, pulau mana yang boleh muat untuk kita lambakan 300 ribu penagih ini? Pulau Ketam di Selangor…. Habih pulak nelayan? Pulau Dayang Bunting di Langkawi….lari pelancong? Pulau Manukan di Sabah? Atau Pulau Sayak di Merbok, kawasan YB Tajul sendiri?

14. Sesungguhnya, penyelesaiannya tidaklah semudah itu. Masalahnya, penagih dadah ini pun manusia macam kita jugak. Mereka sepatutnya dibantu supaya dapat kembali ke pangkal jalan dan tak boleh dipulau-pulau begitu. Mereka ini pun ada keperluan dan kemahuan macam kita jugak. Cuba kita bayangkan, daripada hampir 300,000 penagih tadi, lebih kurang 294,000 laki-laki dan 6,000 perempuan. Maksudnya, nisbah 1 penagih perempuan kepada 49 penagih lelaki. Haru kita dibuatnya. Lebih-lebih lagi amat malang sekali kerana dianggarkan hampir 70% penagih adalah orang Melayu. Sebab itulah kerajaan mengambil langkah berani dan praktikal, dengan memperkenalkan program pengurangan kemudaratan iaitu melalui terapi gantian dadah dengan ubat methadone melalui hospital, klinik kerajaan dan klinik swasta yang terpilih. Telah ada bukti bahawa kaedah methadone ini berkesan dan Kerajaan bercadang untuk meneruskan program ini secara meluas.

Isu Graduan Menganggur

15. Pada Julai 2006 statistik menunjukkan terdapat lebih 50,000 graduan menganggur. Jawatankuasa Kabinet mengenai Graduan Menganggur yang saya pengerusikan telah menyediakan beberapa cadangan bagi menangani masalah tersebut. Antara lain Kerajaan telah memutuskan untuk mempercepatkan pengisian jawatan-jawatan kosong dalam perkhidmatan awam.

16. Sehingga 14 September 2006 sebanyak 20,281 jawatan sektor awam telah pun diisi bagi mengatasi pengangguran berkenaan. Usaha masih lagi diteruskan untuk menangani masalah graduan menganggur yang kini jumlahnya telah berkurang kepada 25,000 orang. Agensi-agensi kerajaan serta GLC seperti Suruhanjaya Sekuriti, Khazanah, Proton, Pos Malaysia, MAS, UEM, TNB, MayBank, PNB, LHDN, KWSP, Sime Darby, Guthrie telah menyediakan Skim Latihan Graduan kepada lebih 3000 graduan yang menganggur.

17. Kerajaan juga akan melaksanakan Karnival Kerjaya Kebangsaan Disember ini sebagai Pusat Sehenti (bukan Pusat Serenti macam kes dadah tetapi Pusat Sehenti) khusus bagi graduan mencari kerja yang bersesuaian dengan kelulusan mereka. Namun begitu, walaupun kita meneruskan usaha-usaha membasmi masalah graduan menganggur, kita menyambut baik saranan Wakil Kelab UMNO yang telah mencadangkan agar graduan berkaitan hendaklah berusaha agar merebut peluang menjadi usahawan.

Isu Pelancongan

18. Perwakilan Wilayah Persekutuan telah menyebut berkenaan Tahun Melawat Malaysia (TMM). Sebenarnya, angka lebih tepat ialah sempena TMM 2007, Kementerian Pelancongan menganggarkan 20.1 juta pelancong yang akan melawat Malaysia dengan anggaran pendapatan sebanyak RM44.5 bilion dan perbelanjaan per kapita sebanyak RM2,209 manakala bagit ahun 2006 mengikut apa yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan kepada saya, anggaran ketibaan pelancong ialah seramai 17.5 juta dan kalau kita campur dua tahun ini, 2006 dan 2007, kita dapat menganggarkan Malaysia akan terima tukaran wang asing sebanyak RM81.9 bilion.

19. Apa yang nak kita tentukan ialah supaya dari segi pengendalian perusahaan pelancongan ini kedudukan penyertaan Bumiputera walaupun ada pada masa ini tetapi boleh ditingkatkan lagi, satu usaha sedang dilakukan melalui Bumiputera Commercial and Industrial Community Cluster Development Initiative Blue Print, Tourism and Travel Cluster, dengan izin Datuk Pengerusi Tetap. Wakil Sabah telah menyarankan supaya dikaji semula bilangan penerbangan yang telah dikurangkan untuk Sabah dan kadar bayaran yang tinggi. Betul juga kalau orang Sabah sebut, kalau nak datang ke Semenanjung ini, ‘either you fly or you swim’ (sama ada berenang atau naik kapal terbang).

20. Memang benar, tak ada pilihan lain, nak pandu tak boleh. Jadi saya nak maklumkan, bahawa Kabinet telah mengarahkan kalaulah pada masa dikaji semula kekerapan perkhidmatan telah dikurangkan sebanyak 134 bilangan penerbangan untuk Sabah dan Sarawak, kini jumlahnya hampir sama dengan sebelum kajian semula dilakukan oleh MAS dan AirAsia, cuma kurang 14 saja. Tentang kadar bayaran yang tinggi, kenaikan sebanyak 25 peratus, maka suatu perbincangan akan dilakukan pada minggu depan untuk cuba mengurangkan kenaikan ini agar perwakilan dari Sabah tidaklah begitu susah nak datang ke persidangan kita pada tahun hadapan.

Peremajaan UMNO

21. Untuk menjadikan UMNO terus relevan dulu kini dan selamanya, usaha peremajaan parti perlu terus dilakukan. Oleh itu, kita mengembangkan sayap kelab UMNO ke seluruh pelusuk dunia. Puteri pula semakin menyerlah sebagai sayap parti untuk mengUMNOkan wanita-wanita muda Melayu. Selain itu, Putera sebagai biro dalam Pemuda juga adalah contoh usaha peremajaan ini. Barulah harta terpenting khazanah UMNO dapat diwariskan kepada generasi muda Melayu sebagaimana yang disebut oleh wakil veteran UMNO Selangor Dato’ Mufti Shuib.

Bangsa Malaysia

22. Perwakilan Johor, ada membangkitkan tentang Bangsa Malaysia. Perlu saya jelaskan di sini bahawa konsep bangsa Malaysia adalah merupakan ‘a state of mind’ sahaja.... bukan melibatkan dasar, jauh sekali untuk meminda perlembagaan. Perkara ini, boleh menimbulkan polemik jika disalah tafsirkan. Apa yang kita maksudkan ialah rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat mengamalkan pegangan agama, cara hidup dan budaya masing-masing dengan penuh semangat perpaduan.

Isu Semasa

23. Bagi mengulas banyak pandangan perwakilan mengenai isu Tun Mahathir dan Dato’ Seri Presiden dinukilkan di sini empat rangkap seloka berikut:

Setiap pemimpin ada zamannya,
Mereka berjasa kepada rakyat,
Pelbagai dasar telah dicuba,
Menjadikan negara kita hebat.

Bertahun-tahun negara dibina,
Segala bakti kita kenang,
Tidak lupa pesanan lama,
Pucuk pimpinan mesti dijulang.

Kini tiba zaman Pak Lah,
Tiga tahun menabur jasa,
Negara ini semakin berubah,
Memulia agama, membela bangsa.

Pak Lah kita beri sokongan,
Ahli parti mestilah setia,
Segala barisan kita kukuhkan,
Demi agama, bangsa, negara.

Di atas segalanya, mengambil roh dan semangat perhimpunan yang mulia dan berkeramat ini, kita ingin menegaskan sekali lagi bahawa Agenda Melayu adalah kerja utama UMNO yang tidak boleh tidak, mesti diperjuangkan habis-habisan.

Seperti yang telah saya nyatakan, sesungguhnya tidak ada had masa yang tertentu dalam usaha melunaskan Agenda Melayu. Apa yang penting, selagi ada daya, selagi ada upaya, patah sayap bertongkat paruh, kita akan terus menjayakannya.

Sayugia diingatkan juga, Agenda Melayu bukan untuk dijerit dan diraung secara retorik semata-mata, tetapi hendaklah diterjemahkan dalam bentuk kefahaman yang jitu tentang apakah kehendak dan kemahuan yang wajar orang Melayu dan secara jitu juga melaksanakan penyelesaiannya.

Justeru, kita telah dengan bijaksana mengambil langkah mendahului zaman apabila memilih untuk berkongsi kuasa. Dalam kata lain, kita dengan jelas mengiktiraf sumbangan semua kaum dalam pembangunan negara ini. Makanya, dalam menuntut hak kita orang Melayu, semangat perkongsian kuasa akan terus dikekalkan. Ketahuilah, apa yang kita capai ini terhasil daripada kerjasama dan bijaksananya pimpinan Melayu yang cemerlang selama ini.

Begitulah berhikmahnya siasah di negara kita. Begitulah indahnya pesona politik kita. Dalam pada itu, kita ingin mengingatkan bahawa lambakan hutang Melayu selama 446 tahun negara dijajah tidak mungkin boleh dilangsai dalam tempoh 20 atau 30 tahun sahaja. Oleh yang demikian, dengan segala kudrat dan kekuatan yang ada :

Segeralah kita sahut semboyan bangsa
Marilah kita berkerja sebagai satu pasukan
Ayuhlah kita bersama-sama menjayakan Agenda Mulia Agama Islam, Bangsa Melayu dan Negara Malaysia yang kita sama-sama cintai…..

Negeri maju di bawah bayu,
Penuh usaha ia dibina,
Mari memacu Minda Melayu,
Kata dikota, janji dilaksana.

Wassalamualaikum warahmatulla hiwabarakatuh




Last Update on 06/04/2009 
This As DPM has been read 3348 times
ISO ISMS QR Code for PMO Mobile
Last Update : 22-09-2014
© 2013 SMPKE, PMO
Prime Minister's Office of Malaysia, Main Block, Perdana Putra Building, Federal Government Administrative Centre, 62502 Putrajaya, MALAYSIA. Tel : 603-8888 8000 | Fax : 603-8888 3444 | E-Mail Send E-Mail to Us! | Portal's Feedback

Visitors # Current : 23 | Today : 2,333 | This Month : 54,972 | This Year : 1,114,044 | Total : 8,302,032
Best view with 1024 x 768 pixel screen resolution and Google Chrome & Mozilla Firefox.